Ruam Pada Kanak-Kanak: Bilakah Saya Perlu Risau?

Ada beberapa jenis atau punca terjadinya ruam pada kanak-kanak, dan perkara ini tidak boleh ibu ayah ambil ringan ya.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Advertisement

Dalam proses tumbesaran, ruam merupakan perkara yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Ruam biasanya tidak berbahaya dan akan datang dan pergi dalam masa beberapa hari tanpa memerlukan sebarang rawatan1. Menurut Dr Teoh Soh Lan, “Hampir setiap hari sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak akan dibawa berjumpa doktor pakar kerana masalah ruam”. 

Walau bagaimanapun, adakalanya ruam ini disertai dengan demam dan ini merupakan tanda awal sesuatu jangkitan. Jadi, bilakah ibu bapa harus mula bimbang sekiranya anak anda mengalami demam dan ruam? theAsianparent Malaysia kali ini membincangkan topik ini bersama seorang Pakar Pediatrik Am, Dr Teoh Soh Lan untuk mengenali lebih lanjut tentang ruam dan demam agar ibu bapa dapat memahami topik ini dengan lebih jelas.

Kenal Pasti Ruam

Kadangkala, ruam atau bintik-bintik berwarna kemerah-merahan akan timbul pada kulit anak-anak anda. Terdapat pelbagai faktor yang boleh mengakibatkan ruam pada kanak-kanak termasuklah alahan, gigitan serangga dan faktor cuaca tetapi punca yang lebih serius biasanya terjadi akibat jangkitan kuman atau virus1,2. Dr Teoh menerangkan bahawa punca demam boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan utama, menurut beliau, “90% daripada semua kes demam dan ruam dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan oleh jangkitan virus, selebihnya disebabkan oleh bakteria dan keradangan. Demam dan ruam yang berpunca daripada bakteria dan keradangan jarang ditemui namun lebih berbahaya berbanding virus”.

Biasanya, suhu badan normal berjulat antara 36.5°C hingga 37.5°C. Pakar-pakar pediatrik biasanya menganggap suhu badan kanak-kanak yang disukat menggunakan termometer melalui mulut, melebihi 38°C sebagai demam3. Jangkitan kuman atau penyakit biasanya menyebabkan peningkatan suhu badan. Ini merupakan tindak balas normal tubuh badan anak anda dalam melawan jangkitan dan penyakit3

Dengan itu, penting bagi ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan tentang penyakit yang biasa menjangkiti kanak-kanak terutamanya yang menyebabkan gejala ruam dan demam. Dr Teoh berkongsi tentang 5 jangkitan yang biasa terjadi pada kanak-kanak yang mengakibatkan ruam dan demam.

Ruam Jangkitan Virus

  1. Roseola4

    Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

    Loading...
    You got lucky! We have no ad to show to you!
    Advertisement

    Penyakit ini merupakan penyakit yang paling kerap menyebabkan ruam dan demam dalam kalangan kanak-kanak. Ia disebabkan oleh jangkitan Human Herpes Virus 6 (HHV-6). Virus ini biasanya menjangkiti kanak-kanak yang berusia kurang dari 2 tahun.

    Roseola biasanya bermula dengan demam panas mencecah 40°C dan demam panas ini akan berlarutan selama 3 hingga 5 hari. Selepas itu, demam akan mula mereda dan ruam akan muncul di belakang dan depan dada kanak-kanak. Penyakit ini juga boleh mengakibatkan gejala-gejala lain seperti selsema, batuk dan cirit birit yang ringan.

    Dr Teoh menerangkan, Roseola ini dikenal pasti melalui sifat ruam yang akan muncul selepas demam surut. Ruam terdiri daripada bintik merah muda kecil yang biasanya bermula di dada dan perut dan kemudian merebak ke muka dan seluruh badan kanak-kanak. Ruam ini tidak menyebabkan gatal dan akan hilang dengan sendiri dalam masa 2 hari. 

    Oleh kerana Roseola ini disebabkan oleh virus, tidak ada rawatan khusus yang diberikan kepada pesakit kecuali ubat untuk melegakan simptom sahaja. Menurut Dr Teoh, buat masa ini tidak ada vaksin pencegahan bagi penyakit ini. Umumnya Roseola bukan satu jangkitan yang serius tetapi ibu bapa dan penjaga haruslah menguruskan demam pada anak anda dengan baik kerana demam panas boleh menyebabkan masalah kesihatan lain pada kanak-kanak.

    Loading...
    You got lucky! We have no ad to show to you!
    Advertisement
  2. Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD)

    Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

    Kes jangkitan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negara ini semakin meningkat sejak pelonggaran SOP perintah kawalan pergerakan. Penularan wabak HFMD dilihat paling tinggi pada bulan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Mei 20225. Ini adalah kerana penyebaran penyakit ini berkait rapat dengan penjagaan kebersihan kendiri dan sangat mudah tersebar dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama seperti sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak6

    Penyakit HFMD berpunca daripada Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Virus ini merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD. Penyakit ini lazimnya menjangkiti kanak-kanak berusia 5 tahun dan ke bawah6

    Loading...
    You got lucky! We have no ad to show to you!
    Advertisement

    Kanak-kanak yang dijangkiti akan menunjukkan gejala demam yang diikuti dengan ulser di dalam mulut, ruam melepuh pada tangan dan kaki yang tertumpu pada tapak tangan dan tapak kaki6. Dr Teoh menjelaskan bahawa tidak semua kanak-kanak yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami gejala yang sama. Sebagai contoh, jelasnya, “Segelintir kanak-kanak akan mengalami lebih banyak ulser di dalam mulut dan kurang ruam pada kaki dan tangan. Manakala ada segelintir pula yang mempunyai lebih banyak ruam melepuh di sekeliling mulut dan pada kaki dan tangan tetapi hanya mempunyai sedikit ulser di dalam mulut.” 

    Tidak ada vaksin untuk mencegah penyakit HFMD. Rawatan bagi penyakit ini adalah berdasarkan tanda dan gejala yang berlaku seperti merawat demam, luka akibat ruam yang melepuh dan melegakan kesakitan pada mulut akibat ulser. Penularan jangkitan HFMD sangat berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran kerana ia mudah merebak di tempat sesak yang mempunyai persekitaran yang kurang bersih. Salah satu langkah pencegahan adalah dengan menjaga kebersihan diri dan persekitaran dengan baik6. Dr Teoh menyarankan supaya orang ramai memberi perhatian kepada saranan yang telah dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. 

    Ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam mengurangkan jangkitan HFMD. Ibu bapa pada kanak-kanak yang disahkan HFMD oleh doktor dan kanak-kanak perlu berisolasi. Dalam tempoh isolasi ini, anda dan anak-anak anda harus tinggal di rumah, jangan hantar anak-anak ke sekolah atau pusat jagaan dan maklumkan dengan segera kepada pihak sekolah dan pusat jagaan. Anda akan membantu mengekang wabak ini dan melindungi orang lain6.

    HFMD lazimnya boleh menyebabkan jangkitan ringan sahaja dan ianya akan sembuh dengan sendiri dalam masa 7 hingga 10 hari selepas dijangkiti. Namun begitu, segelintir pesakit HFMD yang disebabkan oleh jangkitan Virus EV71 boleh mengalami komplikasi yang teruk. Oleh itu, ibu bapa dan penjaga harus sentiasa memantau gejala yang dialami oleh anak mereka, meningkatkan kesedaran dan keupayaan mengenal pasti tanda-tanda penyakit HFMD pada kanak-kanak dan bawa anak-anak untuk dapatkan rawatan dengan segera6.

  3. Demam Denggi7

    Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

    Loading...
    You got lucky! We have no ad to show to you!
    Advertisement

    Demam Denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes betina. Penyakit ini merupakan wabak bermusim. “Ketika musim Denggi, kita akan melihat banyak kes kanak-kanak yang datang dengan demam dan ruam yang para doktor akan mengesyakinya sebagai demam Denggi”, jelas Dr Teoh. Selain itu, penyakit Chikungunya juga disebarkan oleh nyamuk Aedes dan ia menyebabkan jangkitan virus Chikungunya yang hampir sama dengan demam Denggi tetapi Chikungunya tidak menyebabkan maut8

    Kanak-kanak yang dijangkiti virus Denggi pada kebiasaannya akan mula menunjukkan simptom pada hari keempat selepas terkena gigitan nyamuk. Selalunya ia akan bermula dengan demam panas yang mengejut, sakit kepala yang teruk, sakit pada bahagian belakang mata, sengal otot dan sakit sendi serta kelenjar bengkak. Gejala lain yang boleh dilihat pada pesakit termasuk muntah dan cirit-birit. Ruam merah di kulit juga boleh terjadi. Walau bagaimanapun Dr Teoh menjelaskan bahawa tidak semua pesakit Denggi menunjukkan ruam. “Terdapat perbezaan antara ruam pada pesakit Denggi semasa demam dan selepas demam. Oleh itu, ia bergantung kepada waktu pesakit pergi mendapatkan rawatan. Para doktor biasanya dapat mendiagnosis jenis ruam yang disebabkan Denggi melalui pengalaman” jelas beliau. 

    Doktor akan bertanyakan mengenai sejarah penyakit, keadaan tempat tinggal sekiranya terdapat kes Denggi dan juga sejarah perjalanan ke kawasan yang mempunyai kes Denggi. Ujian darah akan dilakukan untuk mengesahkan penyakit Denggi. 

    Demam Denggi terdiri daripada demam Denggi biasa atau demam Denggi berdarah. Kadang kala, demam Denggi biasa boleh berkembang menjadi komplikasi yang boleh membawa maut yang dikenali sebagai demam Denggi berdarah9. Ini adalah salah satu penyebab utama hospitalisasi dan kematian di kalangan kanak-kanak dan dewasa. Namun, pada masa ini penyakit ini masih tidak mempunyai vaksin untuk mencegahnya. Sekiranya anak-anak anda menunjukkan gejala-gejala demam Denggi, ibu bapa hendaklah mendapatkan rawatan untuk mereka dengan segera.

  4. Cacar Air (Chickenpox)10

    Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

    Loading...
    You got lucky! We have no ad to show to you!
    Advertisement

    Ramai yang masih keliru dan tidak dapat membezakan penyakit cacar air ini dengan penyakit campak. Walaupun kedua-duanya merupakan penyakit akibat jangkitan virus, tetapi ianya disebabkan oleh dua virus yang berbeza. 

    Cacar air atau dalam bahasa Inggeris disebut Chickenpox adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Virus Varicella Zoster. Virus ini tersebar dengan mudah melalui titisan air di udara, air liur atau sentuhan langsung dengan cecair lepuh pada individu yang telah dijangkiti.

    Sebelum ruam mula timbul pada kanak-kanak yang dijangkiti, gejala yang biasanya dialami adalah demam, sakit kepala dan kelesuan. Selepas itu, ruam bintik merah kecil akan mula timbul pada seluruh bahagian badan. Ruam ini menyebabkan rasa sangat gatal. Dalam masa 24 jam, ruam-ruam akan kelihatan seperti lepuh air (blister), kemudian pecah dan kering dan selepas itu menjadi keruping. Bintik-bintik baru mungkin terus timbul untuk lima hari dan mengambil masa dua minggu untuk hilang. Dalam kes yang serius, lebih 500 biji ruam melepuh mungkin terbentuk pada pesakit. 

    “Cacar air akan mula muncul 10 hingga 21 hari selepas terkena jangkitan. Sekiranya salah seorang anak anda dijangkiti cacar air, anak anda yang lain tidak akan terus menunjukkan simptom, gejala hanya akan mula timbul selepas 2 atau 3 minggu selepas virus memasuki ke dalam badan pesakit yang seterusnya” jelas Dr Teoh. Cacar air boleh mula merebak pada orang lain 1 atau 2 hari sebelum ruam mula kelihatan pada orang yang telah dijangkiti.

    Penyakit ini selalunya berlaku sekali sahaja dalam seumur sehidup. Namun daripada pengalaman Dr Teoh terdapat kes di mana bayi berumur kurang dari setahun yang masih menyusu badan telah dijangkiti cacar air dengan hanya mengalami simptom ringan. Kanak-kanak ini kemudian membesar dan dijangkiti sekali lagi. “Mungkin ketika dijangkiti kali pertama, kanak-kanak ini menggunakan antibodi daripada ibunya untuk melawan jangkitan cacar air jadi sistem imun badannnya sendiri masih belum dapat membina antibodi untuk melawan jangkitan cacar air dan kerana itu dia dijangkiti semula selepas beberapa tahun.” Beliau juga menyarankan dalam kes sebegini, bayi yang berumur kurang dari satu tahun masih dinasihatkan untuk mengambil vaksin selepas umurnya meningkat setahun. 

    Dalam kebanyakan kes, cacar air merupakan penyakit yang ringan dan tidak membahayakan nyawa. Namun, terdapat beberapa golongan berisiko yang boleh mendapat komplikasi yang teruk akibat cacar air, seperti golongan bayi yang baru lahir, orang dewasa, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai sistem imun badan yang lemah contohnya pesakit Kanser. Golongan ini terdedah kepada jangkitan bakteria pada ruam lepuh, radang paru-paru (Pneumonia) atau radang otak (Encephalitis) sekiranya dijangkiti cacar air. Menurut Dr Teoh, ramai yang menganggap cacar air ini sebagai penyakit kanak-kanak tetapi sebenarnya penyakit ini boleh menjangkiti setiap lapisan umur dan orang dewasa yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami gejala yang lebih teruk.

    Dengan itu, Dr Teoh sangat mengesyorkan supaya ibu bapa memberikan vaksin kepada anak-anak mereka bagi mencegah penyakit ini. Selain melindungi anak anda daripada komplikasi teruk yang boleh berlaku, anda juga boleh membantu melindungi golongan-golongan berisiko tinggi yang telah disebutkan tadi. “Kita tidak dapat menjangka siapa yang akan mengalami komplikasi yang serius, oleh itu lebih baik mencegah melalui penggunaan vaksin daripada menerima padahnya,” tegas Dr Teoh. 

    Dr Teoh mengingatkan bahawa kanak-kanak yang mendapat cacar air secara semulajadi tanpa vaksinasi terdedah kepada risiko dijangkiti penyakit kayap di masa akan datang apabila mereka telah dewasa. Penyakit kayap adalah virus Varicella Zoster yang “tertinggal” di dalam badan selepas jangkitan cacar air dan kemudian kembali aktif selepas bertahun-tahun dorman di dalam sistem saraf seseorang. Penyakit kayap ini lebih sering terjadi kepada individu yang mempunyai sistem pertahanan yang lemah dan juga golongan warga emas. Sama seperti cacar air, gejala penyakit kayap juga menyebabkan ruam tetapi ruam ini bukan sahaja gatal tetapi menyakitkan dengan rasa menyucuk dan panas membakar. Kayap boleh dicegah dengan penggunaan vaksin11.

    Vaksin mencegah cacar air boleh didapati dalam program vaksinasi tambahan di hospital atau klinik swasta12. Ibu bapa boleh berbincang dengan doktor pakar untuk maklumat lanjut mengenai vaksin ini untuk anak-anak anda. 

    Menurut Doktor Teoh, vaksinasi Varicella ini berkesan dalam melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti cacar air. Daripada pengalaman beliau, dalam persekitaran rumah yang mempunyai beberapa orang kanak-kanak, sekiranya seorang daripada mereka dijangkiti cacar air, kanak-kanak lain masih boleh dicegah daripada mendapat jangkitan sekiranya vaksin diberi dalam tempoh masa 72 jam pertama selepas terdedah kepada kanak-kanak yang telah dijangkiti cacar air. Ibu bapa dan penjaga disarankan untuk segera berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat. 

  5. Demam Campak (Measles)13

    Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

    Demam Campak ialah penyakit yang sangat mudah berjangkit yang akan menyebabkan gejala jangkitan pada salur pernafasan. Ia adalah jangkitan akut pada kanak-kanak yang disebabkan oleh Virus Measles.

    Gejala penyakit ini mungkin hanya muncul selepas 10 - 12 hari seseorang itu terdedah kepada jangkitan. “Kanak-kanak yang dijangkiti campak akan mengalami demam panas, selsema, batuk dan mata merah. Kemudian, ruam bintik-bintik merah kecil akan mula timbul bermula dari kepala dan akan merebak ke seluruh badan. Selain itu, kanak-kanak yang dijangkiti juga mungkin mengalami cirit birit dan jangkitan telinga” jelas Dr Teoh. 

    Penyakit ini sangat mudah menular melalui titisan cecair dari mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. “Sebenarnya kadar sebaran virus Measles ini lebih tinggi berbanding penyakit Covid-19” kata Dr Teoh. Tambahan lagi, jangkitan Campak boleh mengakibatkan komplikasi jangkitan paru-paru yang serius (Pneumonia), keradangan otak (Encephalitis), pekak dan juga boleh membawa maut.

    Salah satu langkah pencegahan adalah melalui imunisasi. Berdasarkan Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia, vaksin MMR boleh membantu melindungi kita daripada tiga penyakit: Campak, Beguk dan Rubella. Vaksin MMR ini adalah salah satu vaksin wajib yang terdapat di dalam Program Imunisasi Kebangsaan14

    Menurut Dr Teoh juga dari semasa ke semasa, penularan kes campak masih terjadi dan ini disebabkan oleh peningkatan bilangan kanak-kanak yang tidak menerima imunisasi untuk membantu mencegah penyakit ini. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh memandang ringan tentang pengambilan vaksin dan haruslah mengikut jadual yang telah ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan. 

Ruam Jangkitan Bakteria

  1. Ruam Bakteria Meningokokus

    Penyakit ini disebabkan oleh Bakteria Neisseria meningitidis. Penyakit ini dianggap serius kerana ia menyebabkan jangkitan pada lapisan otak dan saraf tunjang15. Penyakit ini berjangkit secara langsung melalui titisan rembesan salur pernafasan dari hidung dan tekak orang yang dijangkiti sebagai contoh berkongsi makanan atau peralatan peribadi. Penyakit ini sangat berbahaya kerana kebanyakan jangkitan tidak menunjukkan gejala16. 5 hingga 10% daripada pembawa penyakit ini tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti orang lain16.

    Jangkitan Meningokokus ini masuk melalui saluran pernafasan dan boleh mengakibatkan dua gejala seperti yang diterangkan oleh Dr Teoh, “Bakteria Meningococcal boleh masuk melalui salur pernafasan dan terus menyerang otak sehingga menyebabkan radang otak atau dikenali sebagai Meningitis. Kedua, bakteria masuk ke dalam salur pernafasan dan ia akan merebak melalui salur darah ke seluruh badan sehingga menyebabkan Septisemia iaitu keracunan darah.”  

    Beberapa gejala Meningitis Meningokokus17:

    • Demam
    • Kejang pada leher
    • Sakit kepala
    • Kekeliruan dan meracau
    • Sensitif pada cahaya
    • Mual dan muntah


    Beberapa gejala Septisemia Meningokokus17:

    • Demam
    • Kelesuan
    • Muntah
    • Cirit-birit
    • Sakit otot, sendi, dada dan perut
    • Pernafasan pantas
    • Ruam unggu gelap


    Golongan bayi, kanak-kanak dan remaja adalah lebih berkemungkinan dijangkiti Meningokokus berbanding kumpulan umur lain tetapi wabak ini juga mudah tersebar di kalangan individu yang mempunyai imun badan yang lemah, individu asplenik iaitu mereka yang tidak mempunyai limpa serta golongan jemaah haji dan umrah serta pelancong ke negara-negara Afrika dan Amerika Selatan18,19.

    Jangkitan Meningokokus ini sangat berbahaya kerana ia berpotensi membawa maut. Bagi golongan yang berisiko tinggi, simptom jangkitan penyakit Meningokokus ini boleh merosot daripada gejala selesema ringan kepada kematian dalam masa beberapa jam sahaja. Individu yang dijangkiti perlu diberikan rawatan dengan segera untuk mengelakkan komplikasi serius dan menyelamatkan nyawa. Rawatan yang diberikan termasuklah pemberian antibiotik untuk melawan jangkitan. Namun, kadar kematian akibat jangkitan Meningokokus ialah 10% - 15% walaupun pesakit diberi rawatan segera17,18

    Dr Teoh menegaskan bahawa vaksinasi adalah salah satu cara yang berkesan bagi mencegah penyakit Meningokokus. “Vaksin Meningococcal disarankan sebagai Vaksin tambahan bagi kanak-kanak yang berumur 12 bulan ke atas.” Ini kerana bagi ibu bapa yang telah divaksin atau mempunyai imuniti terhadap Meningokokus mereka masih berpotensi menjadi pembawa penyakit kepada anak-anak dan ahli keluarga lain meskipun tidak menunjukkan sebarang gejala. 

  2. Demam Scarlet (Scarlet Fever)20

    Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

    Penyakit ini disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pyogenes yang membiak di salur hidung dan tekak. Bakteria akan menghasilkan toksin yang akan masuk ke dalam badan melalui saluran darah dan menyebabkan gejala Scarlet Fever. Penyakit ini sering menjangkiti anak-anak yang berusia 5 hingga 15 tahun.

    Ciri-ciri Scarlet Fever ialah demam bersuhu tinggi, sakit kepala, sakit tekak dan kesukaran menelan akibat bengkak tonsil seperti jangkitan sakit tekak. Selepas 2 hari, ruam berwarna merah terang yang kasar seperti tekstur kertas pasir akan muncul pada kulit kanak-kanak. Gejala ini membezakan Scarlet Fever daripada demam sakit tekak biasa. Kanak-kanak juga akan mengalami ‘Strawberry Tongue’ dimana lidah akan bertukar warna menjadi warna merah terang dan permukaannya akan kelihatan berbiji-biji. 

    Doktor dapat mengenal pasti penyakit ini dengan melakukan pemeriksaan fizikal untuk memastikan tanda-tanda yang dialami dan kemudian ujian ‘swab’ tekak akan diambil untuk mengesahkan kehadiran bakteria Streptococcus. Tidak ada vaksin untuk mencegah penyakit ini. 

    Scarlet Fever pernah menjadi wabak kanak-kanak yang sangat bahaya pada zaman dahulu, namun ia bukan lagi satu ancaman pada masa ini. Kini, penyakit ini boleh dirawat dengan mudah dan berkesan dengan penggunaan antibiotik. 

Ruam Disebabkan Keradangan - Penyakit Kawasaki (Kawasaki Disease)21

Penyakit atau Sindrom Kawasaki merupakan satu masalah kesihatan yang dianggap misteri kerana puncanya tidak dapat diketahui. Penyakit ini menyebabkan keradangan teruk yang mengakibatkan demam dan ruam pada kulit. Penyakit Kawasaki biasanya berlaku pada kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah. 

Simptom utama penyakit Kawasaki ialah demam panas yang tidak surut melebihi 5 hari dan disertai dengan mata merah, ruam pada bahagian badan, bengkak pada tapak kaki dan tapak tangan, bengkak pada kelenjar leher dan lidah bertukar menjadi merah terang dan berbiji-biji atau ‘Strawberry Tongue’. 

Komplikasi penyakit Kawasaki yang paling membimbangkan adalah keradangan pada salur darah terutamanya pembuluh darah yang menyalurkan darah ke jantung. Kanak-kanak yang mengalaminya terdedah kepada masalah jantung dan berisiko mengancam nyawa. Penyakit ini berbahaya kerana ia sukar didiagnosis dan mempunyai gejala yang seakan-akan penyakit lain seperti demam biasa. Nasihat Doktor Teoh adalah ibu bapa boleh membawa anak berjumpa doktor pakar sekiranya demam melebihi 5 hari. Rawatan awal dapat mengurangkan risiko kesan jangka masa panjang. 

PERINGATAN PENTING

Melalui perkongsian yang telah diberikan, Dr Teoh menasihatkan agar para ibu bapa dan penjaga tidak mengambil mudah apabila anak-anak mengalami demam dan ruam. Walaupun ia mungkin hanya demam dan ruam yang ringan dan boleh pulih sendiri, anda perlu sentiasa berhati-hati kerana ada juga jangkitan yang boleh membawa maut. Segeralah berjumpa doktor pakar untuk mendapatkan pengesahan. 

Ibu bapa dan penjaga juga disarankan untuk mengurangkan risiko jangkitan yang serius dengan memberikan vaksin pencegahan kepada anak-anak. Dapatkan nasihat daripada doktor anda mengenai vaksin yang sesuai untuk melindungi anak dan keluarga anda.

Semoga perkongsian ini bermanfaat!

Maklumat ini disediakan sebagai perkhidmatan profesional oleh MSD. Pandangan yang dinyatakan dalam penerbitan mencerminkan pengalaman dan pendapat penulis.

MY-VVX-00147 Apr/2023

RUJUKAN:

  1. NHS Inform. Skin rashes in children. Available from: https://www.nhsinform.scot/illnesses-and-conditions/injuries/skin-injuries/skin-rashes-in-children. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  2. Cleveland Clinic. Skin Conditions in Children. Available from: https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/6951-skin-conditions-in-children. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  3. Institute for Quality and Efficiency in Health Care. Fever in children: Overview. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK279455/. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  4. Mullins TB, Krishnamurthy K. Roseola Infantum. Roseola Infantum. Treasure Island (FL). Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK448190/. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  5. From the Desk of the Director-General of Health Malaysia. Kenyataan Akhbar KPK7 Jun 2022 – SituasiSemasa KejadianPenyakit Tangan, Kakidan Mulut (HFMD) diMalaysia (ME 22 2022). Available from: https://kpkesihatan.com/2022/06/07/kenyataan-akhbar-kpk-7-jun-2022-situasi-semasa-kejadian-penyakit-tangan-kaki-dan-mulut-hfmd-di-malaysia-me-22-2022/. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  6. Guerra AM, Orille E, Waseem M. Hand Foot And Mouth Disease. Treasure Island (FL). Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK431082/. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  7. World Health Organization. Dengue and severe dengue. Available from: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/dengue-and-severe-dengue. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  8. World Health Organization. Chikungunya. Available from: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/chikungunya. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  9. Centers for Disease Control and Prevention. Dengue and Dengue Hemorrhagic Fever. Available from: https://www.cdc.gov/dengue/resources/denguedhf-information-for-health-care-practitioners_2009.pdf. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  10. Immunise4Life. The Malaysian National Immunisation Programme (NIP). Available from: https://immunise4life.my/the-malaysian-national-immunisation-programme-nip/. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  11. Centers for Disease Control and Prevention. Shingles (Herpes Zoster). Available from: https://www.cdc.gov/shingles/hcp/clinical-overview.html. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  12.  Immunise4Life. 5 Additional Recommended Vaccines for Children. Available from: https://immunise4life.my/5-additional-vaccines-for-children/. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  13. World Health Organization. Measles. Available from: https://who.int/news-room/fact-sheets/detail/measles. Last Accessed: 23 Mar 2023.  
  14. PORTAL MyHealth. MMR (Mumps, Measles & Rubella). Available from: https://www.myhealth.gov.my/en/mmr-mumps-measles-a-rubella/. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  15. Centers for Disease Control and Prevention. Meningococcal Disease. Available from: https://www.cdc.gov/meningococcal/index.html. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  16. Centers for Disease Control and Prevention. Meningococcal Disease Causes and How It Spreads. Available from: https://www.cdc.gov/meningococcal/about/causes-transmission.html. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  17. Centers for Disease Control and Prevention. Signs and Symptoms of Meningococcal Disease. Available from: https://www.cdc.gov/meningococcal/about/symptoms.html. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  18.  New York State Department of Health. Meningococcal Disease Fact Sheet. Available from: https://www.health.ny.gov/publications/2168/. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  19.  Badur S et al. Meningococcal Disease and Immunization Activities in Hajj and Umrah Pilgrimage: a review. Infect Dis Ther [Internet]. 2022:11.
  20. Centers for Disease Control and Prevention. Scarlet Fever: All You Need to Know. Available from: https://www.cdc.gov/groupastrep/diseases-public/scarlet-fever.html. Last Accessed: 23 Mar 2023. 
  21.  National Health Services. Kawasaki disease. Available from: https://www.nhs.uk/conditions/kawasaki-disease/. Last Accessed: 23 Mar 2023. 

 

Written by

chamlixian