Dah Tak Larat Solat Berdiri Ketika Hamil? Ini Panduan Solat Ketika Hamil Untuk Memudahkan

Dah Tak Larat Solat Berdiri Ketika Hamil? Ini Panduan Solat Ketika Hamil Untuk Memudahkan

Panduan untuk solat duduk ini bukan spesifik buat ibu hamil sahaja, bagi yang tidak berdaya seperti yang mengalami kesakitan, kecederaan atau orang-orang tua yang tidak lagi berkemampuan pun perlu tahu cara-cara solat duduk ini. 

Bisa dan berdenyut rasa kaki bila berdiri lama-lama, lagi-lagi bila kandungan dah menginjak ke trimester ke tiga. Bukan kata nak berjalan, nak menunaikan solat fardhu pun payah. Disebabkan itulah anda perlu tahu cara solat duduk ibu hamil. 

Malah panduan untuk solat duduk ini bukan spesifik buat ibu hamil sahaja, bagi yang tidak berdaya seperti yang mengalami kesakitan, kecederaan atau orang-orang tua yang tidak lagi berkemampuan pun perlu tahu cara-cara solat duduk ini. 

Cara solat duduk ibu hamil sama saja seperti orang-orang lain yang tidak berkemampuan. Yang pasti perlu patuhi syarat sah solat seperti suci bebas dari hadas kecil dan besar, menghadap kiblat, menutup aurat, berwudhu dan berniat. 

Tapi anda juga perlu tahu cara-cara yang betul dan syarat sah untuk anda mendirikan solat duduk, dan bukanlah atas suka-suka.

Cara solat duduk ibu hamil dan orang yang tidak berdaya

cara solat duduk ibu hamil   

#1. Hanya dilakukan ketika kesulitan sahaja

Terdapat pandangan berbeza mengikut mazhab. Seperti mazhab Syafi’e menyatakan sekiranya anda tidak mampu bersujud di atas lantai namun mampu solat berdiri, jadi digalakkan untuk solat berdiri. Manakala mengikut mazhab Hanafi pula sekiranya anda tidak mampu bersujud, secara tidak langsung anda gugur dari kewajipan untuk solat berdiri, jadi anda dibolehkan untuk solat duduk sahaja. Walaubagaimanapun, menurut JAKIM anda boleh mengikut mana-mana yang memudahkan anda. 

#2. Memulakan solat dalam keadaan berdiri (jika mampu)

Sekiranya anda masih mampu berdiri seketika, anda digalakkan untuk memulakan solat dengan berdiri, kemudian selepas rukuk dan sujud bolehlah meneruskan solat duduk seperti biasa sama ada duduk di lantai atau duduk di kerusi. Jika betul-betul tidak boleh berdiri barulah memulakan solat terus ketika duduk. 

#3. Tidak boleh berterusan duduk jika mampu berdiri

Sekiranya anda memulakan solat ketika duduk kemudian rasakan anda mampu berdiri, lantas teruskan solat berdiri. Sekiranya anda solat duduk dan mampu berdiri untuk ruku’ seperti biasa hendaklah berdiri (untuk iktidal) sebelum ruku’.

#4. Perlu sujud di lantai jika mampu

Bagi anda yang bersolat di atas kerusi atau duduk atas lantai, perlulah sujud seperti biasa jika mampu. Jika tidak, maka tidak perlu.

#5. Jika tidak mampu duduk, solat dalam keadaan baring mengiring atau terlentang

Sekiranya anda tidak mampu untuk solat berdiri dan duduk, maka anda bolehlah bersolat dalam keadaan baring mengiring. Sekiranya tidak boleh mengiring, maka lakukan dalam keadaan terlentang. 

Lakukan rukun pergerakan solat dengan menggunakan isyarat badan, seperti rukuk dan sujud, tunddukan sedikit badan. Jika tak mampu menggerakkan badan, gunakan kepala, jika tidak mampu gunakan isyarat mata, dan jika masih tidak mampu, solat dalam hati. Betapa pentingnya solat dan betapa mudahnya Islam, semuanya anda mampu lakukan. 

#6. Bagi yang mampu berdiri, hanya solat sunat boleh dilakukan secara duduk

Ya, anda yang sihat juga boleh lakukan solat duduk, namun hanya untuk solat sunat SAHAJA. Kerana syarat sah untuk solat fardhu adalah berdiri sekiranya mampu.

Solat duduk dalam Islam

cara solat duduk ibu hamil

Mengikut Mufti Wilayah Persekutuan, keringanan dalam solat adalah dibenarkan bagi ibu hamil juga orang-orang yang tidak berdaya. Yang pasti anda hanya perlu tahu cara solat duduk ibu hamil.

Solat adalah ibadah yang wajib ke atas umat Islam seluruhnya. Sesungguhnya balasan bagi orang-orang yang meninggalkan solat itu sangat berat.

Maka, tidak kira apa keadaan sekalipun, umat Islam dilarang sama sekali meninggalkan solat. Namun, para fuqaha’ mengeluarkan empat keadaan yang tidak akan diazab sekiranya meninggalkan solat. Syeikh Hassan al-Kaf menyebutkan empat keadaan yang dikecualikan daripada azab ialah (lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi Qism al-Ibadah, 190):

Orang yang ketiduran sebelum masuknya waktu solat dan hanya tersedar selepas waktu solat.
Lupa secara sendiri atau kerana disebabkan sesuatu yang harus.  Sekiranya disebabkan suatu yang makruh atau haram seperti mabuk arak dan dadah, tidak termasuk di dalam pengecualian.

 

cara solat duduk ibu hamil

Orang yang sedang uzur atau hamil tidak termasuk di dalam pengecualian di atas. Namun, Islam tidaklah menzalimi umatnya dengan memaksa umatnya sama ada yang sedang sakit atau wanita yang sedang hamil yang mempunyai kepayahan untuk melakukan pergerakan tertentu. Sekiranya diperhatikan, Allah SWT telah berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا

Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya)

Surah al-Taghabun:16

Maka di atas kesempitan ini akan diberikan jalan keluar untuk orang yang sedang keuzuran untuk melakukan solat semampunya. Di dalam suatu hadith yang diriwayatkan oleh ‘Imran Bin Husain RA, beliau yang sedang menghidap buasir bertanya kepada Baginda Nabi SAW tentang solatnya, lalu Baginda SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah secara berdiri, sekiranya kamu tidak mampu, maka (solat) dalam keadaan duduk, sekiranya kamu tidak mampu, maka (solat) dalam keadaan berbaring.

Riwayat al-Bukhari (1117)

Maka bertitik tolak daripada hadith di atas, wanita yang sedang hamil berkemampuan untuk solat seperti biasa, maka hendaklah menyempurnakannya. Adapun wanita yang tidak berkemampuan untuk berdiri, maka dibenarkan solat secara duduk.

Jumhur ulama’ menyebutkan dalam situasi mereka yang mempunyai masalah untuk ruku’ dan sujud secara biasa, maka dilakukan pada kadar kemampuan sahaja. Lihat al-Mausuah al-Kuwaitiyah (27/ 264).

Berdasarkan nas dan hujah yang dinyatakan di atas, wanita hamil yang mempunyai masalah untuk melakukan mana-mana perbuatan solat tetap wajib menunaikan solat. Namun, diberi keringanan terhadapnya dengan dibenarkan untuk melakukan perbuatan solat tersebut seperti ruku’ atau sujud pada kadar kemampuannya sahaja.

Semoga kita diberikan kefahaman yang jelas dalam mempraktikkan syariat-Nya. Amin.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Baca juga:

my.theasianparent.com/cara-melakukan-ibadah-solat-sambil-menggendong-anak

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Mana-mana pandangan dan pendapat di dalam artikel ini adalah peribadi dan tertakluk hanya pada pengarang, ia tidak mewakili theAsianparent atau klien.

Penulis

Nur Izzati

Artikel(Cerita)
app info
get app banner