Bagi kebanyakan ibu ayah, pastinya anda akan memastikan setiap anak melalui proses membaca secara berkesan sebelum memasuki alam persekolahan.
Bahkan, ada juga dalam kalangan anak-anak berjaya membaca sebuah buku pada usia 4 tahun lagi dan sudah mempunyai jadual harian untuk melakukan latihan.
Proses membaca kanak-kanak
Menurut penggiat industri pendidikan awal kanak-kanak, Nor Azura Ismail, dia tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah ibu ayah yang begitu menekankan anak-anak menyiapkan latih tubi seperti mereka sudah memasuki persekolahan.
Hal ini kerana ibu ayah belum memahami perkembangan anak dan konsep pendidikan awal kanak-kanak sehingga sanggup menghukum anak yang tidak berminat mengikuti proses membaca buku di rumah.
Azura turut mengatakan dia juga melakukan kesilapan yang sama terhadap murid tadika yang berusia 4 hingga 6 tahun.
Pada mulanya, matlamat utama adalah memenuhi harapan tinggi ibu ayah dengan memastikan setiap anak boleh membaca dengan lancar.
”Saya sedaya upaya merealisasikannya dengan memperkenalkan program membaca dengan cepat, adakan sesi belajar ‘one to one’ , kelas tambahan membaca dan beri latih tubi membaca pada setiap hari,”
”Saya telah memaksa emosi anak-anak untuk belajar. Mereka ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja. Hasilnya, ramai anak murid saya boleh membaca dengan baik dalam bahasa Malayasia Inggeris juga,”
Tambahnya lagi, hati seorang pendidik dan ibu ayah amat berbangga kerana mereka boleh membaca di awal usia dan sekaligus melabelkan anak sebagai seorang yang cerdik dan pintar.
Impak negatif tanpa sedar
”Saya mula perasan anak-anak yang boleh membaca pada awal usia biasanya memiliki keyakinan diri yang kurang, penakut, pemalu dan pendiam,”
”Mereka juga boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak tidak banyak bermain, kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka memiliki emosi kurang sihat dan self esteem yang rendah.” katanya.
Tidak cukup dengan itu, anak-anak lambat membaca pada usia 5 atau 6 tahun didapati mereka begitu aktif, tidak boleh duduk diam, banyak bermain dan memiliki perasaan ingin tahu.
Jika meneliti pendidikan awal kanak-kanak 0 hingga 4 tahun, anda akan menyedari kesilapan dalam memahami tahap perkembangan kanak-kanak.
Perkara yang paling utama adalah mengetahui tingkahlaku, karenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Tugas hakiki anak kecil bawah 7 tahun adalah bermain dan bukannya belajar. Ia adalah satu-satunya cara semulajadi untuk memudahkan anak-anak memahami dunia dan proses pembelajaran.
”Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Ia perlu mengenalpasti tahap perkembangan dan galakan untuk mereka mencapai kejayaan tertentu melalui potensi diri,” ujarnya.
Antara aspek perkembangan awal kanak-kanak ialah:
- Perkembangan sosiemosi- bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
- Perkembangan bahasa- galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
- Perkembangan kognitif- galak anak berfikir , menggunakan deria untuk meneroka, belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
- Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan
- Perkembangan fizikal- galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar
- Perkembangan kreativiti dan estetika- galak anak supaya kreatif dan mempunyai imaginasi pelbagai
Galakkan anak bermain
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja?
Mereka sememangnya bermain tetapi secara tak langsung anak-anak banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut. Antaranya:
- Anak main blok: mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
- Anak main pasir dan bina istana: mereka cuba merealisasikan imaginasi mereka.
- Anak berlari sekeliling rumah atau taman: mereka belajar meneroka persekitaran
- Anak main olok-olok dengan kawan sebaya: mereka belajar bersosial, bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
- Anak yang suka menyentuh pelbagai barangan: mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
- Anak yang aktif berlari: mereka membina kecergasan diri.
Justeru, anak-anak tidak perlu dipaksa untuk belajar. Ibu ayah perlu menerapkan terlebih dahulu ilmu mengenai kehidupan di samping membentuk anak mengikut aspek perkembangan bersesuaian dengan usia.
Keinginan untuk belajar akan datang dengan sendiri apabila anak bersedia untuk menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul dan yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaian kejayaannya.
Jika anda mencontohi pendidikan awal anak di Jepun, mereka mula dengan mendidik aspek akhlak dan nilai-nilai murni. Manakala, pendidikan berteraskan peperiksaan hanya berlaku apabila anak berumur 10 tahun.
Kesimpulannya, kejayaan anak-anak bukanlah diukur dari akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek kerana mereka mempunyai potensi diri yang berbeza.
Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak. Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Sumber: Nor Azura Ismail
Kredit foto: Shutterstock
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comperkembangan-anak-yang-mana-dulu