Wajah bayi dan kanak-kanak memang comel! Sampaikan, apabila melihatnya, pasti ada yang ingin mendukung dan menggomol. Ada kanak-kanak yang malu tetapi ada juga yang sangat peramah. Mereka sangat suka dipegang oleh orang lain dan turut membalas pelukan dan ciuman tersebut. Adakah anak anda juga begitu? Mungkin anda tertanya-tanya: perlukah saya risau jika anak suka mencium atau memeluk orang lain?
Sentuhan Fizikal Antara Kanak-Kanak
Antara sebab mengapa ramai ibu bapa tidak selesa melihat anak mereka digomol oleh orang lain adalah disebabkan persentuhan fizikal yang berlaku antara mereka.
Namun, menurut seorang pakar psikologi kanak-kanak dari Universiti Alberta di Edmonton Kanada, Christina Rinaldi, pelukan dan ciuman yang dilakukan oleh kanak-kanak kecil merupakan satu perkara normal bagi usia ini.
Mereka masih belum mampu menggunakan komunikasi bahasa untuk menyampaikan perasaan sayang yang ada dalam hati mereka.
Jadi, emosi mereka selalunya akan dizahirkan dalam bentuk fizikal.
Contohnya seperti mereka akan mencium dan memeluk apabila mereka rasa sayang, menangis atau menjerit apabila mereka marah atau sakit, dan bermasam muka apabila merajuk.
Kanak-Kanak Suka Meniru Perbuatan Orang Lain
Menurut Christina lagi, kanak-kanak sememangnya belajar melalui pemerhatian. Mungkin anak kita pernah ternampak kita memeluk suami dan bagi mereka, itu adalah cara bagaimana untuk meluahkan rasa sayang.
Jadi, tidak hairanlah jika anak kita pandai atau suka membalas pelukan dan ciuman orang lain.
Apakah Saya Perlu Terus Risau dan Menyekatnya?
Tidak. Pada usia sekecil itu, tidak perlu dihalang sehingga mereka rasa tersekat untuk meluahkan rasa gembira atau sayang.
Tetapi, apabila anak anda mula meningkat usia dan sudah mampu untuk memahami tentang perkara-perkara yang lebih serius, anda boleh mula menceritakan kepadanya tentang pelbagai jenis perhubungan antara manusia.
Ajarkannya bagaimana setiap perhubungan yang berbeza itu mempunyai cara untuk meluahkan perasaan dengan cara yang tersendiri.
“Anak kecil yang masih ditukar napkinnya oleh orang dewasa tidak mungkin akan dapat memahami jika anda menceritakan kepadanya tentang bahagian badan dan kemaluan. Tetapi mereka pasti dapat memahami bagaimana ciuman antara orang dewasa dan ciuman dengan kanak-kanak adalah berbeza.”
Hayati Zaman Kanak-Kanak Mereka
Nasihat terakhir Christina untuk para ibu bapa yang terlalu risau tentang anak mereka yang suka memeluk atau mencium kanak-kanak atau orang dewasa lain adalah:
Bertenang sahaja dan hayatilah fasa kanak-kanak mereka yang indah ini. Ia tidak akan kekal selamanya.
Baginya, kanak-kanak sangat gemar menerima dan menunjukkan kasih sayang. Ia juga adalah sebahagian rasa ingin tahu mereka.
Jadi, biarkan mereka mencubanya dan kita hanya perlu memberi tunjuk ajar apabila usia mereka semakin bertambah.