Video daripada Harian Metro
Sedikit dirasakan cukup, banyak rezekinya diagih-agihkan. Itulah yang dipegang oleh nenek yang bernama Nor Azian ini. Nenek yang miskin ini mempunyai 2 orang anak, salah seorang anaknya OKU dan mempunyai 6 orang anak dan seorang ibu tunggal.
Setiap hari mereka mencari rezeki di sekitar Setapak dan Gombak ditemani cucunya. Wanita ini sentiasa menasihati cucunya agar cuba berdikari dan jangan harapkan belas kasihan orang.
Kisah nenek yang tabah ini memberi pengajaran bahawa sebagai seorang manusia, kita harus sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki.
Ia senang untuk berasa syukur:
Sedikit dirasakan banyak, banyak dirasakan cukup sehingga diagih-agihkan rezekinya. Walaupun sedikit rezeki yang kita berikan, kita mampu bersyukur atas apa yang kita miliki dan kadangkala rezeki datang tanpa disangka.
Bersyukur atas nikmat pekerjaan yang kita ada. Walaupun ini bukanlah pekerjaan yang kita impikan, kita cuba sedaya upaya untuk bekerja dengan ikhlas sehingga ia menjadi pekerjaan yang kita minat.
Bersyukur atas kesihatan kita dan menjaga kesihatan tubuh badan agar dapat mencari rezeki yang halal.
Kita seringkali menyebut kita adalah seorang yang bersyukur. Tetapi sejauh manakah ianya boleh diukur? Namun begitu, kita boleh menjadi seorang yang bersyukur jika kita mengamalkan tips berikut:
Bersyukur dengan hati:
Hati kita sentiasa teringat kepada yang Maha Esa. Setiap nikmat yang Tuhan bagi, kita catatkan di dalam buku nota kecil, ataupun setiap perkara baik dan gembira dapat dilakukan atau terjadi pada hari ini.
Bersyukur dengan lidah:
Mengucapkan perkara yang positif sahaja di dalam kehidupan. Cuba untuk menjadi seorang yang positif. Ucapkan sesuatu yang baik pada hari ini boleh menjadi doa untuk diri sendiri pada masa yang akan datang.
Sentiasa ucapkan “saya sangat bersyukur dapat hidup pada hari ini setelah bangkit dari tidur dan juga memuji Tuhan yang Esa.”
Bersyukur dengan perbuatan:
Cara bersyukur dengan perbuatan adalah mengagih-agihkan rezeki yang ada walaupun sedikit, kepada orang yang memerlukan. Setiap masa yang diberi, umur yang dipanjangkan Tuhan, panca indera yang berfungsi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk berbuat baik dan beribadah kepada-Nya.
Bersyukur dengan pemberian Tuhan juga dapat dilakukan dengan menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar yang ada.
Jika kita mengamalkan semua perkara di atas, kita boleh menjadi orang yang paling bahagia dan jarang merungut. Kita akan cuba untuk tidak bersedih akan sesuatu musibah atau kesusahan dan selalu bersangka baik atas segala musibah dan kesusahan yang kita hadapi.
Rencana dipetik daripada Oh Bulan dan gambar-gambar daripada video Harian Metro