Rasa sakit melahirkan anak adalah perkara paling yang digeruni oleh ramai wanita. Hal ini kerana anda mungkin bakal berdepan pelbagai komplikasi bersalin sehingga berisiko meragut nyawa.
Setiap kehamilan akan memberikan pengalaman berbeza. Sudah tentu mana-mana ibu mengandung amat berharap untuk bersalin secara normal. Walau bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu, anda mungkin terpaksa melalui kelahiran secara pembedahan bagi menyelamatkan nyawa bayi dalam kandungan.
Rasa sakit melahirkan, nurse paksa wanita ini bersalin normal
Proses melahirkan anak diibaratkan mempertaruhkan nyawa si ibu. Seperti kisah yang dikongsi oleh wanita di Facebook ini, Lukya Betaria Sinaga adalah benar-benar sedih.
Dia memberitahu bahawa adik iparnya telah dipaksa bersalin secara normal meskipun pada perancangan awal, dia perlu melahirkan secara pembedahan czer.
Tragedi pilu ini berlaku apabila mereka telah pergi ke sebuah pusat perubatan di Indonesia untuk menunggu masa bersalin. Akan tetapi mangsa telah diarahkan oleh jururawat yang bertugas untuk bersalin secara normal.
Tujuan kami ke sana adalah menjalani pembedahan, mereka telah melarang dan memaksa adik ipar bersalin normal sehingga dia kehabisan tenaga.
Tambah Lukya, dia sendiri tidak pasti sama ada keputusan tersebut adalah daripada arahan doktor ataupun tidak. Dia juga tidak sampai hati mendengar suara wanita itu meraung kesakitan dan meminta kebenaran untuk masuk ke bilik tersebut. Namun dilarang oleh pihak hospital.
”Saya sempat bertanyakan kepada jururawat akan keberadaan doktor yang bertugas. Dia sibuk bercakap dengan telefon tidak tahu dengan siapa.”
”Lebih sedih lagi, adik ipar saya menangis kerana rasa sakit melahirkan yang melampau. Tetapi dia dimarahi kerana takut habis tenaga.” ceritanya.
Rasa sakit melahirkan sehingga nyawa ibu dan bayi tidak dapat diselamatkan
Lebih kurang jam 5 petang, mereka sekeluarga telah dimaklumkan bahawa petugas kesihatan telah memberikan induce bagi mempercepatkan proses bersalin. Walau bagaimanapun ia gagal.
Ketika itulah baru semuanya kalut untuk meneruskan proses pembedahan dan sudah terlambat kerana bayi dalam kandungan sudah meninggal dunia.
Lebih menyedihkan apabila wanita berkenaan yang sudah terlantar kesakitan turut menemui ajal pada keesokan hari.
”Saya tidak dapat menerimanya sehingga membantah tindakan jururawat dan doktor tersebut. Mereka hanya menutup telinga.” ujarnya.
Mengejutkan apabila doktor dan jururawat mula menghalau pihak keluarga apabila kecuaian mereka menjalankan tanggungjawab menyambut kelahiran itu telah dipersoalkan.
Bukan sahaja kesal, malah kematian ibu dan bayi akibat sikap acuh tak acuh petugas hospital telah meninggalkan parut yang begitu dalam buat keluarga ini.
Biarpun sudah tiada, kenangan bersama wanita ini sentiasa tersemat rapi dengan kasih sayang daripada kakaknya. Lukya turut berharap agar orang ramai mengambil pengajaran dengan apa yang telah berlaku ini.
Risiko bersalin secara paksa (induce labour)
Prosedur induce atau Induction of labour adalah proses kelahiran yang dimulakan dengan beberapa langkah dan tidak terhasil secara semula jadi.
Biasanya kaedah ini menggunakan ubat-ubatan seperti prostaglandin atau Pitocin bagi mempercepatkan kelahiran bayi. Doktor yang merawat akan menentukan prosedur induce ini setelah melakukan pemeriksaan serta pemantauan sepanjang kehamilan.
Jika doktor merasakan bayi tidak selamat jika dibiarkan di dalam rahim ibu lebih lama atau keadaan ibu lebih selamat jika bersalin segera, maka keputusan untuk induce ini akan dibuat.
Walau bagaimanapun prosedur ini tetap memberikan risiko yang tertentu. Antaranya ialah stimulasi pengecutan otot rahim berlebihan menyebabkan rasa sakit melahirkan agak teruk dan juga penurunan tahap oksigen kepada bayi sehingga menyebabkan keadaan ‘fetal distres’
Bayi akan menunjukkan tanda ‘distress’ ini dengan kelainan denyutan jantung atau pengeluaran meconium/ najis. Sekiranya prosedur induce ini tidak berjaya, barulah ibu akan menjalani pembedahan Caesarean.
Bukan itu sahaja, terdapat juga kemungkinan untuk bayi mendapat jangkitan bakteria sekiranya proses kelahiran memakan masa yang lama. Ada juga kes rahim pecah, namun ini sangat jarang berlaku.
Sumber: Kisah Dunia, Azzahrah
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ketahui Prosedur Kemasukan Hospital Bersalin Sejurus Ibu Merasakan Sakit Kontraksi