Radang Pelvis (Pelvic Inflammatory Disease)

Komplikasi PID sangat merbahaya dan kerosakan yang diakibatkan pada organ peranakan tidak akan dapat dibaiki sampai bila-bila. Baca selanjutnya perbincangan tentang PID untuk mengetahui punca dan pencegahannya.

Radang pelvis atau Pelvic Inflammatory Disease (PID) adalah jangkitan organ peranakan. Sukar dikesan pada peringkat awal, PID hanya disyaki apabila wanita sukar hamil atau mengalami kesakitan pelvis yang kronik. Kes PID pada wanita hamil jarang berlaku, namun risiko komplikasi kehamilan meningkat bagi penghidap PID tanpa rawatan. Justeru, wanita hamil yang disyakki menghidapi PID akan dimasukkan ke hospital dan dirawat dengan antibiotik parenteral.

Adakah PID ini biasa berlaku?

Kes PID lebih kerap dilaporkan di negara yang mengamalkan seks rambang. Di USA misalnya, hampir 1 juta wanita menderitainya setiap tahun dan 1 daripada 8 remaja yang aktif secara seksual akan menghidap PID sebelum berumur 20 tahun. 10-15% daripada mereka mengalami kemandulan dan sebahagian besar kes kehamilan luar rahim (ektopik) setiap tahun berpunca daripada PID. Di Malaysia bilangannya tidak diketahui tetapi dipercayai meningkat. Wanita dibawah umur 25 tahun lebih mudah menghidapinya kerana servik mereka masih belum terbina sepenuhnya menyebabkan ia mudah dijangkiti.

Punca PID

Punca utama PID adalah bakteria penyebab klamidia dan gonorea (penyakit kelamin atau STD). Di Malaysia, bakteria penyebab gonorea paling kerap dilaporkan sebagai punca. Pengguna cuci sembur vagina atau douche lebih berisiko kerana ia mengubah flora pada vagina serta memaksa bakteria merebak kepada bahagian atas organ peranakan.

Bakteria juga boleh memasuki badan semasa melahirkan, biopsi endometrium, penggunaan alat cegah kehamilan IUD, keguguran dan pengguguran. Jangkitan usus yang bengkak juga boleh menjadi punca, namun ini jarang berlaku.

Simtom PID

Simtom yang biasa ditemui termasuk:

  • Demam
  • Kesakitan pada pelvis, bawah abdomen dan bawah pinggang
  • Keputihan dengan warna, tekstur dan bau yang tidak normal
  • Pendarahan selepas hubungan kelamin
  • Haid tidak teratur
  • Senggugut melampau
  • Pendarahan di antara waktu haid
  • Tidak mengalami haid
  • Kesejukan
  • Keletihan
  • Kerap atau sakit ketika kencing
  • Kekurangan selera makan
  • Loya dan/atau muntah
  • Kesakitan semasa hubungan kelamin, bersenam atau ovulasi

Mereka yang mengalami kehamilan ektopik atau kemandulan seringkali mempunyai simtom yang lemah atau tiada simtom walaupun kerosakan sedang berlaku pada organ peranakan.

Komplikasi dan risiko PID.

Tisu yang tercalar dan bernanah akibat PID menghalang perjalanan telur ke uterus serta boleh menutup terus tiub fallopion. Akibatnya telur tidak dapat disenyawakan lalu menyebabkan kemandulan atau telur yang telah disenyawakan kekal di dalam tiub dan menyebabkan kehamilan ektopik. Jika dibiarkan, tiub fallopian boleh meletus dan mengakibatkan kesakitan kronik, pendarahan dalaman dan kematian. Kesakitan pelvis kronik akibat PID boleh berlarutan selama beberapa bulan mahupun tahun. PID juga menyebabkan barah di bibir dan pintu vagina.

Rawatan untuk PID.

Simtom akan dianalisa manakala pemeriksaan pelvis serta ujian darah dan kultur pangkal rahim akan dilakukan. Jika disahkan PID, suntikan antibiotik diberi dan pil antibiotik dibekalkan untuk dua minggu. Selepas tiga hari, pesakit diperiksa semula bagi memastikan keberkesanan antibiotik.  Simtom PID boleh hilang sebelum jangkitan pulih sepenuhnya, justeru antibiotik perlu dihabiskan.

Rawatan di hospital disarankan jika pesakit hamil; mengalami sakit teruk; tidak bertindakbalas kepada atau tidak dapat mengambil ubat secara oral; mempunyai nanah terkumpul pada tiub fallopion atau ovari; dan memerlukan pemerhatian bagi memastikan simtom yang dialami bukan disebabkan oleh hal lain.

Pembedahan tidak perlu tetapi jika simtom berterusan atau nanah terkumpul pecah atau akan pecah, pembedahan dilakukan untuk mengeringkannya. Komplikasi PID kadangkala beransur baik dengan pembedahan. Apapun, organ peranakan yang rosak tidak dapat dibaikpulih.

Pencegahan

Paling utama, hindari seks rambang. Bagi mereka yang telah dijangkiti STD, dapatkan rawatan segera. Elakkan douche dan amalkan mengelap dari hadapan ke belakang selepas membuang air bagi menghindar bakteria dipindahkan daripada kolon kepada vagina. Gunakan kondom dengan betul secara berterusan untuk mengelakkan pemindahan bakteria. Dapatkan pemeriksaan tahunan jika anda wanita yang aktif secara seksual berumur 25 tahun kebawah, wanita berisiko jangkitan klamidia atau hamil.

 

Rujukan:

Pelvic Inflammatory Disease
Pelvic Inflammatory Disease II
Pelvic Inflammatory Disease (PID) – CDC Fact Sheet
Pelvic Inflammatory Disease (PID) Treatment: Guidelines, Research & Updates
Radang Pelvis
PID – Antara Punca Kemandulan Wanita
Chlamydia & Radang Pelvis – Info Sihat

 

Saya suka untuk mengetahui pandangan anda tentang topik ini. Kongsikannya di ruangan komen di bawah! 🙂