Awas! Perkakas Dapur Boleh Jadi Punca Keracunan, Ini 5 Perkakas Dapur Yang Perlu Diasingkan

Perkakas dapur yang dicuci bersih pun sekiranya terdapat kesan calar yang kecil ia boleh menjadi tempat pengumpulan bakteria.

Mesti ramai yang tak tahu antara penyebab keracunan makanan adalah daripada perkakas dapur dan terutama sekali papan pemotong. Ya, ini kerana daging atau ayam mentah mengandungi bakteria salmonella dan campylobacter yang boleh melekat pada papan pemotong, bekas makanan, span basuh pinggan dan macam-macamlah yang anda gunakan untuk menyediakan bahan mentah. 

Dan sekiranya anda berkongsi perkakas ini dengan penyediaan makanan yang sedia dimakan, bakteria boleh merebak dengan pantas dan proses ini dipanggil pencemaran silang daripada makanan dan daging mentah.

Perkakas dapur yang dicuci bersih pun sekiranya terdapat kesan calar yang kecil ia boleh menjadi tempat pengumpulan bakteria. Jadi sekiranya anda menganggap tidak mengapalah campur, kerana ia semua akan dibasuh. Maka anda silap!

Tidak semua perkakas dapur perlu diasingkan penggunaannya. Sebenarnya apa yang anda gunakan untuk bahan mentah seperti daging, eloklah diasingkan sepenuhnya untuk kegunaan itu sahaja. Jadi ini antara apa yang penting untuk anda asingkan demi menjamin kebersihan!

5 perkakas dapur yang perlu diasingkan

Foto: Public Health Malaysia

#1. Papan pemotong 

Ini adalah yang paling penting untuk diasingkan, anda sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya tiga jenis papan pemotong yang dibahagikan mengikut warna. Antara adalah untuk:

  • Merah: untuk memotong daging mentah seperti ayam, ikan, daging. 
  • Hijau: untuk memotong sayur-sayuran atau bahan masak seperti bawang, kentang, halia atau daun-daun. 
  • Kuning: untuk buah-buahan sahaja
  • Putih: untuk barang makan sedia dimakan seperti kek, kuih muih, roti dan sebagainya. 

#2. Span & pencuci basuh pinggan

Ini juga cukup penting ya untuk diasingkan, terutama sekali jika anda punyai anak kecil. Span yang anda gunakan untuk menyental kuali, basuh papan pemotong dan pisau kemudian anda gunakan untuk membasuh cawan minuman, atau botol minuman anak? Dengar saja, dah kembang tekak saya. 

Tak bolehlah begitu, span perlu diasingkan mengikut kegunaan juga, paling tidak pun asingkan yang mana untuk anak kecil yang mana untuk anda guna menyental kuali dan pinggan mangkuk. Malah span PERLU ditukar sekerap yang mungkin ya. Paling lama pun tiga minggu! 

Untuk pencuci pula, anda mesti sudah alert dengan kewujudan pencuci botol bayi kan? Cuma bila kanak-kanak dah membesar sikit, anda pun fikir tak mengapalah kalau mereka gunakan pencuci pinggan biasa.

Jangan ya, kanak-kanak kalau boleh perlu dielakkan penggunaan bahan pencuci yang tinggi bahan kimianya. Lagipun apa yang ruginya kalau beli sabun pencuci botol tu, boleh dibuat basuh buah-buahan juga sayuran tau! 

#3. Bekas makanan

Selalu kan bekas makanan kita gunakan untuk meletak bahan mentah seperti ayam dan daging? Apatah lagi bila nak digaulkan dengan kunyit sebelum digoreng. Jadi bekas makanan itu sepatutnya janganlah digunakan juga untuk meletak lauk! Malah ada juga yang gunakan bekas yang sama beri anak kecil makan.

Asingkan ya, jangan akibat serabut nak tengok pinggan mangkuk banyak-banyak di rak, jadi anda kongsikan saja. Bekas untuk menyimpan bahan mentah di dalam peti sejuk pun perlu diasingkan juga, jangan guna bekas sama untuk simpan lauk-lauk atau untuk bawa bekal hidangan. 

#4. Pisau 

Perkakas dapur seperti pisau eloklah diasingkan untuk kegunaan buah-buahan dan bahan mentah. Kalau dicampur, ia akan meninggalkan bauk. Perkakas yang berbau ini tandanya kuman masih ada. Jadi apabila berkongsi kegunaan pisau samalah seperti berkongsi kegunaan papan pemotong tadi. 

Punca jangkitan bakteria salmonella

Manusia
Haiwan perosak (tikus, lipas dan lalat)
Haiwan liar dan haiwan peliharaan.
Makanan yang biasa dikaitkan dengan bakteria ini

Daging ayam dan produk yang berasaskan ayam
Telur dan hasil telur
Susu dan hasil tenusu (keju, krim, kastard dan susu mentah)
Cara rebakan

Pencemaran silang daripada makanan dan daging mentah ke makanan yang telah dimasak semasa penyediaan atau penyimpanan dan pencemaran silang pengendali makanan daripada haiwan.

Tanda-tanda terkena jangkitan

  • Demam
  • Cirit birit
  • Sakit perut
  • Muntah
  • Loya

Tempoh jangkitan

Antara 6 jam ke 72 jam (kebiasaannya 12 – 36 jam)

Cara pencegahan

  • Masak daging, ayam dan telur dengan sempurna (>75°C)
  • Elakkan memakan daging atau stik yang mentah atau separa masak
  • Gunakan peralatan yang berasingan (pisau, papan pemotong) untuk daging mentah dan yang telah dimasak
  • Simpan makanan mentah dan yang telah dimasak dalam bekas yang berasingan
  • Cuci tangan selepas menyentuh haiwan
  • Cuci tangan sebelum, semasa dan selepas mengendalikan makanan.

Jadi tepuk dada tanya selera, berbaloikah nak mengasingkan perkakas dapur? Banyak kerjalah, semaklah, tapi kalau nak dibandingkan dengan kesihatan keluarga yang terjamin, ia amatlah berbaloi! Lagipun seronok kan tengok perkakas kita disusun atur dan lebih spesifik?

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia