Kes pengabaian kanak-kanak boleh menjadi serius sekiranya ibu bapa terlalu lalai dan tidak mengambil tahu!
Pada zaman kini, usaha untuk membesarkan anak-anak memerlukan kesabaran yang tinggi. Desakan untuk hidup, kos sara hidup yang semakin meningkat
memang menguji kesabaran ibu bapa dan penjaga. Namun demikian,cabaran dan kesusahan yang dihadapi bukanlah alasan untuk ibu bapa dan penjaga mengabaikan anak-anak.
Ini pula kes seorang ibu berusia 20 tahun di Rusia yang telah meninggalkan kedua-dua orang anaknya dirumah sehingga anak lelakinya yang kurang dari umur 2 tahun telah mati kebuluran dan anak perempuannya yang berusia 2 tahun lebih ditemui dalam keadaan keletihan bersama mayat adiknya tiga hari kemudian.
Semasa ibu mereka disoal siasat, pihak polis terperanjat bila ibu berkata: “Saya tidak tahu budak boleh mati”. Kedua beradik tersebut dilaporkan terdesak sehingga menggoncang pintu rumah, tetapi tiada yang datang menolong.
Jiran-jiran juga telah melaporkan kepada polis apabila mendengar jeritan dan tangisan kanak-kanak tersebut tetapi polis gagal memberi respon. Yang paling menyedihkan, semasa anak-anak dikunci dan mati kebuluran di rumah selama 9 hari, si ibu sedang gembira, menghabiskan masa dengan kekasihnya.
Si ibu sekarang, sedang berhadapan dengan hukuman penjara selama 8 tahun kerana mengabaikan anak-anaknya.
Setiap ajaran agama mengajar kita untuk menyayangi sesama insan, lebih-lebih lagi menyayangi kanak-kanak sebagai insan yang lemah dan masih kecil untuk melindungi diri sendiri.
Mendera dan memukul anak-anak bukanlah fitrah kejadian manusia kerana setiap manusia yang lahir ke dunia adalah mengikut fitrah semulajadinya, iaitu baik dan sempurna dari lahir.
Manusia perlulah kembali ke fitrah seperti mana mereka dilahirkan dahulu.
Penderaan anak-anak adalah berpunca daripada bermacam-macam faktor. Antara faktor penyebab penderaan kanak-kanak adalah berpunca daripada:
Ibu bapa yang mementingkan diri sendiri
Mereka terasa hidup mereka sangat susah sehingga terlupa mereka ada amanah yang perlu digalas iaitu anak-anak. Kesempitan duit adalah salah satu punca ibu bapa mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak, lantas mengabaikan makan minum anak-anak. Tindakan mereka secara tidak langsung mendera anak secara mental kerana mengabaikan nafkah dan keperluan anak-anak.
Nafsu dan darah muda yang membara
Nafsu dan darah muda yang masih membara menyebabkan mereka larut dengan keseronokan dunia sehingga melupakan tanggungjawab mereka kepada anak-anak. Di samping itu, masalah dan konflik rumahtangga yang dihadapi oleh ibu bapa mendorong mereka untuk melepaskan kemarahan yang terpendam terhadap anak kecil.
Kurang didikan agama
Punca ibu bapa yang mendera anak-anak adalah mereka kurangnya ilmu agama di dada. Ilmu agama adalah penting sebagai pedoman hidup dan menguatkan semangat kita untuk meneruskan hidup walaupun berbagai dugaan melanda.
Mereka seharusnya memohon kekuatan daripadaNya untuk membesarkan anak-anak, dan bukan melepaskan kemarahan terhadap si kecil kerana mereka masih kecil untuk mengerti kesusahan hidup. Ibu bapa yang menghadapi kesukaran untuk membesarkan anak-anak harus mencari bantuan orang lain dan mendapatkan khidmat bimbingan kaunseling untuk menaikkan semangat dan memotivasikan mereka.
Pada zaman kini, pelbagai undang-undang dikuatkuasa untuk melindungi hak terhadap kanak-kanak kerana mereka masih muda dan lemah untuk melindngi diri sendiri. Tindakan dan hukuman yang keras harsulah dijalankan untuk ibu bapa dan penjaga yang mengabaikan anak-anak.
Pelbagai akta telah digubal dan dikuatkuasakan untuk melindungi anak-anak:
- Akta Kanak-Kanak 2001 telah memberi kuasa kepada doktor yang merawat anak kecil untuk memeriksa anak kecil dengan teliti dan menahan anak kecil di wad untuk pemantauan yang rapi jika mereka disyaki didera.
- Mengikut Seksyen 27(1), jika seseorang pegawai perubatan berdaftar mempercayai alasan-alasan yang munasabah bahawa seorng kanak-kanak yang sedang diperiksa dan dirawat elah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai dan terbuang, atau didera secara seksual, mereka hendaklah serta merta melaporkan kepada Pelindung.
Peranan jiran tetangga juga amat penting untuk mengurangkan kes penderaan di kalangan kanak-kanak. Peribahasa jangan menjaga tepi kain orang tidak dapat diguna pakai buat masa kini. Jiran tetangga haruslah peka terhadap keadaan sekeliling kerana dikhuatiri jiran mereka adalah salah seorang mangsa penderaan atau pendera kanak-kanak.
Jiran tetangga haruslah bersatu dan bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat keadaan mencurigakan di sekitar kejiranan mereka.
Anak adalah anugerah yang tidak ternilai, kerana mereka adalah pewaris bangsa. Jagalah anak kecil sebaik mungkin, kerana mereka berpotensi untuk menerajui negara pada masa akan datang.
Rencana dipetik daripada The Sun