Cucur Udang Rangup Di Luar, Lembut Di Dalam - First Time Cuba CONFIRM Jadi!
Memandangkan kita masih dalam tempoh PKP, apa kata kita cuba sendiri bagaimana untuk buat cucur udang yang lazat untuk seisi keluarga.
Keenakan cucur udang boleh anda rasai apabila pertama kali menggigitnya. Rasa rangup dan lembut pada bahagian dalam pasti membuat anda rasa cukup teruja, apatah lagi menikmatinya bersama ahli keluarga tersayang.
Kebiasaannya ia dihidang bersama sos pencicah istimewa bagi melengkapkan lagi rasa. Lihat sahaja bahan yang digunakan, pasti membuatkan anda merasai kemanisan udang tanpa perlu meletakkan lebihan gula.
Resepi Cucur Udang Rangup – Mudah Sahaja Langkahnya!
Kalau di tempat saya, ia dijual dengan harga RM1 untuk satu biji cucur udang. Memang cukup berselera anak-anak jika dapat makan hidangan bergoreng ini sehingga kadang-kadang tak mahu makan nasi!
Apa kata anda cuba resepi cucur udang ini pastinya sangat mudah dan dijamin menjadi!
Bahan-bahan
- 2 cawan tepung gandum
- 1/2 sudu besar yis (mauripan)
- Air sejuk agak-agak
- Segenggam taugeh
- Secekak kecil kuchai- dipotong kecil
- 1/2 batang lobak merah- sagat memanjang
- 1/2 sudu teh serbuk kunyit
- 1 sudu teh garam
- Udang secukupnya
- Minyak untuk menggoreng
Baca juga: Muffin pisang kismis – resepi mudah yang enak dijadikan hidangan minum petang!
Cara penyediaan
- Satukan tepung, serbuk kunyit, yis, garam dan kacau rata.
- Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit sehingga mendapat adunan yang tidak terlalu cair atau pekat.
- Masukkan taugeh, kuchai dan lobak merah. Gaul rata dan biarkan selama 30 minit.
4. Panaskan dan goreng dalam minyak yang banyak. Rendam senduk dalam minyak panas, kemudian tuangkan adunan cucur.
5. Letakkan udang seekor dan goyang-goyangkan adunan cucur sehingga ia tertanggal dari senduk.
6. Goreng cucur sehingga kuning keemasan dan angkat toskan minyak. Siap untuk dihidang!
Rahsia Masak Cucur Yang Ramai Tidak Tahu
Nampak senang tapi sebenarnya untuk menyediakan hidangan cucur udang kena tahu rahsianya. Kebiasannya bila buat cucur udang ini anda akan berdepan masalah, bila digoreng ia masuk minyak dan lembik.
Hal ini membuatkan anda dan anak-anak hilang selera nak makan. Sekali gigit cucur, terus bahagian mulut dipenuhi dengan minyak. Mesti akan rasa bersalah nak makan sebab fikir bahaya untuk kesihatan, kan?
Ini beberapa petua yang boleh anda cuba bagi memudahkan tugasan memasak nanti.
- Jangan guna air panas ketika membancuh yis kerana ini akan membunuhnya. Apabila anda sudah mencampurkan gula ke dalam bancuhan yis, ia secara automatik akan mengaktifkannya. Bila naik buih, maknanya yis tersebut ‘hidup’ dan boleh digunakan.
- Untuk mendapatkan tekstur rasa cucur udang yang rangup, pastikan anda menggunakan sudip atau senduk leper supaya bahagian tepi cucur digoreng lebih rangup.
- Goreng cucur dalam minyak yang sederhana panas untuk memastikannya rangup. Minyak yang tidak panas akan menyebabkan bancuhan cucur ‘makan minyak’ dan jika minyak terlalu panas, ia akan membuatkan cucur menjadi cepat hangit.
Cucur udang juga dikenali sebagai jemput-jemput atau cekodok kerana saiznya yang seperti sejemput tangan ketika diletakkan ke dalam minyak untuk digoreng. Kini adunannya disauk menggunakan ukuran sudu ataupun sudip.
Ia adalah snek tradisional berasal dari Indonesia dan kini populor di Malaysia, Brunei dan Singapura. Selain cucur udang, ada juga yang mencipta resepi cucur pisang atau cucur ikan bilis bagi memenuhi selera masing-masing.
Hidangan ini sesuai dimakan bersama sos pencicah lada, kuah kacang, kuah kicap atau dimasak bersama rojak mahupun pasembur.
Tunggu apa lagi? Jom ibu-ibu sediakan bahannya untuk hidangan nanti. Makan panas-panas bersama secangkir kopi atau teh, sedapnya!
Sumber: Masak Apa Hari Ini
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga: Menu Makanan Tahun Baru 2021 Yang Enak & Mudah Disediakan Untuk Seisi Keluarga