Memandangkan masyarakat sudah diberikan sedikit kelonggaran oleh kerajaan yang membenarkan untuk keluar rumah mengikut SOP seperti memakai topeng muka, hand sanitizer serta mengamalkan penjarakan sosial. Namun, siapa sangka ada segelintir daripadanya ‘terlepas’ pulang ke kampung halaman.
Selepas beberapa minggu negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan diisytiharkan sebagai zon hijau, semalam tular diperdebatkan dalam media sosial mengenai kes baharu selepas seorang wanita sarat mengandung didapati positif Covid-19.
Tidak tahu dijangkiti Covid-19 ketika pulang ke kampung
Menurut laporan Berita Harian, ibu hamil berusia 30 tahun berkenaan telah pulang ke kampung halamannya di Kuala Krai ketika kerajaan memberi kelonggaran merentas negeri minggu lalu.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan perkara ini yang membabitkan pesakit dari kawasan Ampang, Kuala Lumpur. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dia yang sedang hamil 35 minggu telah melakukan perjalanan rentas negeri kerana ingin melahirkan cahaya mata.
Difahamkan, dia telah berada di kawasan berkenaan sejak Jumaat yang lalu dan menyebabkan 20 kontak rapat dikenakan kuarantin.
Selain ahli keluarganya, para petugas klinik kesihatan yang merawat wanita terbabit turut dikenakan tindakan sama bagi mengesan sebarang tanda jangkitan.
Bukan itu sahaja, dia bertindak pulang ke kampung di luar tempoh pergerakan negeri yang dibenarkan antara 7 hingga 10 Mei lalu dan tiada kaitan dengan perjalanan Gerak Malaysia bagi tujuan bersalin.
Menurut sumber Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, hal yang paling membimbangkan adalah pesakit ini tidak mempunyai sebarang simptom seperti demam atau batuk. Disebabkan ini dia bebas bergerak.
Pesakit turut ‘menjelajah’ ke daerah lain
Terdahulu selepas sebulan bebas Covid-19, negeri Kelantan kembali mencatatkan satu kes terbaharu di Kuala Krai yang membabitkan seorang wanita mengandung.
Tidak melakukan kuarantin sendiri di rumah, malahan dia dikatakan telah singgah di beberapa daerah sebaik sahaja sampai ke kampung iaitu berbuka puasa di kediaman nenek belah suami di Machang.
Selepas itu, dia bergerak ke kediaman mentuanya di kampung Mengkebang dan menginap rumah keluarga di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai.
Kemudiannya, dia telah melakukan pemeriksaan kehamilan di salah sebuah klinik pada hari Selasa sebelum disahkan positif Covid-19.
Menurut perkongsian di laman Twitter, ibu bapa wanita berkenaan adalah seorang peniaga di pasar borong dan pastinya akan menyukarkan keadaan sekiranya mereka turut menerima jangkitan yang sama.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr. Izani Husin berkata mangsa kini telah menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Sementara itu, pihak polis menunggu arahan tindakan dari kerajaan negeri untuk sebarang tindakan selanjutnya bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri terbabit.
Tragedi hitam buat seluruh rakyat Kelantan
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan menyifatkan kejadian ini adalah seolah-olah sebuah tragedi bagi negeri Kelantan kerana sudah lebih sebulan memegang status Zon Hijau dan kini secara automatik bertukar kepada kuning.
”Situasi ini merupakan satu tragedi dan apa yang kita tahu adalah seorang pembawa Covid-19 berpotensi menjangkiti 30 orang di sekelilingnya,”
”Untuk melakukan pemeriksaan seorang demi seorang individu merentas negeri sudah pastinya adalah satu beban yang perlu ditanggung oleh kami sedangkan wabak itu dibawa dari negeri lain,”
”Bagaimanapun kami akan mengadakan mesyuarat khas dan terpulang kepada kerajaan negeri untuk memutuskan sebarang perubahan tindakan dalam penguatkuasaan pemantauan nanti,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham turut menasihati orang ramai yang tinggal dalam zon merah untuk kekal berada di rumah. Jelasnya ia penting bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain khususnya mereka dalam zon hijau.
Sejak 16 Mei, pihak berkuasa telah memeriksa 238 500 buah kenderaan di 146 sekatan jalan raya sempadan negeri dan 508 pemandu kenderaan telah diarahkan patah balik kerana ingin cuba pulang ke kampung.
Pasukan polis dan tentera akan bekerjasama untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa sahaja yang didapati tidak mematuhi SOP yang disediakan.
Sumber: Berita Harian, Mstar
Kredit foto: Sumber
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comvirus-baru