Perkembangan bayi usia 2 bulan adalah salah satu waktu yang ditunggu-tunggu semua ibu ayah baharu selepas menimang anak. Mereka mengharapkan bayi mereka membalas senyuman! Perkembangan bayi usia 2 bulan sememangnya sangat mengujakan, mereka sudah pandai tersenyum apabila ibu ayah mengagah mereka.
Kadang-kadang itu kalau ibu ayah berhenti bergurau, mereka mula merengek pula. Alamak!
Jadi ibu ayah semua bersiap sedia untuk merakam kenangan manis ini. Malah, penglihatan mereka juga makin bertambah baik pada usia ini, ada kemungkinan mereka mengenali ibu ayah mereka.
Ini juga merupakan salah satu waktu yang terbaik untuk anda membiasakan anak memegang barang-barang mainan yang bertekstur juga berwarna-warni. Biar mereka kenal sikit-sikit dan mudah untuk perkembangan mereka.
Perkembangan Bayi Usia 2 Bulan: Fizikal1.
#1: Otot tengkuk dan kawalan kepala
Bayi yang berusia 2 bulan mula dapat mengangkat kepala dan menahan kepalanya apabila anda meletakkannya dalam posisi meniarap.
#2: Koordinasi yang lebih baik
Pergerakan kaki dan tangannya akan menjadi lebih lancar dan kurang tersentak-sentak.
#3: Menjejaki pergerakan
Dia mula menjejaki orang atau benda yang menarik dengan matanya. Dia juga akan memberi perhatian kepada muka-muka orang lain.
#4: Menenangkan diri
Pada ketika ini, dia mula mempunyai refleks menghisap yang lebih kuat, pada fasa inilah bayi anda akan mula menghisap jarinya sebagai satu cara untuk menenangkan dirinya sendiri1.
Perkembangan Bayi Usia 2 Bulan: Sensori.
#1: Penglihatan2
Si kecil boleh melihat dalam jarak pendek, sekira-kiranya 8 – 12 inci dari mukanya kerana tumbesaran mata masih terhad, dia juga boleh membezakan antara warna dan mudah tertarik pada warna yang terang atau pada objek yang berbeza bentuk.
Walaupun dia mungkin mengalami sedikit kesukaran untuk membezakan tona warna yang hampir sama, tapi anda sudah boleh menunjukkan mainan, buku, atau gambar objek berwarna hitam putih.
#2: Pendengaran2
Pada usia 2 bulan, si kecil sudah boleh membezakan antara suara yang sering didengarinya. Seperti suara ibu dan ayah. Dia kini sudah menjadi pendengar yang baik. Apabila mendengar sesuatu, terutamanya suara anda, dia akan memberikan respon dengan memalingkan wajahnya ke arah sumber bunyi3.
Dia juga akan merasa tenang mendengar suara anda, di mana ia membantu menenangkan ragam si kecil2. Jadi, anda boleh banyak bercakap, menyanyi atau membebel pada si kecil untuk perkembangannya.
#3: Senyuman pertama1
Pada bulan ini, kesemua usaha anda akan dibalas dalam bentuk senyuman yang berseri-seri dari bayi anda. Senyuman pertama adalah antara pencapaian bayi yang menyeronokkan hati ibu bapa. Dari satu segi, ini merupakan ganjaran yang wajar.
Anda sudah lama menukar lampin, menyusukan, memandikan, mencium dan memeluknya tanpa mendapat sebarang respon dari bayi anda.
Namun, suatu hari, ianya terjadi. Bayi anda senyum, dan anda pasti itu senyuman sebenar, bukan ekspresi melepaskan angin. Ini akan menggembirakan anda walaupun malam sebelumnya anda tidak dapat tidur. Anda boleh menggalakkan bayi anda senyum dengan membuat wajah atau bunyi lucu. Semakin dia membesar, dia akan cuba meniru anda!
#4: Bayi masih belum tidur sepanjang malam4
Jika bayi anda kini sudah mula tidur sepanjang malam, anda merupakan antara sebilangan kecil yang bernasib baik. Kebanyakan bayi pada usia 2 bulan masih bangun pada waktu malam, oleh itu, anda akan diganggu ketika tidur.
Tapi apa yang merupakan berita baik adalah dia sudah boleh tidur untuk jangka masa yang lebih panjang dan berjaga bagi masa yang panjang juga!
#5: Bayi semakin aktif
Perkembangan bayi usia 2 bulan semestinya mereka semakin aktif5. Mereka sudah pandai menggerak-gerakkan semua anggota badan mereka, termasuk gerakan badan yang seakan-akan nak memusing!
Tidak lama lagi, mungkin nak masuk usia 3 bulan, bayi anda sudah boleh meniarap5.
Dia kini sudah boleh mengawal pergerakannya dengan lebih baik. Anda akan dapat melihat pergerakan lengan dan kaki bayi yang terhad semasa dia baru lahir kini sudah menjadi lebih lancar5. Jaga-jaga jika bayi menyambar rambut anda, mungkin anda susah nak terlepas dari genggamannya!
Pemeriksaan Kesihatan.
Bayi anda akan diperiksa pada usia enam minggu hingga lapan minggu untuk memastikan dia sihat dan membesar dengan baik6. Jika anda bimbang tentang apa-apa, kini adalah masa yang baik untuk menyatakannya.
Pemeriksaan akan dijalankan di klinik doktor anda atau KKIA yang terdekat oleh bidan. Pemeriksaannya sama seperti ujian yang bayi anda lalui pada minggu pertama selepas kelahiran.
Doktor atau jururawat anda akan6:
- Menimbang dan mengukur panjang dan lilitan kepala bayi anda
- Memeriksa mata, jantung, pinggul dan buah zakar (untuk lelaki)
- Bertanya anda tentang pemakanan dan perkembangan bayi
Jangan lupa untuk membawa buku rekod kesihatan bayi anda semasa pemeriksaan selepas bersalin dan apabila anda membawanya untuk imunisasinya.
Suntikan Vaksin.
Bayi anda akan mendapat suntikan imunisasi pertama ketika lahir7.
Pada waktu ini juga, doktor atau Paed akan memberikan bayi anda pemeriksaan ringkas sebelum memberikan imunisasi. Vaksin bayi anda mungkin ditunda beberapa hari jika dia mempunyai demam atau tidak berapa sihat.
Tetapi jika bayi anda menghidap sedikit batuk atau selsema untuk beberapa hari, ia tidak menjadi masalah kerana bayi anda masih boleh terus menerima suntikannya8.
Mengikuti Jadual Imunisasi Kebangsaan yang terkini adalah amat penting untuk memastikan kesihatan bayi anda9. Ibu bapa boleh juga merujuk kepada doktor atau Paed tentang vaksin tambahan.
Suntikan Vaksin Rotavirus.
Untuk pengetahuan ibu ayah di luar sana, rotavirus adalah virus yang mudah tersebar di kalangan bayi dan kanak-kanak. Virus ini boleh menyebabkan cirit-birit, muntah, demam, dan sakit perut yang teruk10.
Oleh disebabkan itu, kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus boleh mengalami dehidrasi dan mungkin perlu dimasukkan ke hospital. Sebab itulah ibu ayah boleh mengetahui maklumat lebih lanjut vaksin rotavirus ini daripada doktor supaya boleh melindungi anak-anak mereka daripada terkena jangkitan.
Vaksin rotavirus mengandungi rotavirus yang dilemahkan dengan tujuan pengambilannya dan membina imuniti kanak-kanak terhadap virus ini11.
Perlu diingatkan bahawa kedua-dua vaksin diberikan melalui mulut, bukan dengan suntikan12.
Rujuklah kepada doktor atau Paed untuk mendapati lebih maklumat tentang vaksin ini.
Ibu ayah disarankan untuk bertemu dengan doktor atau pakar kanak-kanak sebelum membuat keputusan untuk memberikan vaksin kepada bayi masing-masing. Ini adalah penting untuk mengetahui cara berbeza untuk melindungi anak-anak daripada jangkitan merbahaya, mahupun kesan sampingan vaksin yang tidak diingini.
MY-ROT-00223 Jul/2022
References:
- UNICEF. Your baby’s developmental milestones at 2 months. Available From: https://www.unicef.org/parenting/child-development/your-babys-developmental-milestones-2-months. Last Accessed 22 Jun 2022.
- KidsHealth.Your Newborn’s Hearing, Vision, and Other Senses. Available From: https://kidshealth.org/en/parents/sensenewborn.html?web_traffic_source=google%2Forganic. Last Accessed 23 May 2022.
- Children’s Hospital of Philadelphia. Age-Appropriate Speech and Hearing Milestones. Available from: https://www.chop.edu/conditions-diseases/age-appropriate-speech-and-hearing-milestones. Last Accessed 22 Jun 2022.
- Stanford Children’s Health. Infant Sleep. Available From: https://www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=infant-sleep-90-P02237. Last Accessed 22 Jun 2022.
- eMedicineHealth. Infant Milestones Month to Month. Available From: https://www.emedicinehealth.com/infant_milestones/article_em.htm. Last Accessed 23 May 2022.
- National Health Service (NHS). Your baby’s health and development reviews. Available From: https://www.nhs.uk/conditions/baby/babys-development/height-weight-and-reviews/baby-reviews/. Last Accessed 23 May 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Baby Vaccines at Birth. Available From: https://www.cdc.gov/vaccines/parents/by-age/months-1-2.html. Last Accessed 23 May 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Vaccines When Your Child Is Sick. Available From: https://www.cdc.gov/vaccines/parents/visit/sick-child.html. Last Accessed 23 May 2022.
- Immunise4Life. The Malaysian National Immunisation Programme (NIP). Available from: https://immunise4life.my/the-malaysian-national-immunisation-programme-nip/. Last Accessed 21 Jun 2022.
- National Health Service (NHS). Rotavirus vaccine overview. Available From: https://www.nhs.uk/conditions/vaccinations/rotavirus-vaccine/. Last Accessed 23 May 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Rotavirus Vaccination: What Everyone Should Know. Available From: https://www.cdc.gov/vaccines/vpd/rotavirus/public/index.html. Last Accessed 23 May 2022.