Istilah sexual consent atau keizinan seksual mungkin kedengaran agak janggal di telinga. Lebih-lebih lagi buat pasangan yang sudah berkahwin. Padahal, seks dalam perkahwinan juga memerlukan persetujuan dua pihak.
Hal ini untuk mengelak dari berlakunya kekerasan seksual, seperti permintaan terlarang yang tidak dipersetujui satu pihak, ataupun kekerasan yang tidak mempertimbangkan keinginan pasangan.
Walaupun masyarakat di Malaysia sering menganggap apabila sudah berkahwin, isteri/suami adalah “hak mutlak” pasangan tersebut, tapi kekerasan seksual terhadap pasangan boleh membawa kepada penceraian dan kehancuran rumah tangga.
Malah dalam Islam sendiri, Allah SWT telah berfirman, isteri itu adalah tempat suami bersuka dan berkasih sayang.
“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu. Oleh itu, datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai, dan sediakanlah (amal-amal yang baik) dan bertakwalah kepada Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 223)
Islam mengangkat darjat seorang wanita dengan menekankan setiap suami untuk melayani isterinya dengan perilaku yang baik dan menuruti kehendak isteri yang bersesuaian dengan syarak.
Firman Allah SWT:
“Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – Surah al-Nisa’: 19.
Apa Itu Keizinan Dari Pasangan Untuk Seks Dalam Perkahwinan?
Atas sebab itu, keizinan pasangan masih penting untuk seks dalam perkahwinan. Menurut Planned parenthood, keizinan di sini membawa maksud persetujuan untuk melakukan hubungan seks dengan seseorang.
Apa yang dipersetujui? Kedua-dua pasangan haruslah bersetuju untuk terlibat dalam aktiviti seksual itu. Malah sebelum berhubungan seks, anda dan pasangan berhak untuk menolak atau menangguh hubungan tersebut.
Penting juga untuk jujur dengan pasangan tentang apa yang diingini dan tidak diingini semasa melakukan hubungan intim. Ketika mendapatkan keizinan pasangan, anda boleh menetapkan batas-batas dan menghormati pasangan saat berasmara.
Keizinan dalam seks amat penting bagi memberi ketenangan kepada pasangan, dan atas dasar suka-sama-suka.
Dan tanpa keizinan seperti yang dijelaskan di atas, aktiviti seksual (sama ada seks oral, sentuhan, atau penetrasi dari vagina mahupun anak), adalah satu kegiatan seks berdasarkan paksaan, dan boleh dianggap sebagai kekerasan seksual.
Sekiranya ada isteri mahupun suami yang merasakan dirinya dianiaya secara seksual, anda boleh mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga.
Kesalahan yang boleh disabitkan di bawah akta ini apabila seseorang
- Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa
- Sengaja atau tidak sedar meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan atau kecederaan fizikal
- Memaksa atau mengancam mangsa melakukan apa-apa perbuatan seksual
- Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaannya
- Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta
Di bawah akta ini, jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dijatuhkan hukuman.
Hakikatnya, meminta keizinan dan persetujuan sebelum melakukan seks sebenarnya menunjukkan anda amat menghargai pasangan sebagai seorang suami, isteri, atau pasangan hidup; dan bukannya sebagai “tempat melampiaskan nafsu”.
Persetujuan ini juga bertujuan untuk melindungi wanita mahupun lelaki dari penyakit seksual yang berbahaya, menindas hak dan kehidupan orang lain.
Antara beberapa cara untuk anda memperoleh keizinan daripada pasangan. Salah satunya adalah dengan bertanya pasangan terlebih dahulu, ataupun mengajak pasangan untuk melakukan seks dengan lembut.
Pertimbangkan jika pasangan menyukainya, ataupun dia sedang penat dan sebagainya.
Kalau anda rasa awkward untuk bertanya dan mengajak pasangan, cuba fikir yang anda melakukan benda ini atas rasa cinta terhadap pasangan dan ingin menghargainya.
Sumber rujukan: Mufti of Federal Territory, Harian Metro
Baca juga: Suami Sering Paksa Saya Berhubungan Intim, Adakah Ini Rogol Dalam Perkahwinan?