Walaupun sudah mempunyai anak, tetapi impian untuk memiliki anak kembar tetap ada di lubuk hati ramai ibu-ibu di luar sana. Ramai juga yang tertanya-tanya apakah petua untuk mendapatkan anak kembar.
Walaupun sains menyatakan bahawa ia bergantung kepada genetik keluarga atau pun bergantung kepada rawatan kesuburan, namun ada banyak kisah menarik di luar sana yang menceritakan bagaimana ramai pasangan berjaya memperoleh cahaya mata kembar secara semulajadi. Antara kisah yang kami ingin kupaskan adalah berkenaan dengan wanita ini – Merpati Putih.
Beliau telah pun dikurniakan cahaya mata pertama pada tahun 2010 yang diberi nama Taufiq Aniq. Si manja beliau lahir pada usia 38 minggu berserta berat 2.8kg. Beberapa bulan selepas habis pantang, beliau dan suami dikejutkan sekali lagi dengan kehamilan yang kedua. Walaupun telah cuba untuk merancang, rezeki datang awal daripada yang dijangkakan.
Kejutan Berita Kelahiran Seterusnya – Kembar Dua!
Seperti kebanyakkan ibu bapa lain, kehadiran bayi yang kedua hanya beberapa bulan selepas kelahiran yang pertama mungkin agak merisaukan hati. Yelah, si kecil baru berusia beberapa bulan. Dengan hendak menyusukannya lagi, hendak bersedia daripada segi kewangan pula buat si kecil yang bakal menjelang. Namun, ketahuilah, setiap perancangan dan ketentuan Allah itulah yang terbaik.
Maka, dengan keadaan yang belum bersedia dari segi fizikal, kewangan, mental, dan pelbagai lagi, wanita tersebut terus redha dan bersedia. Yang mengejutkan beliau adalah apabila doktor memberitahunya bahawa anak yang dikandungnya itu kembar dua. Pada 36 minggu, lahirlah anak kembar yang diberikan nama Lutfiah Hana(2.2kg) dan Lutfiah Hani (1.9kg).
Kehadiran Cahaya Mata Kembar Tiga (Triplet) selepas 4 Tahun
Selalunya, kebarangkalian untuk melahirkan anak kembar secara berturut-turut adalah rendah. Namun, selang beberapa tahun, beliau dan suami membuat keputusan untuk mendapatkan anak lagi. Rindu bau bayi katanya. Apabila disahkan hamil, doktor sekali lagi memberitahu yang anak yang dikandungnya itu kembar!
Doktor di klinik kesihatan tersebut lalu merujuknya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Pakar O&G di HTAR kemudiannya membuat ujian scanning dari bawah dan alangkah terkejutnya, kali ini ia kembar tiga (triplet)!
Selepas bertarung dengan alahan yang teruk selama berbulan-bulan, pada usia 28 minggu, si kembar tiga tidak lagi sabar dan mahu segera melihat dunia. Mereka dilahirkan secara pembedahan Caesar. Maka, lahirlah cahaya mata triplet pasangan ini yang diberi nama Lutfiah Aira (1kg), Lutfiah Aina (1.2kg), dan Lutfiah Aini (1.2kg).
Anak-anak Merpati Putih dan pasangan kini membesar dengan sihat. Hanya dengan 3 kali bersalin, mereka dikurniakan seramai 6 orang cahaya mata – seorang, twins, dan triplet. Apakah agaknya rahsia beliau sehingga bertuah sebegitu sekali?
Petua Mendapat Anak Kembar
Sebenarnya, kalau di ambil dari kisah wanita bertuah di atas, antara tips yang boleh kita kutip adalah sifat redha dan tabah dalam menerima ketentuan. Walaupun beliau diuji dengan kehamilan yang sangat hampir dengan kelahiran bayi pertamanya, beliau tetap menerima ketentuan Ilahi. Walaupun beliau belum bersedia daripada pelbagai segi, namun beliau sedar bahawa ada rezeki pada anak-anak yang dikurniakan itu.
Sudah tentu ada pelbagai tips atau petua mendapat anak kembar yang dikongsikan oleh ramai orang di luar sana. Antaranya ialah:
- Mengambil asid folik, magnesium dan kalsium.
- Wanita yang lebih berumur ada kebarangkalian tinggi untuk mendapatkan anak kembar kerana mempunyai hormon FSH yang lebih banyak.
- Kemungkinan mendapatkan kembar juga tinggi jika si ibu sedang menyusukan anak ketika mengandung lagi satu.
- Memakan keledek. Dikatakan bahawa keledek mempunyai bahan kimia yang mampu membuatkan wanita mengandung anak kembar.
- Menggunakan posisi seks yang tertentu juga meningkatkan kemungkinan untuk mempunyai bayi kembar.
- Memperbanyakkan pengambilan makanan berasaskan susu seperti susu lembu dan keju.
Sudah pasti, antara petua penting untuk mendapatkan anak twins atau triplet adalah memperbanyakkan doa. Tidak ada apa yang mustahil dengan kuasa Allah. Yang penting, usaha dan keredhaan di atas setiap ketentuan. Cubalah dan selamat berjaya!
Source: Siraplimau