Kalau Anak Tak Nak Pergi Sekolah, Ikuti Tips Berkesan Dari Pakar Terapi Ini
Jika anak tak nak pergi sekolah, pakar terapi ini berkongsi tentang beberapa tips supaya anak suka pergi sekolah tanpa dipaksa setiap hari.
Ada kanak-kanak memang suka pergi sekolah, tetapi lebih ramai juga anak tak nak pergi ke sekolah. Situasi ini sebenarnya perkara biasa berlaku kepada anak berusia 5 hingga 7 tahun yang baru hendak mula bersekolah.
Sebagai ibu ayah, menjadi tanggungjawab yang besar untuk memupuk minat cintakan ilmu dalam diri anak-anak.
Apabila melihat anak tak nak pergi ke sekolah dan adakalanya mereka memberikan seribu satu alasan untuk mengelak dipaksa, bagaimanakah cara yang betul supaya anak tidak rasa stress?
Isi Kandungan
Punca Anak Tak Nak Pergi Sekolah
Jika difikirkan semula, pasti ada sebab kenapa anak berkeras untuk tidak pergi ke sekolah? Berikut antara punca yang mungkin membuatkan mereka enggan pergi ke sekolah.
- Sering dibuli di sekolah.
- Guru yang garang.
- Kerja sekolah yang bertimbun atau tak siap.
- Berasa takut untuk berjumpa dengan rakan atau guru.
- Elak menjalani peperiksaan.
- Untuk mendapatkan perhatian ibu bapa.
- Tidak berminat dalam akademik tetapi mempunyai kemahiran lain.
- Mengalami gangguan fizikal seperti masalah pendengaran atau masalah penglihatan.
- Lebih banyak meluangkan masa di rumah dengan bermain atau menonton televisyen.
Seorang pakar terapi, Siti’ Aisyah Rozalli ada memberikan pandangan dan tips tentang mewujudkan suasana yang baik supaya anak suka pergi ke sekolah.
Tips Buat Anak Suka Pergi Ke Sekolah
1. Wujudkan rutin harian yang konsisten.
Menurut Siti’ Aisyah, mewujudkan rutin harian yang konsisten pada setiap hari melatih anak terbiasa tidur dan bangun tidur dalam waktu yang sama. Selain itu, sebagai ibu ayah jangan terlalu berlembut dengan anak sehingga segala kelengkapan disediakan.
“Biar anak yang siapkan barangan sekolah hari sebelumnya. Kalau kita jenis gosok baju seminggu sekali, minta anak ambil baju dia malam tu dari tempat kita sangkut tu, dan sangkutkan di tempat yang lebih mudah anak ambil.
Buku sekolah, beg sekolah, biar anak yang kemas sendiri. Prep time ni, penting. Sebab ianya akan ready kan mindset anak”.
Dia juga menasihatkan supaya ibu ayah tidak mudah putus asa dengan “keengganan” anak.
“Konsistenkan rutin no. 1 & 2 di atas. Sebulan, 2 bulan pertama kadang anak belum dapat momentum lagi. Lepas cuti pun kadang momentum off tetapi teruskan dengan rutin.
2. Ibu ayah kena berdisiplin, baru anak-anak ikut.
Jelasnya, “mak ayah kena hormat disiplin sekolah. Hantar sekolah pada waktunya dan ambil anak pada waktunya.
Dulu, kami kadang hantar anak lambat. Jadi, mereka selalu complain kalau nak ke sekolah.
Bila mak ayahnya ni berubah, anak pun berubah”.
3. Luangkan masa bersama sebelum anak ke sekolah
Tips yang terakhir sekali, biasakan waktu pagi lebih panjang dengan anak-anak supaya mewujudkan suasana yang positif.
“Maksudnya, kalau nak pergi sekolah jam 7 pagi, bagi masa dalam sejam untuk anak bersiap. So, bangunkan at least awal sejam. Supaya mereka ada masa nak terpisat-pisat, termenung-menung, main Lego kejap sementara tunggu toilet.
Rumah biar meriah awal. Supaya anak terus rasa cukup “siang”, ”ujarnya.
Sebelum mengakhiri perkongsian, Siti’ Aisyah sempat meninggalkan pesanan, “Bila kita jaga rutin anak ke sekolah. Mereka akan lebih mudah untuk ke sekolah dengan relax.
Dia punya enjoy pergi sekolah tu sampai berterbangan kaki tak jejak tanah”.
Tips Lain Supaya Anak Suka Pergi Ke Sekolah
- Berikan mereka ganjaran. Bagi hadiah atau wang saku sebagai tanda galakan anda menghargai pencapaiannya.
- Jangan main telefon semasa bersama dengan anak. Jika anak sedang membaca buku, anda juga boleh melakukan aktiviti yang sama.
- Jika anak bercerita, rajinkan untuk menjawab setiap persoalan anak. Sikap ingin tahu sesuatu perkara boleh menimbulkan minat mereka terhadap ilmu.
- Cipta suasana belajar yang tenang supaya anak seronok belajar,
- Tetapkan masa yang diperlukan untuk anak menyiapkan sesuatu tugasan. Ia akan membantu mereka lebih berdisiplin dalam menguruskan waktu seharian.
- Jangan sesekali meremehkan kemampuan anak. Beri mereka peluang untuk tunjukkan usaha mereka tidak kira apa jua tugasan termasuklah tugasan di rumah seperti mencuci pinggan atau menyapu sampah. Mereka akan lebih yakin diri.
Ingat, ibu ayah jangan mudah berputus asa kerana semangat yang anda tonjolkan pada mereka sangat membantu dalam pertumbuhan dan perkembangan anak.
Semoga bermanfaat.
Facebook: Siti’ Aisyah Rozalli
Baca juga: Anak Mogok Taknak Ke Sekolah? Ini 5 Tips Dorong Anak Ke Sekolah Tanpa Dipaksa
Baca juga: Kalau Anak Demam, Tolong Jangan Biar Dia Pergi Sekolah!
Baca juga: Anak Kali Pertama Sekolah, Ibu Ayah Semangat Sama-Sama Pakai Baju Sekolah Lengkap