Kesihatan jantung dan perkahwinan bahagia
Nampaknya perkahwinan benar-benar boleh menentukan kesihatan jantung seseorang individu.
Semakin sihat dan bahagia sesebuah perkahwinan, semakin rendah risiko pasangan terbabit menghidap penyakit jantung, pembunuh nombor 1 dunia.
Manakala pasangan yang sudah bercerai atau masih bujang pula lebih terbuka untuk menghidap penyakit jantung seperti koronari aterosklerosis.
Mengapa? Dan bagaimana perkahwinan boleh menjejaskan kesihatan jantung?
Menurut kajian Profesor Timothy Smith dan Brian Baucom dari University of Utah, perkahwinan yang bahagia dan sihat bukan saja menentukan kesihatan jantung, malah kesihatan keseluruhan seseorang individu!
Pasangan yang bahagia dalam sesebuah perkahwinan akan makan dengan lebih sihat, lebih bijak menangani stres dan tidur dengan mencukupi.
Sebuah kajian dijalankan untuk membuktikan hal tersebut. Seramai 114 pasangan suami isteri dijadikan subjek kajian.
Mereka diperhati ketika bergaduh. Setiap interaksi mereka direkod dan kesihatan jantung mereka diuji.
Pasangan yang berinteraksi dan bergaduh secara ganas dan tak konstruktif memiliki kecendurangan untuk menghidap koronari aterosklerosis.
Penyakit kardiovaskular (jantung) sering terjadi pada individu dengan masalah depresi, keresahan, kemarahan, pesimis dan PTSD.
Pesakit-pesakit ini juga terbukti tiada hubungan yang sihat lagi rapat. Tekanan daripada perkahwinan yang tak sihat menyebabkan serangan jantung dan sebagainya, kerana tabiat buruk dalam menangani stres.
Ia seperti merokok, kurang bersenam dan mengamalkan diet yang tak sihat.
Kesihatan keseluruhan juga bergantung pada perkahwinan yang bahagia
Perkahwinan yang bahagia juga terbukti bukan saja menjadi punca penyakit kardiovaskular, malah menentukan kesihatan keseluruhan pasangan.
Ini kerana pasangan anda boleh menentukan habit kalian. Kalau pasangan merokok dan makan makanan tidak berkhasiat, pasti pasangan satu lagi akan mengikutnya.
Untuk pasangan yang tidak bahagia pula, mereka akan lebih cenderung mempunyai tabiat buruk untuk menangani tekanan seperti merokok dan sebagainya.
Pakar mendapati pasangan yang bahagia akan menjaga pasangannya dengan lebih elok. Mereka akan mengingatkan pasangan bila waktu untuk ambil ubat (jika ada).
Malah, pasangan bahagia juga akan lebih terurus dengan mampu mengingati temujanji dengan doktor untuk menjaga kesihatan.
Begitu juga dengan tidur. Pasangan yang bahagia jarang menghadapi insomnia.
Ini kerana mereka biasanya jarang bergaduh, boleh kembali ke rumah dari tempat kerja dengan tenang dan boleh bernafas dengan lebih efisyen.
Gangguan tidur dan insomnia boleh menjadi penentu kepada kesihatan jantung.
Yang lebih menggemparkan, perkahwinan bahagia juga boleh menyelamatkan anda dari sebarang penyakit yang tak diketahui!
Bagaimana?
Begini – menurut Smith lagi, biasanya doktor bergantung kepada laporan peribadi kita tentang tanda-tanda penyakit yang mungkin kita alami.
Namun, sebenarnya ramai individu yang berbohong bila menjawab soalan doktor.
Kebanyakkannya akan cakap mereka gemar bersenam atau tidak merasa sakit apa-apa. Sedangkan perkara yang betul adalah sebaliknya.
Dari sini datangnya kelebihan perkahwinan yang bahagia. Pasangan boleh memberi perspektif baru atau yang benar kepada doktor.
Tapi, ini tak bermaksud perkahwinan adalah “magic bullet” untuk lari dari sebarang penyakit.
Namun, perkahwinan yang bahagia mampu mendorong penjagaan kesihatan yang lebih sihat.
Secara peribadi, saya berpendapat perkahwinan bahagia memang boleh menentukan kesihatan kita.
Apabila sudah sehati sejiwa, anda pasti mahu diri sendiri malah pasangan berpeluang untuk menghabiskan masa berdua bersama, selama-lamanya. Kunci di sini adalah kesihatan.
Sumber rujukan: Time, APA, American Psychological Association dan NCBI
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comsuami-isteri-chubby-lebih-bahagia/