KUALA LUMPUR (11 Oktober 2024) – Malaysia seperti kebanyakan negara lain sedang mengalami era negara menua (ageing nation) dengan rakyat yang berumur 65 tahun dan ke atas diunjurkan untuk meningkat daripada 8.1% penduduk pada 2024, kepada 14.5% menjelang tahun 2040.
Anjakan demografi ini menekankan keperluan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan khas yang memenuhi keperluan unik dan cabaran yang berkaitan dengan penuaan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa wanita secara amnya mempunyai jangka hayat yang lebih lama daripada lelaki, dengan purata hayat 5 tahun lebih panjang. Ini menyebabkan wanita berkemungkinan besar untuk menghadapi lebih banyak masalah kesihatan apabila usia mereka meningkat, menjadikannya penting untuk menangani kebimbangan kesihatan khusus yang dihadapi wanita semasa penuaan seperti perubahan hormon, menopaus dan penyakit lain seperti prolaps organ pelvis (peranakan jatuh), kencing tidak lawas dan juga kanser.
Penurunan Hormon Estrogen dan Progesteron
“Salah satu perubahan paling ketara yang dilalui wanita apabila usia mereka meningkat ialah peralihan kepada menopaus yang biasanya berlaku di antara umur 45 dan 55,” kongsi Pakar Perunding Obstetrik dan Sakit Puan daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Nor Elyana Noordin.
Semasa fasa ini, badan mengalami perubahan hormon yang ketara, termasuk penurunan drastik dalam pengeluaran hormon estrogen dan progesteron. Penurunan hormon ini boleh mencetuskan gejala seperti rasa panas, berpeluh malam, kekeringan faraj, dan perubahan mood.
Dari masa ke masa, ini boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius, seperti osteoporosis dan penyakit kardiovaskular, tambah Dr Elyana.
Penurunan tahap estrogen boleh menyebabkan ketidakselesaan semasa bersama, selalunya disebabkan oleh kekeringan faraj dan pengurangan keanjalan faraj, kata Dr Elyana. Untuk menguruskan masalah ini, terdapat beberapa pilihan seperti penggunaan pelincir berasaskan air, pelembap faraj dan Terapi Penggantian Hormon (HRT) yang boleh dipertimbangkan. HRT dapat membantu untuk menambah tahap estrogen, yang bukan sahaja dapat mengurangkan simptom seperti kekeringan dan memulihkan keselesaan semasa hubungan seks, tetapi juga rasa panas dan simptom perubahan mood.
Bagaimanapun, adalah disyorkan untuk berunding dengan pakar sebelum memulakan rawatan HRT kerana terdapat peningkatan risiko kanser payudara, menurut Pakar Perunding dan Pakar Bedah Payudara, Endokrin dan Pembedahan Am SMCV, Dr Tan Yee Ling.
Rawatan alternatif termasuk terapi estrogen setempat (localised estrogen therapy) seperti krim atau cincin estrogen faraj, yang juga boleh berkesan dalam meningkatkan kesihatan faraj tanpa menjejaskan seluruh badan.
Selain hormon estrogen dan progesteron, paras testosteron dalam wanita juga menurun seiring peningkatan usia, yang membawa kepada penurunan libido dan jisim otot.
Sebagai tambahan kepada perubahan hormon ini, menopaus boleh mengganggu sensitiviti insulin, meningkatkan risiko untuk mendapat diabetes jenis 2. Fungsi tiroid juga mungkin terjejas, menyebabkan keadaan seperti hipotiroidisme yang dikaitkan dengan keletihan, penambahan berat badan dan kemurungan.
Perubahan fisiologi yang disebabkan oleh penurunan hormon memerlukan pemeriksaan kesihatan yang kerap dan rawatan awal untuk menguruskan keadaan ini dengan berkesan.
Prolaps Organ Pelvis (Peranakan Jatuh)
Menopaus juga boleh menyebabkan prolaps organ pelvis (POP), penyakit ginekologi di mana otot dan tisu yang menyokong lantai pelvik menjadi lemah, menyebabkan organ beralih daripada kedudukan normalnya. Wanita yang telah mempunyai anak mungkin lebih terdedah untuk mendapat penyakit ini, tetapi ia juga boleh berlaku pada mereka yang tidak mempunyai anak.
Penyakit ini biasa berlaku di kalangan wanita selepas menopaus disebabkan oleh penurunan tahap estrogen, yang menjejaskan kekuatan dan keanjalan tisu pelvis. Gejala POP mungkin termasuk rasa berat atau tekanan di kawasan pelvis, bonjolan yang kelihatan atau terkeluar di faraj, gejala kencing seperti kencing tidak lawas, kencing tidak habis dan ketidakselesaan semasa hubungan seksual.
Wanita juga mungkin mengalami kehilangan kawalan pundi kencing dan peningkatan risiko untuk mendapat jangkitan saluran kencing (UTI), atau masalah usus seperti sembelit dan sakit pinggang serta kesukaran untuk melakukan aktiviti fizikal yang melibatkan mengangkat, membongkok atau berdiri untuk tempoh yang lama.
Ini boleh menjejaskan keupayaan untuk bersenam, membuat kerja rumah dan aktiviti berkaitan kerja, menurut Dr Elyana.
POP masih tidak dibincangkan secara meluas kerana ramai yang berasa malu atau salah tanggapan mengenai penuaan, walaupun penyakit ini menjejaskan 1 dalam 10 wanita berumur lebih 50 tahun.
Walau bagaimanapun, rawatan awal boleh menghalang keadaan ini daripada menjadi lebih teruk. “Rawatan untuk prolaps organ pelvis termasuk pilihan bukan pembedahan seperti senaman lantai pelvis, biasanya dikenali sebagai senaman Kegel, dan penggunaan pesari faraj yang merupakan peranti yang direka untuk menyokong pundi kencing dan organ pelvis,” tambah Dr Elyana.
Untuk kes yang lebih teruk, campur tangan pembedahan mungkin diperlukan, seperti pembedahan rekonstruktif, histerektomi dan prosedur invasif minimum untuk membaiki dan menyokong organ pelvis.
Kencing Tidak Lawas
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, POP berkait rapat dengan kencing tidak lawas yang menjejaskan 30% wanita di Malaysia selepas menopaus. Salah satu bentuk yang paling lazim ialah kencing tidak lawas tekanan yang biasanya berlaku apabila tekanan dikenakan pada pundi kencing semasa aktiviti seperti bersenam, batuk, bersin atau mengangkat objek berat.
Keadaan ini mula menjadi lebih teruk di sekitar fasa menopaus kerana paras estrogen yang berkurangan, membawa kepada penipisan lapisan uretra dan otot lantai pelvik yang lemah lalu mengakibatkan keinginan yang lebih kerap untuk membuang air kecil dan kesukaran mengawal aliran air kencing.
Di samping itu, Dr Elyana menyatakan bahawa ramai wanita juga mungkin akan mengalami penambahan berat badan semasa menopaus, kerana kadar metabolisma akan menjadi perlahan, seterusnya menegangkan lagi dan melemahkan otot lantai pelvis.
Walaupun POP dan kencing tidak lawas sering dikaitkan, penyakit ini juga boleh terjadi dengan sendiri lalu memerlukan strategi rawatan yang berbeza. Oleh itu, penilaian komprehensif dan pelan rawatan yang diperibadikan adalah penting untuk menangani keperluan unik setiap pesakit dan memulihkan semula kualiti hidup.
Kanser Payudara
Payudara akan berubah seiring dengan perubahan usia dan hormon dari fasa akil baligh hingga remaja, kehamilan, penyusuan dan diikuti oleh menopaus. Ia akan berubah daripada tegang dan padat kepada menggeleber ke arah menopaus.
Pengurangan pengeluaran estrogen semasa menopaus boleh menyebabkan perubahan seperti melembutkan tisu payudara dan menjadikannya sedikit kendur. “Wanita mungkin mengalami rasa sakit atau berdenyut di payudara mereka pada masa ini.” kata Dr Tan.
Walaupun ini adalah gejala menopaus biasa, adalah penting untuk berunding dengan doktor pakar jika terdapat sebarang ketulan atau pengeluaran cecair dari putting payudara, tambahnya. Memandangkan kanser payudara adalah kanser yang paling biasa menyerang wanita di Malaysia, dengan kadar kelaziman 1 dalam 19 wanita, menyumbang 32.9% daripada kesemua kes kanser.
Walaupun wanita berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko tinggi, hampir separuh daripada kes kanser payudara didiagnosis pada mereka yang berumur di bawah 50 tahun, menekankan kepentingan pemeriksaan rutin dari usia yang muda. Lebih membimbangkan, 47.9% daripada diagnosis kanser payudara berlaku pada tahap lewat lewat (tahap 3 atau 4) lalu mengurangkan peluang rawatan dan pemulihan yang berjaya.
Pengesanan awal adalah penting untuk prognosis yang lebih baik dan akses kepada pilihan rawatan yang lebih luas. Dr Tan menekankan bahawa pemeriksaan kendiri dan ujian mamogram yang kerap adalah penting selepas umur 40 tahun untuk memeriksa sebarang kelainan payudara seperti ketulan, perubahan bentuk payudara, atau pengeluaran cecair dari puting.
Walaupun ketulan tidak menyakitkan, penting untuk mendapatkan nasihat perubatan untuk penilaian lanjut. Bagi wanita yang mempunyai sejarah keluarga kanser payudara atau risiko genetik yang lebih tinggi, Dr Tan menasihatkan mereka untuk melakukan pemeriksaan awal atau menjalani ujian genetik untuk mengesan kanser pada peringkat awal.
Langkah proaktif ini dapat meningkatkan peluang untuk mengesan kanser pada tahap awal dan membolehkan rawatan tepat pada masanya dapat dilakukan serta hasil rawatan yang lebih baik.
Penting Untuk Menjadi Proaktif, Jangan Lambat Bertindak
Apabila wanita meningkat usia, keadaan kesihatan mereka menjadi lebih kompleks, memerlukan pendekatan proaktif untuk menguruskan perubahan yang tidak dapat dielakkan yang berkaitan dengan penuaan. Keadaan seperti perubahan hormon, peranakan jatuh, kencing tidak lawas dan kanser payudara sering tidak dibincangkan secara meluas kerana stigma, kurang kesedaran atau rasa malu.
Adalah penting bagi wanita untuk menyedari kepentingan mendapatkan rawatan perubatan awal dan mengetahui pelbagai pilihan rawatan yang tersedia untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Dengan penjagaan perubatan profesional dan strategi pengurusan penyakit yang berkesan, wanita dapat melalui proses penuaan mereka dengan lebih yakin, mengekalkan kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental mereka.
Mempromosikan perbualan terbuka dan meningkatkan kesedaran tentang isu ini boleh memperkasakan lagi wanita untuk mengharungi cabaran penuaan, memastikan mereka terus menjalani kehidupan yang lebih baik di setiap peringkat usia.
Sesuatu yang mudah seperti memperbanyakkan langkah harian anda ialah inisiatif yang boleh dilakukan dan amat disyorkan untuk mereka yang ingin memulakan gaya hidup yang lebih sihat dan ingin menjaga kesihatan mereka walaupun usia mereka sudah meningkat.
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my/ (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).