Risiko pemakaian korset dan 'tightlacing'

Korset dan 'tightlacing' telah menjadi kegilaan fesyen terkini di kalangan wanita di Malaysia. Walau bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari akan kesan jangka panjang akibat memakai korset. Baca lebih lanjut mengenai risiko memakai korset dalam artikel ini.

Ada tak dikalangan anda yang gemar memakai korset? Tahukah anda selain boleh mengempiskan perut, pakai korset juga mempunyai risiko kepada kesihatan wanita.

Bacalah risiko pemakaian korset dan 'tightlacing'

Pakai Korset Untuk Kecantikan

“Zainab, tengoklah! Pinggang rampinglah. Bestnya.” Dania mengulas gambar dalam majalah yang dipegangnya.

“Cantiklah sangat! Biar sakit asalkan cantik, ya?” jawab Zainab.

“Ehh..kenapa kau cakap macm tu? Korset ni sakit ke?”

“Kalau pakai korset sentiasa, boleh mudarat organ dalaman tau! Jantung, paru-paru dan hati boleh tertekan. Nak bernafas pun payah, tahu! ”

Terkebil-kebil Dania mendengar penjelasan Zainab.

Pemakaian korset dan ‘tightlacing’ – penggunaan renda bagi mengetatkan lagi korset - yang popular pada Era Victoria bermula abad ke 16, kini popular semula. Jika dicari maklumat tentangnya, pasti nama-nama seperti Michele Kobke dan Cathie Jung menjadi tumpuan.

Wanita Pakai Korset Untuk Mengecilkan Pinggang, Michele Kobke dan Cathie Jung

Michele Kobke, 24 tahun, telah memakai korset setiap hari selama tiga tahun. Pinggangnya mengecil daripada saiz sihat 25 inci kepada 16 inci. Walaupun merasakan pergerakannya kini lebih kewanitaan, beliau berharap dapat mengecilkannya lagi, lebih kecil daripada idolanya Cathie Jung.

Menurut laporan Guinness World Book of Records 2004, Cathie Jung mempunyai saiz pinggang terkecil iaitu 11 inci (15 inci pada 1998).

Disebabkan pemakaian korset, walaupun ketika tidur, selama tiga tahun itu, tulang belakang dan abdomen Michele didapati terlalu lemah sehingga menyukarkannya untuk berdiri tegak tanpa memakai korset. Michele juga kelihatan sukar bernafas ketika ditemuramah.

Komen Michele: hidup saya tidak berubah, hanya sedikit perlahan daripada biasa.

Kesan korset dalam sejarah

Pakar sejarah Leigh Summers dan Mel Davies melaporkan, melalui kajian masing-masing, beberapa kesan kesihatan yang dilaporkan dalam sejarah.

Wanita yang memakai korset ketika itu tidak dapat melakukan sebarang aktiviti fizikal, malahan tidak dapat berjalan lebih daripada beberapa ratus kaki atau menaiki tangga tanpa berhenti untuk berehat. Kesan lain - rahim jatuh ke faraj atau terkeluar, kanser rahim dan simptom batuk kering.

Pengamal perubatan pada ketika itu tidak mahu mengakuinya dan menganggap ia sebagai ‘rungutan wanita’ dan ‘penyakit rahim’. Mengapa? Kerana pemakaian korset diterimapakai di kalangan wanita kelas pertengahan.

Bahaya Pakai Korset Ketika Hamil

Laporan sejarah menunjukkan perubahan pada bentuk badan wanita apabila hamil dirasakan satu ‘pemandangan’ yang ‘tidak wajar’ dikhalayak. Maka wanita yang hamil akan segera dikuarantin dan pelawat dihadkan.

Kesan pemakaian korset yang menekan lantai pelvis bukan sahaja menyukarkan tumbesaran fetus, tetapi juga sukar hamil disebabkan keadaan fizikal dan frekuensi hubungan kelamin yang rendah akibat kesakitan ketika bersama.

Organ dalaman yang ditekan kebawah meningkatkan tekanan terhadap rahim apabila bergerak dan duduk, antara sebab keguguran secara semulajadi. Fetus pula kekurangan oksigen akibat daripada aliran darah yang semakin terhad.

Melahirkan dan malnutrisi

Otot abdomen mengalami ‘atrophy’ atau mengecil saiznya akibat korset dan kelemahan otot menyukarkan wanita meneran. Mereka juga sukar dan kurang selera makan mengakibatkan malnutrisi serta berat bayi rendah ketika dilahirkan.

Saiz pelvis yang mengecil juga dibimbangi menyukarkan kelahiran kerana bayi tidak dapat melalui ruang pelvis. Dr Isaac Abt dalam tahun 1923 menyebut-nyebut tentang jumlah kematian ketika lahir berkurang seiring dengan pemakaian korset yang tidak lagi popular selain pembaikan kaedah Caesar.

Kesan pemakaian pada organ dalaman

Berikut antara kesan pemakaian korset secara berterusan terhadap organ.

Jantung ~ Sangkar paru-paru menjadi kecil dan memerangkap jantung menyebabkan ia sukar berfungsi sepenuhnya dan berdegub laju.

Paru-paru ~ Ruang paru-paru bahagian bawah terbatas untuk mengembang sepenuhnya apabila bernafas dan terpaksa bekerja lebih. Ia akan cepat penat dan letih melampau yang menyukarkannya berfungsi sempurna.

Tulang rusuk ~ Kesan yang tidak teruk seperti rusuk mula lebam dan kesan lebih teruk seperti tulang rusuk yang boleh patah akibat renda yang ditarik dengan terlalu ketat.

Payudara ~ Zaman Victoria, mereka percaya korset menyebabkan ‘mammary abscesses’ – radang tisu perantara dalam payudara.

Perut ~ Doktor pada zaman Victoria percaya, korset yang dipasang ketat atau ‘tightlacing’, menyebabkan perut tidak dapat mengisar dengan betul menyukarkan makanan dihadam sempurna atau dyspepsia.

Hati ~ Hati menghadapi pelbagai komplikasi apabila badan dipakaikan dengan korset yang ketat. Keadaannya menjadi teruk disebabkan lokasi sangkar paru-paru yang berubah dan hati akan menjadi besar atau berubah tempat.

Usus ~ Korset menyebabkan pemakanan tidak sihat dan menyebabkan sembelit. Jika sembelit menjadi terlalu teruk dan tidak dirawat, ia boleh membawa kematian.

Pundi kencing ~ Doktor pada zaman Victoria percaya ada kaitan antara batu hempedu dan ‘tightlacing’, korset menyebabkan kehilangan berat melampau.

Lantai pelvis ~ Kedudukan organ-organ dalaman yang tertekan kebawah memberi tekanan kepada otot pelvis dan melemahkannya. Otot pelvis yang lemah pula boleh menyebabkan stress dan kegagalan menahan urin.

Akur

Para peminat korset dan ‘tightlacing’ menyelar dakwaan kesan kesihatan seperti yang dilaporkan. Mereka melihat kepada Cathie Jung sebagai bukti.

Cathie Jung dengan organ-organ dalaman yang berubah tempat serta pemakaian korset dan ‘tightlacing’ 24jam sejak 1983 (pemakaian bermula 1959), tidak dilaporkan mengalami apa-apa masalah kesihatan yang serius. Walaupun kulitnya lebih kering dan organ-organ dalaman mengecil, keduanya tidak menjejaskan kesihatannya.

Namun beliau memakainya secara berterusan hanya selepas anak-anak membesar tanpa keinginan untuk menambah bilangan anak. Juga pinggangnya yang kecil adalah hasil pemakaian berterusan selama melebihi 20 tahun.

Komuniti pemakai korset dan ‘tightlacing’ seperti Long Island Staylace Association di USA akur akan kemungkinan kesan kesihatan yang dilaporkan dan memberi pelbagai nasihat pemakaian serta kesihatan bagi mengelakkan mudarat.

Rujukan:

Effects of tight lacing on the body
Corset-Wearing German Woman's Scary 16-inch Waist: What Are the Risks?
Looking Fierce, But is that Corset is Doing to Your Pelvic Floor?
Binding Femininity: An Examination of the Effects of Tightlacing on the Female Pelvis
Side effects of corsets
What are the dangers of old fashioned corsets?

Apa pandangan anda tentang korset dan 'tightlacing'? Kongsikannya di ruangan komen di bawah.