Kami pernah berkongsikan artikel tentang cara-cara berkesan untuk mengendali anak mengamuk mengikut gaya artis Hollywood, Drew Barrymore – dulu. Hari ini, kami akan berkongsi satu pendedahan besar yang ditemui oleh pakar psikologi tentang anak mengamuk, pula!
Pakar psikologi tersebut – Sally Neuberger telah mendedahkan tentang satu soalan yang berkesan untuk menenteramkan kanak-kanak mengamuk. Soalan itu adalah
“Adakah ini masalah besar, sederhana atau masalah kecil?”
Soalan ini nyata terbukti berjaya membantu seorang ibu menenteramkan anaknya yang mengamuk! Ceritanya begini – Fabiana Santos, seorang ibu kepada kanak-kanak berusia 5 tahun menjumpai Neuberger setelah anaknya tidak boleh menyesuaikan diri untuk masuk ke tadika.
Sebagai seorang pakar psikologi dan terapi kanak-kanak, Neuberger memberi beberapa panduan buat Santos. Santos juga mendengar nasihat Neuberger dan mencuba “soalan cepumas” itu pada anaknya.
Dan anaknya kini terbukti semakin kurang mengamuk!
Hebat!
Apakah disebalik soalan mudah tersebut?
Disebalik soalan mudah terbabit, terkandung satu intipati penting – iaitu anda menunjukkan minat tentang apa yang mengganggu anak anda.
Biasanya, kanak-kanak akan “mengamuk” kerana permintaannya tidak dituruti. Apabila anda mula menyoal soalan semudah “adakah ini masalah besar, sederhana dan kecil”, perangai mengamuk itu akan berkurangan.
Bagaimana? Menerusi empati. Kanak-kanak akan rasa mereka “dihargai dan dihormati” apabila anda ingin mengambil tahu apa perasaan mereka.
Daripada soalan mudah itu juga, anda sebenarnya menggalakkan anak anda untuk cuba menyelesaikan masalah “ketidakpuasan hati” yang mereka rasa. Apabila masalah selesai, tiada lagi adegan mengamuk tak tentu pasal!
Satu kelebihan menggalakkan anak anda menyelesaikan masalahnya sendiri adalah keyakinan diri mereka akan meningkat. Mereka juga akan lebih bijak berdikari apabila semakin membesar.
Bagaimana ingin guna soalan itu pada anak yang mengamuk?
Jangan risau, anda boleh mula menyoal soalan sedemikian pada anak-anak yang berumur 3 tahun ke atas. Ia kerana kanak-kanak seawal usia ini sudah mula berfikir dan menilai apa yang berlaku di sekeliling mereka (dibantu oleh ibu bapa juga).
#1 Mula-mula, anak anda harus faham tentang apa itu “masalah besar”, “masalah sederhana” dan “masalah kecil”.
- Masalah besar – masalah yang amat menganggu dirinya
- Masalah sederhana – masalah yang memerlukan masa dan usaha untuk diselesaikan
- Masalah kecil – masalah kecil yang boleh diselesaikan dengan mudah dan cepat
#2 Apabila mereka tiba-tiba meragam dan mengamuk, tanya mereka soalan ini. Apabila mereka menjawab ia masalah besar, sederhana atau kecil, soal mereka bagaimana ingin menyelesaikan masalah tersebut pula.
#3 Beri mereka masa dan peluang untuk berfikir bagaimana
#4 Selepas masalah diselesaikan, ucap tahniah pada mereka. Biar mereka rasa dihargai.
Contoh daripada Santos
Santos percaya soalan ini telah mengurangkan sifat mengamuk yang sering dibuat oleh anaknya. Anda masih ragu-ragu tentang bagaimana soalan ini membantu Santos mengendali anaknya?
Begini:
Satu pagi, anaknya sedang bersiap untuk ke sekolah. Namun tiba-tiba, dia mengamuk kerana dia ingin memakai sehelai seluar kotor yang telah dipakainya sebelum ini. Santos pantas menyoal anaknya.
“Ini masalah besar, sederhana atau kecil?”
Si manja tadi mendiamkan diri. Kemudian dia menjawab dengan perlahan “kecil”.
Santos kembali menyoal.
“Awak tahu masalah kecil mudah saja nak selesaikan. Jadi, macam mana kita nak buat sekarang?”
Santos memberi anaknya masa untuk berfikir. Seketika kemudian, anak perempuannya menjawab “pilih seluar lain,”
Taraaaaaaaaaa! Selesai!
Bagaimana? Bersedia untuk cuba tanya soalan ini bila anak anda mengamuk kelak? Jangan lupa untuk ajar mereka dahulu! Yang paling penting: Bertimbang rasa, beri masa anak anda selesaikan masalah, kemudian ucap tahniah padanya!
Selamat berjaya semua ibu bapa!
Kredit gambar: Toddler.Arparis.Org
Sumber rujukan: Smart Parenting