Belum sampai 24 jam diijabkabulkan, pengantin perempuan Fatin Nursyahirah Yusuf, 24 tahun ini meninggal akibat kanser tisu lembut tahap 4.
Kisah cinta antara pesakit kanser, Fatin dan suaminya Saiful Azzam Mohmed, 25 tahun menjadi perbualan netizen.
Kisah cinta pesakit kanser yang maut
Fatin dan Azzam berjumpa buat kali pertama di Pesta Pulau Pinang pada tahun 2013.
Azzam yang ketika itu sedang berniaga di pesta tertarik melihat Fatin dan telah memberikan Fatin sebatang ais krim sebagai hadiah.
Perkenalan mereka bersambung selepas mereka menemui satu sama lain di media sosial pada tahun 2015.
Selepas bercinta selama dua tahun, Azzam yang kini bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur dan Fatin Nursyahirah yang menyambung pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang Sains Geografi mengambil keputusan untuk berkahwin pada 18 Ogos ini.
Tapi, kegembiraan mereka tak kekal lama. Pada Ramadhan tahun lepas, Fatin disahkan menghidap kanser tisu lembut tahap 4.
Pernikahan pesakit kanser dan suami
Selepas mendengar khabar tentang kekasih hatinya, Azzam tak meninggalkan Fatin. Malah, dia yakin yang Fatin akan sembuh seperti sediakala dan membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 17 Jun lalu.
Malangnya, kesihatan Fatin bertambah merosot walaupun telah melakukan pembedahan beberapa kali dari September tahun lepas hingga Februari tahun ini.
Keadaan Fatin bertambah teruk apabila dia mula lumpuh dari pinggang ke bawah pada Julai ini.
Keikhlasan cinta Azzam pada Fatin dibuktikan apabila dia mahu mempercepatkan pernikahannya dengan Fatin dan dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Mereka telah dinikahkan secara ringkas dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat. Ketika pernikahan berlangsung, Fatin hanya mampu terbaring di atas katil. Mereka telah sah bernikah Jumaat lepas, 3 Ogos pada pukul 11 pagi.
Pernikahan pesakit kanser tak sampai 24 jam
Petang selepas mereka dinikahkan, Fatin terpaksa dikejarkan ke hospital Jitra akibat sesak nafas.
Jodoh mereka di dunia tak panjang, Fatin menghembuskan nafas terakhirnya pada 5.20 pagi hari Sabtu lepas di sisi suami tercinta, bapa, ibu dan abangnya.
Luar biasa sungguh cinta Azzam pada Fatin. Kami di theAsianparent mengucapkan takziah pada Azzam dan keluarga Fatin atas kehilangan mereka ini. Semoga mereka bertemu semua di Jannah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber dari Bernama
Baca juga:
Pengantin dengan kanser payudara maut lepas 24 jam berkahwin dengan suami tercinta