Selamatkah Untuk Ibu Berpuasa Ketika Hamil? Ini Pendapat Pakar...

Bulan Ramadhan datang lagi. Untuk umat Islam, anda pasti mahu berpuasa. Tapi bolehkan anda puasa ketika hamil? Ini penjelasan pakar...
Tempoh kehamilan yang memakan masa 9 bulan memungkinkan ramai wanita Muslim yang mengandung akan melewati bulan Ramadhan semasa hamil. Jadi, pasti ibu tertanya-tanya adakah boleh puasa ketika hamil?
Mengikut mazhab Imam Syafie, sekiranya dikhuatiri dengan berpuasa itu akan memudaratkan ibu atau bayi atau kedua-duanya, ibu tersebut diwajibkan berbuka. Puasa itu boleh diganti di kemudian hari.
Walau telah diberi kelonggaran oleh agama, 70% daripada wanita Muslim yang hamil memilih untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan.
Pasti ada yang tertanya-tanya, kalau bayi yang dikandung itu lapar, macam mana dia nak dapatkan makanan/zat sedangkan ibunya tidak makan dan minum apa-apa?
Walaupun seseorang ibu hamil itu berpuasa, bayi di dalam kandungannya masih boleh mendapatkan zat makanan untuk keperluannya dengan menyerap zat yang disimpan di dalam tubuh si ibu melalui tali pusat…walaupun si ibu itu berpuasa.
Apa kata doktor tentang puasa ketika hamil?
Apabila bakal ibu berjumpa doktor di bulan Ramadan ini, mereka sering bertanya ibu mengandung boleh puasa tak?
Untuk pengetahuan anda, wanita hamil yang berpuasa mungkin mengalami kesan sampingan seperti hipoglisemia (paras glukosa dalam darah yang lebih rendah daripada normal), ketosis dan dehidrasi.
Risiko ini dikatakan meningkat jika berpuasa di awal kehamilan (trimester pertama) kerana biasanya pada fasa ini banyak berlaku komplikasi kehamilan yang kurang menyenangkan. Oleh itu, doktor-doktor tidak menggalakkan ibu-ibu yang berada pada fasa pertama kehamilan untuk puasa ketika hamil.
Walaubagaimanpun, tiada satu nasihat yang seragam atau ‘one size fits all’ yang boleh digunakan oleh semua wanita hamil yang ingin berpuasa.
Oleh itu, walalupun si ibu merasakan badan mereka ‘ok’, ibu-ibu hamil yang ingin berpuasa dinasihatkan berjumpa doktor agar doktor dapat memeriksa keadaan sebenar anda dan keupayaan anda untuk berpuasa.
Namun, dalam keadaan-keadaan tertentu, doktor akan melarang anda berpuasa sekiranya anda mengalami:
- Kencing manis
- Penyakit hati yang tidak berfungsi
- Penyakit bronchial asthma yang teruk
- Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal
- Kehamilan kembar
- Risiko kelahiran pramatang
- Masalah-masalah lain berkaitan kehamilan yang serius
Tanda amaran ibu mengandung berpuasa perlu perhatikan
Tidak dinafikan ada ibu-ibu hamil yang berjaya berpuasa penuh di bulan Ramadhan. Bahagia rasanya dapat menjalani ibadah puasa tanpa ‘gangguan’ daripada ‘kawan baik’ kita yang selalu datang setiap bulan itu…
Namun, ibu puasa ketika hamil harus diperhatikan tanda-tanda seperti di bawah ini agar anda dan kandungan anda tidak terjejas disebabkan puasa anda itu:
- Pening kepala, pengsan, lemah atau letih. Cuba berehat selama setengah jam dan jika tiada perubahan, segera hubungi doktor anda.
- Loya atau muntah.
- Sekiranya usia kandungan melebihi 20 minggu, perhatikan jika terdapat perubahan ketara pada pergerakan bayi anda (tidak bergerak/kurang menendang).
- Berasa sangat dahaga atau air kencing berwarna gelap dan berbau kuat. Ini adalah tanda-tanda dehidrasi.
- Berat badan tidak bertambah atau berkurangan berat badan.
- Rasa sakit seakan-akan sakit bersalin.
- Sakit kepala atau demam.
Ibu mengandung berpuasa harus sentiasa ingat bahawa sebagai wanita hamil, anda memang telah diberi lampu hijau dari awal lagi untuk tidak berpuasa. Jadi usah terlalu memaksa diri, fikirkan tentang kandungan anda terlebih dahulu.
Tips pemakanan apabila puasa ketika hamil
Ini antara tips pemakanan berpuasa ketika hamil setiap bakal ibu baru perlu tekankan:
- Jika anda puasa ketika hamil, perlu utamakan memakan makanan yang berprotein tinggi seperti daging dan telur kerana protein boleh disimpan di dalam tubuh pada kadar yang lebih lama berbanding kumpulan vitamin yang lain.
- Banyakkan juga mengambil makanan yang berserat tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar supaya mampu menahan lapar.
- Jangan lupa mengambil vitamin tambahan ketika sahur bagi mengekalkan kesegaran badan sepanjang hari.
- Lewatkan waktu bersahur. Kalau boleh, bersahurlah hingga ke saat-saat akhir imsak supaya anda tidak cepat berasa lapar pada siang hari.
- Usahakan untuk minum 2 liter air masak selepas waktu berbuka hingga ke waktu imsak. Minum sedikit-sedikit tetapi kerap bagi mengelakkan dehidrasi di siang hari.
Sekali lagi kami ingatkan, tak salah untuk puasa Ramadhan namun penjagaan awal kehamilan juga perlu ditekankan. Jangan lupa juga untuk lakukan amalan ibu hamil trimester pertama sepanjang bulan mulia ini.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Waspada Berat Naik Mendadak Ketika Hamil, Ibu BERISIKO Sukar Bersalin & Kena Czer
Baca juga: 55 Nama Bayi Perempuan Islam Dalam Al-Quran Dengan Makna Baik & Berpuitis
Baca juga: Dah Tak Larat Solat Berdiri Ketika Hamil? Ini Panduan Solat Ketika Hamil Untuk Memudahkan