Ramai ibu ayah mengakui bahawa proses membesarkan anak sama ada lelaki dan perempuan adalah tidak sama. Mereka memiliki karakter tersendiri dan memerlukan gaya keibubapaan tertentu. Apa yang penting, anda adalah insan yang mereka letakkan rasa percaya begitu tinggi.
Memiliki anak perempuan hendaklah diajar sebaiknya sejak kecil agar dia dibesarkan dengan ajaran agama dan boleh menjaga diri apabila dewasa nanti.
Anak perempuan memiliki rasa percaya tinggi pada seorang ayah
Ketika anak perempuan masih kecil, hubungan mereka adalah lebih rapat dengan ayah seperti seorang kawan baik. Justeru, dari sinilah anda perlu menitipkan nilai-nilai agama dan adab agar ia sebati dalam diri si manja.
Menurut perkongsian Dr. Redza Zainol, dia masih teringat akan pesanan seorang jururawat berpangkat senior tentang cara mendidik anak-anak dalam keluarga apabila seseorang lelaki bergelar ayah.
Dulu pernah ada seorang jururawat minta tolong saya untuk mengazankan seorang bayi di wad bayi. Pada waktu itu sudah malam dan hanya saya seorang sahaja bekerja.
Ditakdirkan pula malam tersebut sangat sibuk dengan beberapa kes serius. Saya juga tidak bertanya sebab apa doktor yang kena azankan kerana sudah tahu biasanya masalah ini terjadi apabila bayi dilahirkan tiada ayah.
Nak dijadikan cerita, saya pun lupa untuk menyelesaikan permintaan tolong tersebut. Bila datang semula ke wad, saya sendiri sudah tidak ingat bayi dan jururawat yang mana satu.
Aduh, memang rasa bersalah tu datang berhari-hari dan sampai ke hari ini saya masih dilanda rasa tidak selesa apabila teringat akan kecuaian itu.
Mengimbas kembali kisah beberapa tahun lepas, masa kali pertama saya diminta azankan seorang bayi di bilik bersalin, saya sempat bertanyakan:
”Mana ayahnya kak?”
”Ni baby single martial status. Dia tak ada ayah. Tak ada doktor lain kat sini. Doktor sahaja lah yang tolong akak ya,” balas Kak Ani.
Nasihat untuk lelaki bergelar bapa
Lalu Kak Ani tunjukkan bayi tersebut dan saya bawanya ke sudut azan. Matanya masih tertutup. Ketika mula azan, barulah dia buka mata terkebil-kebil. Bayi tersebut hanya pandang sahaja pada saya, dia dengar dan sedikit pun tidak menangis.
Selepas meletakkan semula bayi berkenaan, lalu Kak Ani panggil saya. Dia adalah jururawat paling senior di situ.
”Bayi macam ni selalu ayahnya sudah lari. Ada yang dibuang keluar bila tahu anak mereka mengandung.”
Saya hanya mampu mengangguk perlahan. Kemudian dia turut menyelitkan beberapa pesanan, iaitu:
- Ada anak perempuan, jangan ambil mudah. Jaga anak perempuan sememangnya tidak sama dengan anak lelaki.
- Jangan dibeli pakaian seksi untuk mereka. Ajar anak berpakaian sopan dan paling penting ajar erti malu dan batasan aurat.
- Jangan biarkan anak perempuan tidur sana sini kerana bahaya ada di mana-mana. Usah percaya pada sesiapa walaupun mereka adalah keluarga sendiri.
- Bila ada anak perempuan, ajar mereka sentuhan selamat dan tidak selamat.
- Ajar juga tentang harga diri supaya mereka sayang dekat diri.
- Apabila ada anak lelaki pula, ajar dia hormat wanita terutamanya pada ibu sendiri.
- Ajar anak lelaki untuk sama-sama lakukan tanggungjawab di rumah seperti bersihkan tandas, kutip sampah dan sidai baju.
- Ajar juga mereka tentang cara nak selesaikan masalah hidup.
- Ajar anak lelaki tentang empati pada ahli keluarga dan pasangannya.
Sekiranya malu untuk berkongsi ilmu dengan anak-anak, mereka akan cari juga di tempat lain. Pesanan Kak Ani yang terakhir ini saya cuba buat dan ia betul-betul berkesan.
”Seorang ayah mesti menjaga kepercayaan antara anak perempuan dan diri ayah. Barulah dia tidak kekok untuk mengadu apa-apa pada lelaki yang dipercayainya. Beri kebebasan untuk mulutnya berbicara. Yang penting ayah perlu jadi pendengar terbaik walaupun sesibuk mana pun kerja harian.”
Apabila anak perempuan selalu mengadu pada anda, itulah tandanya dia sangat meletakkan rasa percaya yang tinggi.
Sumber: Redza Zainol
Kredit foto: Google
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.combayi-kembar-perempuan