Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa ini cukup tepat untuk menggambarkan didikan terhadap anak-anak. Tapi ibu bapa sering mengaitkan peribahasa itu dengan ajaran seperti rotan anak.
Ya, anak-anak memang perlu dididik dan diajar tentang nilai-nilai yang baik dan tahu apa yang tidak sedari kecil. Malah banyak caranya, bukanlah hanya rotan anak semata-mata.
Namun hari demi hari, terdapat pelbagai kes ibu bapa dera anak yang tular di media sosial. Cukup menyedihkan apabila dipukulnya anak itu bukan untuk mengajar, tapi kerana ingin melepaskan geram dan rasa amarah ibu bapa.
Rotan mengikut Islam
Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Malaysia (USIM) berkata Islam adalah agama rahmah, jadi penting untuk melakukan semua perkara berlandaskan syarak, ini termasuklah dalam tanggungjawab mengajar dan mendidik anak-anak.
Sekiranya ingin merotan sekali pun, elakkan bersifat mendera, menzalimi atau menganiayai anak. Malah untuk merotan ini, perlu ada adabnya juga. Kena peka bahagian badan yang mana boleh dirotan yang mana tidak.
“Islam ini sifatnya adalah rahmah,” kata cendekiawan Syria Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam Kitab Tarbiyatul Aulad Fil Islam. Jadi perbuatan merotan bukanlah satu-satunya jalan buat ibu bapa mendidik anak-anak.
Ia haruslah dijadikan ‘langkah akhir’ dalam mengajar anak-anak, apabila dengan menasihati tidak diendahkan, dimarah tidak diambil peduli, dan dihukum dengan mengambil sesuatu keperluannya tidak juga dihiraukan. Maka rotan adalah langkah seterusnya.
Itupun perlu dilakukan dengan berpada-pada. Jangan membuta tuli dan jangan sesekali melakukannya dalam tengah perasaan marah membuak-buak. Niat anda perlu betul, lakukan demi mendidik.
“Ia perlu seiring dengan rasa tanggungjawab bagi membentuk anak-anak dengan keperibadian mulia,” kata Nik Salida.
“Aspek rahmah dalam Islam menetapkan taggungjawab mendahului soal hak. Jadi bukan setiap masa perlu merotan, sebaliknya ia digunakan untuk memberi amaran.
“Misalnya, jika anda melewat-lewatkan solat atau mengaji al-quran, tunjukkan saja rotan itu sebagai amaran, dan nasihatlah secara baik,” tambah Nik Salida.
Maksimum merotan 10 kali sahaja
Nik Salida turut menekankan bahawa merotan anak-anak sebagai pengajaran tidak boleh melebihi dari 10 kali!
“Mengikut Islam, merotan tidak boleh dibuat berulang kali secara berterusan. Ia perlu dijarakkan tempohnya sehingga hilang rasa sakit, dan selayaknya merotan tidak boleh dilakukan sehingga menyebabkan kesakitan.” katanya.
Malah apabila anak-anak sudah kembali taat dan tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama maka wajib untuk ibu bapa berhenti merotan. Ini bermaksud, perbuatan merotan jangan sesekali dijadikan amaran sebelum kesilapan dilakukan.
Rotan anak bukanlah bertujuan untuk membuat mereka berasa sakit, tapi untuk mereka berasa kesal dengan perbuatan mereka. Dan kaedah merotan juga perlulah diambil kira, rotan anak pada bahagian badan yang kurang berasa sakit adalah salah satu cara yang betul.
Sebaiknya, terangkan kepada anak-anak mengapa anda melakukannya iaitu demi kebaikan mereka sendiri, juga menjadi tanggungjawab ibu bapa sebagai hamba Allah untuk memberikan yang terbaik.
Kesan buruk merotan
Rotan anak yang keterlaluan memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal mereka. Ini beberapa kesan negatif yang mungkin boleh terjadi:
- Boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi anti-sosial.
- Menyebabkan anak berasa lemah kerana terlalu takutkan hukuman, bukannya untuk cuba memahami mengapa mereka harus patuh pada arahan atau peraturan.
- Mengakibatkan tanda-tanda awal penyakit mental seperti kemurungan, gangguan emosi dan ketidakupayaan intelektual.
- Anak-anak akan rasa takut dan curiga dengan orang sekeliling apabila dewasa.
- Anak akan merasakan memukul orang lain adalah perkara yang baik. Ini paling BAHAYA.
- Apabila mereka terlalu kerap dipukul, ia akan berbalik semula kepada tingkah laku terhadap orang sekelilingnya. Paling dekat adalah rakan-rakannya.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara untuk mendidik dan mengajar anak. Terokai dan lakukan ‘kajian’ mendalam tentang cara terbaik untuk mengajar anak-anak. Jangan pernah ambil jalan singkat, dan jangan sesekali mengikut perasaan. Faham, ibu bapa bukan satu ‘pekerjaan’ yang mudah, kita semua manusia yang punyai emosi. Jadi, apa yang paling terbaik buat ibu bapa dalam mendidik anak-anak adalah melatih diri menjadi sabar, dan ingat apa yang anda lakukan ini adalah satu tanggungjawab mulia, dan lakukanlah seikhlas mungkin dengan niat kerana Allah swt. InshaAllah segalanya akan dipermudahkan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Berita Harian
Baca Juga:
Pukul anak terbukti membunuh perkembangan minda dan tubuhnya!