Pandemik Covid-19 dilihat semakin membimbangkan masyarakat di seluruh dunia meskipun beberapa negara menunjukkan trend penurunan dari segi jumlah kes dan kematian. Keadaan ini telah memaksa kerajaan untuk mengisytiharkan perintah berkurung agar penularannya dapat disekat.
Sehingga kini, negara yang mencatatkan jumlah kes tertinggi adalah Amerika Syarikat. Menurut Worldometers, 792 759 jumlah pesakit Covid-19 dan 45 514 kematian telah direkodkan.
Pelaksanaan perintah berkurung
Ketika kebanyakan negara di seluruh dunia diminta mematuhi perintah berkurung dalam mengawal penularan wabak Covid-19 yang semakin berleluasa, namun masih ada segelintir keluarga degil dengan membuat keputusan terbang ke negara lain.
Bagi pasangan dari London ini mereka telah memilih untuk mengasingkan diri bersama anak-anak di Bali, Indonesia meskipun menyedari bahawa negara berkenaan turut melakukan perintah berkurung.
Difahamkan, Corrine dan Dave Pruden bersama dua anak kembar mereka membuat keputusan ‘bijak’ menaiki penerbangan terakhir dari London ke Denpasar sebagai langkah melindungi mereka sekeluarga daripada serangan Covid-19.
Malahan, pasangan ini menyedari bahawa tindakan tersebut sebagai berlandaskan pemikiran cetek. Namun, keputusan keluar dari London adalah untuk melindungi anak kembar kesayangan mereka.
Hal ini berkaitan dengan peningkatan mendadak kes Covid-19 di England yang sehingga kini mencapai lebih 100 000 kes pesakit positif. Angka ini turut menjadikannya sebagai negara keenam dengan jumlah kematian tertinggi dan catatan kes lebih tinggi berbanding China.
Menurut sumber, pasangan ini telah mengambil penerbangan dari London ke Denpasar pada 16 Mac lalu iaitu seminggu negara Indonesia memperketatkan perintah berkurung.
Mereka telah menetap di sebuah rumah yang disewa melalui Airbnb di Ubut. Ia adalah kediaman di tengah-tengah sawah padi dengan kemudahan kolam renang, namun jauh dari orang ramai.
Untuk meneruskan kehidupan harian, keluarga kecil ini membuat pesanan dari restoran berdekatan untuk dihantar terus ke kediaman mereka.
Gembira lockdown di negara orang
Menerusi perkongsian foto di laman Twitter, mereka kelihatan begitu gembira dan menikmati tempoh perintah berkurung di Bali.
Anak kembarnya turut bebas berlari di kawasan rumah dan menikmati setiap pemandangan indah di kawasan berkenaan.
Ketika Corrine dihubungi oleh Sky News, dia memaklumkan bahawa pada permulaannya dilanda rasa bimbang dengan keputusan berkenaan dibuat memandangkan orang ramai telah berpusu-pusu pulang ke negara masing-masing.
”Meskipun dihimpit dengan rasa penuh kerisauan, kami sebenarna berasa sangat tenang di sini,” katanya yang sudah menetap di Budapest selama 5 tahun dan memiliki sebuah kedai kopi.
Tambahnya, ketenangan diperoleh di Indonesia mungkin tidak dirasai di London yang kini berhadapan dengan situasi getir. Ia pastinya lebih bahaya untuk berada di sana.
Bukan itu sahaja, Corrine memaklumkan bahawa dia dan keluarga telah pulang ke London sebelum ini untuk melawat ibunya sebelum ingin meneruskan percutian ke Amerika Syarikat.
Walau bagaimanapun, penularan Covid-19 yang mendadak di Eropah dan Amerika telah mengubah fikiran mereka sehingga memilih terbang ke Bali untuk tujuan pengasingan diri.
”Kami boleh sahaja terus tinggal di London atau pulang ke Budapest tetapi ada sesuatu yang mengatakan kami perlu ke tempat yang lebih baik buat anak-anak tercinta,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia dan pasangan masih belum berfikir bila mereka sekeluarga akan pulang ke negara asal. Corrine mengatakan bahawa mereka hanya ingin menikmati keindahan Bali sebelum merancang perjalanan yang seterusnya.
Kedegilan masyarakat di London
Setiausaha Kesihatan United Kingdom, Matt Hancock, memberi amaran langkah kawalan wabak Covid-19 akan diperketat jika orang awam gagal mematuhi peraturan.
Perkara berkenaan telah dinyatakan Hancock apabila salah sebuah taman rekreasi terbesar di London, Brockwell Park di Herne Hill, terpaksa ditutup selepas diserbu kira-kira 3 000 pengunjung yang ingin berjemur di bawah sinaran matahari.
Situasi ini menjadi kebiasaan bagi penduduk kota metropolitan berkenaan pada hujung minggu, terutama ketika cuaca cerah dan panas.
Bukan itu sahaja, pihak polis telah meluahkan kekesalan di Facebook apabila terpaksa meminta kira-kira 100 pengunjung di Primrose Hill, London, bersurai.
“Mereka datang membawa makanan dan kain alas, bukan berdua, tetapi satu kumpulan yang ramai. Apabila satu kumpulan disuruh balik, datang lagi kumpulan lain. Kami sangat kecewa,” itu yang ditulis pada hantaran tersebut.
Sumber: mStar
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comnikmat-seks