Setelah dilantik menjadi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menaiki takhta persekutuan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Dalam upacara yang penuh adat, tradisi dan tatacara di Istana Negara tempoh hari, kita dapat lihat Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Pada majlis tersebut juga, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Susulan dengan pelantikan itu, nama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semakin meniti di bibir rakyat jelata kerana kecantikan, kesantunan dan keperibadian permaisuri ini yang baik dan menjadi idola ramai.
Apatah lagi kini baginda secara rasminya bergelar Raja Permaisuri Agong!
Buat anda yang belum tahu, baginda merupakan adinda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Jom kita kenali siapakah Raja Permaisuri Agong yang disayangi ramai ini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
#1. Tempat lahir
Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru pada 5 Ogos 1960.
Baginda merupakan puteri ketiga kepada Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail dengan Enche Besar Hajah Kalsom Abdullah dan dibesarkan oleh Tunku Zanariah Tengku Ahmad.
#2. Tarikh diijabkabul
Tunku Azizah diijabkabul dengan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 6 Mac 1986.
Hasil perkahwinan tersebut, baginda dikurniakan dengan empat orang putera dan dua orang puteri:
- Yang Amat Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, SIMP.
- Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang,
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, DK., SSAP. - Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
- Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
- Yang Amat Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
- Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#3. Pendidikan baginda
Baginda memperoleh pendidikan awal di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.
Setelah itu, baginda menyambung pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang sains politik dan sosiologi.
#4. Suka memasak
Apa yang menarik tentang baginda Raja Permaisuri Agong ini, Tunku Azizah baginda pernah menulis buku resepinya sendiri berjudul Air Tangan Tengku Puan Pahang, Air Tangan Tengku Puan Pahang Manisan Tradisional Pahang dan Masakan Tradisional Pahang.
Minat baginda dalam bidang masakan salah satunya disebabkan dorongan yang diberikan oleh Almarhum ayahanda baginda Sultan Iskandar.
Baginda mula masuk ke dapur seawal usia lima tahun di bawah pengawasan pengasuh diraja dan pernah mengikuti pendidikan masakan tidak formal di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI)
# 5. Usaha mendapatkan zuriat
Dalam meniti kehidupan, Tunku Azizah juga pernah menghadapi enam kali keguguran sepanjang 16 kali melalui proses rawatan kesuburan termasuk persenyawaan tabung uji (IVF) serta Intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI) dan menanti 10 tahun untuk melahirkan cahaya mata pertama.
Atas sebab ujian dalam mendapatkan zuriat itu, memberi ilham Tunku Azizah menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) pada Ogos 2004 bagi membantu wanita yang melalui dugaan yang sama seperti mana baginda lalui.
Dengan pertubuhan yayasan tersebut telah melahirkan 115 anak yang digelar baginda sebagai cucu baginda.
Dana hasil menulis buku masakan sekitar tahun 2003 disalurkan pada TAFF dan bantuan tersebut diberikan kepada semua tanpa mengira kaum.
#6. Ketrampilan dalam bertudung litup
Dalam masa yang sama, ketrampilan Tunku Azizah yang cantik rupawan, bertudung litup dan memakai pakaian menutup aurat sekaligus menjadikan baginda ikon dan lambang wanita Islam yang patut diikut setiap wanita.
#7. Meminati seni kraf dan tenunan
Selain kepakaran dalam bidang kulinari, Tunku Azizah juga sering memperjuangkan seni kain tenun Pahang Diraja yang berusia lebih 300 tahun dan mengasaskan latihan dalam penjara.
Ia bertujuan untuk membuka peluang banduan mengeluarkan produk bawah label Tenun Pahang Diraja.
Dengan penuh rasa keyakinan, kami di theAsianparent Malaysia berharap Sultan Abdullah & Tunku Azizah terus membawa kejayaan yang berterusan kepada negara yang tercinta. Daulat Tuanku!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia