Pilihan Perlindungan Polisi Insurans Materniti Untuk Wanita Hamil Semak, Beri Manfaat Ibu & Bayi!

undefined

Polisi insurans materniti antara lain melindungi ibu hamil dan bayi ketika dalam kandungan malah sehingga selepas dilahirkan.

Menimang cahaya mata sememangnya menjadi impian buat semua pasangan yang telah berkahwin. Namun ia juga bukanlah mudah kerana kadangkala akan terdapat risiko atau komplikasi lain yang akan dialami oleh ibu hamil. Bagi mengelakkan bebanan kewangan seandainya perkara tersebut berlaku, polisi insurans mungkin boleh menjadi penyelamat anda.

Untuk ibu ayah, mungkin ada yang sudah tahu bahawa terdapat perlindungan insurans untuk ibu hamil dan bayi dalam kandungan.

Ya, sesetengah syarikat insurans di Malaysia kini sudah menawarkan perlindungan insurans untuk ibu hamil dan bayi meskipun belum dilahirkan. Ini bermakna jika berlaku sebarang komplikasi terhadap ibu atau anak ketika kehamilan atau selepas dilahirkan, maka mereka boleh dilindungi oleh pihak insurans. 

Apakah Itu Polisi Insurans?

polisi insurans, jenis insurance, maksud polisi insurans, jenis polisi insurans

 

Sebelum berkongsi dengan lebih lanjut, ayuh ketahui dahulu maksud polisi insurans. Polisi insurans merujuk kontrak undang-undang di antara penanggung insurans iaitu syarikat insurans dengan individu yang diinsuranskan.

Untuk mendapatkan satu polisi insurans, individu yang ingin diinsuranskan perlu memahami dan mengesahkan dahulu segala syarat dan bentuk perlindungan yang diberikan di dalam sesuatu produk polisi. 

Individu yang diinsuranskan kemudiannya perlu membayar premium bulanan bagi mendapatkan perlindungan kewangan jangka panjang. Premium insurans yang dibayar itu akan dikumpulkan bersama premium pemegang polisi yang lain di bawah satu dana.

Andai kata berlaku sesuatu terhadap pemegang polisi, maka sebahagian dana yang dikumpulkan itu akan digunakan oleh syarikat insurans bagi menampung perbelanjaan kewangan pemegang polisi mengikut bentuk perlindungan yang disediakan.

Insurans memainkan peranan penting atau boleh dikatakan sebagai talian hayat sekiranya berlaku sesuatu terhadap anda, contohnya kemalangan, kematian, hilang upaya kekal (PTD), atau kehilangan harta benda. 

Individu yang diinsuranskan boleh mendapat pampasan dalam bentuk kewangan daripada syarikat insurans bagi perkara yang dilindungi (seperti yang termaktub di dalam polisi insurans). Selain individu yang diinsuranskan, waris (benefisiari) juga layak mendapat pampasan jika berlaku sesuatu terhadap pemegang polisi. 

Jenis-jenis insurans yang boleh dimiliki adalah:

  • Insurans hayat
  • Insurans perubatan
  • Insurans kenderaan
  • Insurans perjalanan
  • Insurans rumah

Adakah Kedua-dua Ibu Ayah Memerlukan Polisi Insurans?

polisi insurans, jenis insurance, maksud polisi insurans, jenis polisi insurans

Dengan keadaan semasa yang tidak menentu, ditambah pula dengan kewujudan pelbagai penyakit, maka ibu ayah amat digalakkan untuk memiliki polisi insurans, khususnya perlindungan insurans hayat dan insurans perubatan.

Perlindungan insurans ini dapat membantu ibu atau ayah serta anak jika berlaku sesuatu perkara yang tidak dijangka terhadap salah seorang.

Contohnya, jika suami meninggal, isteri layak mendapat wang pampasan daripada insurans hayat suami dan boleh digunakan untuk kelangsungan hidup waris, pendidikan anak-anak dan lain-lain.

Insurans hayat dan insurans perubatan khususnya boleh mengurangkan beban kewangan keluarga jika ditimpa sesuatu musibah, termasuklah penyakit yang memerlukan rawatan jangka panjang seperti kanser.

Dengan adanya perlindungan insurans, ia sedikit sebanyak boleh dijadikan sebagai penggantian pendapatan, dan seterusnya membantu meneruskan kelangsungan hidup keluarga dengan lebih lancar dan baik sehingga ke beberapa tempoh.

Selain insurans untuk ibu ayah, anak-anak juga perlu diberikan perlindungan insurans bagi:

  • Melindungi anak daripada penyakit biasa dan pelbagai kondisi perubatan
  • Jaminan pendidikan anak-anak pada masa hadapan
  • Menyediakan si anak dengan kualiti perubatan yang lebih baik

Insurans Hayat Ketika Kehamilan

Selain insurans nyawa dan insurans perubatan yang menawarkan perlindungan lebih komprehensif untuk hampir sesiapa sahaja, satu lagi insurans yang boleh dimiliki adalah polisi  insurans materniti.

Insurans materniti merupakan satu jenis polisi insurans bertempoh yang melindungi wanita hamil dan anak yang baru lahir. Lazimnya, perlindungan ini mula diberikan bermula dari 13 minggu kehamilan sehingga anak berusia sehingga 5 tahun (berbeza-beza dan bergantung kepada syarikat insurans).

Perlindungan yang diberikan termasuklah komplikasi kehamilan, penyakit kongenital, dan kematian akibat keadaan ini.

Polisi insurans kehamilan juga pada kebiasaannya turut menawarkan manfaat seperti penjagaan hospital yang melindungi penyakit tambahan seperti bronkitis, kelahiran pramatang, masalah rahim pecah dan banyak lagi.

Pelan insurans ini biasanya diletakkan dalam satu pakej bersama produk insurans nyawa. Ini bermakna, jika berminat untuk mendapatkan perlindungan ketika kehamilan, maka anda perlu membeli polisi insurans nyawa juga bagi mendapatkan insurans kehamilan. 

Berapakah Jumlah Perlindungan Untuk Insurans Hayat Yang Anda Perlukan?

Faedah insurans hayat biasanya digunakan sebagai penggantian pendapatan terutama waris jika berlaku sesuatu terhadap pemegang polisi insurans.

Jumlah perlindungan sebelum mendapatkan polisi insurans hayat adalah berbeza-beza, bergantung kepada individu. Namun secara amnya, untuk mengenal pasti jumlah perlindungan yang diperlukan, anda boleh bertanyakan kepada diri anda sendiri mengenai beberapa perkara seperti di bawah ini:

  • Berapakah jumlah komitmen/  tanggungan anda sebulan untuk seisi keluarga? 
  • Adakah anda sudah memiliki tabung kecemasan?
  • Berapakah jumlah yang anda ingin simpan untuk pendidikan anak-anak anda?
  • Adakah keluarga anda terdapat sejarah penyakit kritikal?
  • Berapakah jumlah yang dirasakan mampu untuk anda tanggung bagi premium bulanan insurans?
  • Adakah perlindungan tersebut hanya untuk perlindungan bertempoh atau perlindungan seumur hidup?

Persoalan-persoalan ini mungkin akan membantu anda untuk memastikan berapakah jumlah perlindungan bagi insurans hayat yang perlu dan boleh anda beli.

Elak membeli polisi insurans dengan jumlah perlindungan yang terlalu tinggi jika anda kurang berkemampuan, bagi mengelakkan kerugian pada masa akan datang.

Apakah Bentuk Perlindungan Materniti Yang Perlu Ada?

Ketika ingin mencari produk insurans materniti, anda perlu banding dan telitikan satu per satu jenama insurans terlebih dahulu. Ini kerana, pelbagai syarikat insurans pada kebiasaannya akan menawarkan perlindungan yang sedikit berbeza di antara satu sama lain. 

Perlindungan untuk ibu: 

  • Komplikasi kehamilan: Komplikasi kehamilan seperti praeklampsia dan eklampsia.
  • Kematian atau manfaat hilang upaya kekal (TPD): Bayaran sekaligus dibuat sekiranya berlaku kematian atau TPD.
  • Manfaat  kemasukan ke hospital: Manfaat tunai harian setiap hari anda dimasukkan ke hospital akibat komplikasi kehamilan.

Sesetengah pelan insurans juga menyediakan faedah tambahan kepada wanita hamil, seperti manfaat kesihatan mental. 

Perlindungan untuk bayi:

  • Penyakit kongenital (bilangan penyakit kongenital yang dilindungi adalah berbeza bergantung pada pelan insurans)
  • Manfaat kematian: Bayaran sekaligus dibuat selepas kematian.
  • Manfaat kemasukan ke hospital: Manfaat tunai harian disediakan untuk setiap hari bayi dimasukkan ke hospital kerana penyakit kongenital.
  • Manfaat fototerapi pesakit luar bagi  jaundis neonatal yang teruk: Manfaat kewangan untuk setiap hari mesin fototerapi disewa.

Pengecualian: Sesetengah polisi tidak melindungi kehamilan yang disebabkan oleh Persenyawaan In Vitro (IVF) atau Prosedur Pembuahan Berbantu yang lain. Jika anda menggunakan IVF untuk hamil,sila rujuk dulu ejen syarikat insurans anda untuk mendapatkan pengesahan mengenai  perlindungan tersebut. 

Walaupun kebanyakan polisi insurans bersalin melindungi anak kembar, namun sesetengah polisi mengecualikan ibu yang mengandung lebih daripada dua janin, seperti kembar tiga atau kembar empat.

Ini kerana kehamilan ini mungkin menimbulkan risiko yang lebih tinggi kepada syarikat insurans, dan disebabkan itu ia dikecualikan. Namun begitu, anda tetap boleh bertanyakan kepada ejen insurans anda untuk kepastian mengenai perlindungan ini. 

Pelan Insurans Yang Tersedia Sebelum Kehamilan

Anda boleh membeli insurans yang melindungi kes-kes seperti keguguran, pembedahan kecemasan Caesarean, kelahiran pramatang, serta kecacatan kelahiran. 

Komplikasi ini biasanya memerlukan penjagaan perubatan yang lebih besar dimana anda mungkin perlu tinggal lebih lama di hospital, dan seterusnya menyebabkan kos hospital menjadi lebih mahal dan tinggi.

Kebanyakan syarikat insurans menyediakan perlindungan ini, namun hadnya berbeza-beza mengikut syarikat insurans. 

Insurans Materniti Terbaik di Malaysia (Semasa Kehamilan & Selepas Kelahiran)

Ada beberapa polisi insuran materniti yang boleh anda semak. Namun, jika berminat untuk melanggannya anda juga perlu semak dengan ejen atau syarikat yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat yang terkini. 

#1. AIA A-Plus BabyCare 

polisi insurans, jenis insurance, maksud polisi insurans, jenis polisi insurans

AIA A-Plus BabyCare adalah pelan insurans bayi Malaysia daripada AIA. Ia adalah tambahan kepada rider bagi pelan insurans kanak-kanak AIA A-Life Joy.

Pelan komprehensif ini memberikan perlindungan kewangan untuk pelbagai kos disebabkan oleh risiko kelahiran dan risiko pembangunan bayi. Pelan AIA A-Plus BabyCare ini merangkumi situasi berisiko tinggi dan kos tinggi bagi kedua-dua ibu dan bayi.

Apa yang ditawarkan pada pelan ini?

  • Memberi manfaat penjagaan kanak-kanak jika bayi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) atau Unit Pergantungan Tinggi (HDU) pada kadar antara RM300 sehari atau RM600 sehari.
  • Inkubasi bagi bayi yang baru dilahirkan pada harga RM150 sehari atau RM300 sehari
  • Bayi yang baru dilahirkan memerlukan rawatan fototerapi (senario biasa) pada harga RM 500 atau RM 1,000 bagi setiap tuntutan.
  • Perlindungan kemasukan hospital kecacatan kelahiran (sehingga 15 jenis kecacatan)
  • Perlindungan gangguan perkembangan kanak-kanak
  • Kematian perlindungan janin
  • Perlindungan komplikasi kehamilan untuk ibu hamil

Nota: Pelan ini tidak disediakan untuk kehamilan yang dibangunkan dari IVF atau kaedah insenimasi buatan. 

#2. Smart Baby Shield

Tambahan pelan Smart Baby Shield ke dalam produk SmartProtect Junior dari Great Eastern akan membolehkan kedua-dua ibu dan bayi nikmati perlindungan lebih komprehensif dari sebelum dilahirkan sehingga selepas kelahiran bayi. 

Apa yang ditawarkan pada pelan ini?

  • Perlindungan terhadap komplikasi yang mungkin berlaku ketika anda sedang hamil, dengan faedah sehingga RM5,000
  • Ibu yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Pergantungan Tinggi (HDU) akibat komplikasi akan menerima manfaat tunai sebanyak RM500/sehari sehingga 1 bulan selepas bersalin. 
  • Bayi yang dimasukkan ke ICU atau HDU pada bila-bila masa dalam tempoh setahun bayi dilahirkan akan diberikan manfaat tunai sebanyak RM500/sehari sehingga maksimum 60 hari. 
  • Pembayaran sekaligus sebanyak RM1,000 jika ibu atau bayi didiagnosis penyakit seperti HFMD, campak, demam chikungunya, demam typhoid, rabies, zika, ebola dan lain-lain. (rujuk polisi)
  • Bayaran balik sehingga RM30,000 setahun apabila anak anda dimasukkan ke hospital pada bila-bila masa sehingga ulang tahun polisi (sebelum umur anak anda mencapai 5 tahun) disebabkan oleh mana-mana keadaan kongenital yang dilindungi. 
  • Manfaat tunai sebanyak RM200/sehari (sehingga maksima 60 hari) sekiranya bayi anda perlu dimasukkan ke dalam inkubator dalam tempoh 60 hari selepas dilahirkan.
  • Manfaat tunai RM1,000 diberikan sekaligus jika bayi anda memerlukan rawatan fototerapi untuk penyakit kuning Neonatal.
  • Manfaat kematian akibat kemalangan sebanyak RM30,000 akan dibayar semasa kematian ibu sebelum bersalin dan sehingga 1 bulan selepas melahirkan. Jika kematian akibat kemalangan akibat pengangkutan awam, sebanyak RM60,000 akan dibayar.
  • Jika ibu hamil diagnosis barah, Smart Baby Shield memberikan bantuan kewangan untuk menyokong si ibu dalam perjalanan menuju pemulihan.

#3. PRUMy Child Plus

PRUMy Child Plus menggunakan produk PRUWith You sebagai pelan asas yang boleh memberikan perlindungan menyeluruh untuk ibu dan bayi dalam kandungan sambil memastikan anak akan dilindungi walaupun sudah dewasa. 

Apa yang ditawarkan pada pelan ini?

  • Pilihan perlindungan untuk bayi bagi sebelum dan selepas kelahiran. Bagi sebelum kelahiran, perlindungan akan diberikan dari usia kandungan berusia 14 minggu sehingga dilahirkan. Manakala selepas dilahirkan, perlindungan diberikan dari umur setahun sehingga 70 tahun.
  • Perlindungan penyakit kritikal kanak-kanak bertukar menjadi penyakit kritikal dewasa pada usia 25 tahun
  • Simpanan khas untuk menambah dana pendidikan
  • Perlindungan tambahan yang membayar sekaligus, pendapatan tetap atau kos hospital sekiranya anak dimasukkan ke hospital akibat kemalangan atau penyakit serius. 

#4 Flex Maternity Care

Flex Maternity Care menyediakan perlindungan dari awal kehamilan sehingga bayi berusia 2 tahun. 

Apa yang ditawarkan pada pelan ini?

  • Untuk ibu hamil, bayaran 200% jumlah jaminan jika ibu mati akibat komplikasi
  • Manfaat tunai harian kemasukan ibu mengandung ke ICU atau HDU akibat komplikasi
  • Manfaat tunai sekaligus jika mengalami penyakit kongenital berdasarkan jadual faedah
  • Manfaat tunai harian jika bayi dimasukkan ke ICU atau HDU akibat kelahiran pramatang, penyakit HFMD, denggi, pneumonia, dan lain-lain (rujuk jadual perlindungan pada polisi)
  • Manfaat tunai harian ketika tempoh intubasi anak yang baru lahir. 

Insurans Perjalanan Untuk Wanita Hamil di Malaysia

Ketika anda masih bujang, anda mungkin akan memilih insurans perjalanan yang paling murah sahaja pada ketika itu. 

Walau bagaimanapun, kini jika anda sudah hamil, anda perlu tahu bahawa kebanyakan polisi insurans perjalanan tidak memasukkan perlindungan untuk penyakit dan kecemasan yang berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran bayi.

Walaupun anda mungkin masih dilindungi untuk perlindungan asas seperti kehilangan bagasi atau kelewatan perjalanan, anda mungkin tidak dapat membuat tuntutan jika, sebagai contoh, anda perlu berjumpa doktor di negara lain kerana mengalami alahan dan jika terdapat sebarang komplikasi kehamilan semasa dalam perjalanan, ia pastinya akan memudaratkan kewangan anda.

Situasi tertentu yang berpunca daripada komplikasi kehamilan yang tidak dijangka, atau kehamilan yang berlaku selepas anda membeli pelan anda, mungkin dilindungi oleh insurans perjalanan. Pembatalan perjalanan atau tertinggal perjalanan lain yang disebabkan oleh kehamilan normal bagaimanapun biasanya tidak dilindungi oleh insurans perjalanan.

Insurans perjalanan, seperti mana-mana insurans lain, mempunyai sekatan perlindungan yang khusus. Baca polisi insurans anda dengan teliti, dan hubungi ejen anda jika mempunyai sebarang soalan tentang perlindungan.

Dapatkan juga nasihat doktor jika anda mempunyai kebimbangan serta persoalan mengenai perjalanan yang lebih selamat jika sedang hamil (terutamanya di akhir trimester).  

Di Malaysia, perlindungan insurans untuk wanita hamil dan bayi dalam kandungan mungkin terhad. Walau bagaimanapun, anda boleh mendapatkan kepastian dengan melakukan carian di internet atau menghubungi ejen yang sah untuk rujukan anda. 

  1. What to Expect. (Oct 20,2021).Life Insurance 101: A Guide for New Parents. www.whattoexpect.com/pregnancy/life-insurance

Artikel ini mendapat kebenaran untuk diterjemahkan daripada theAsianparent Singapura

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Bila Ibu Boleh Mula Keluar Rumah Selepas Bersalin? Ini Panduan Lengkap Untuk Semua Ibu Baru

Baca juga: Nafsu Seks Mengandung Menurun, Cuba 5 Cara Ini Kembalikan Kehangatan Hubungan Intim

Baca juga:  Makanan Untuk Orang Berpantang Pembedahan Yang Selamat Diambil, Bantu Sembuhkan Luka Bersalin

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!