Kecoh satu Malaysia tentang berita seorang ‘habib’ yang kononnya sangat berilmu dan tawaduk. Dia bergelar Sheikh Tobib Toha Al Jailani Al Iraqi. Wah, nama pun sudah cukup kelihatan berdarjat dan berilmu.
Malang sekali, di sebalik jubah labuh dan serban meninggi itu, rupanya dia telah dikatakan mencabul dan merogol wanita yang datang kepadanya bagi membuat rawatan pemulihan sihir.
Ramai netizen telah berkongsi pendapat mereka tentang “sheikh” ini, di mana rata-rata menyatakan yang kita sangat mudah terpedaya dengan penampilan fizikal seseorang.
Cukup sahaja dengan sedikit ucapan bahasa arab, serban di kepala, berjubah, dan mungkin juga seutas tasbih di tangan, pasti orang kita akan memujinya dan terus menganggap orang itu alim dan perlu disanjung.
Mungkin kerana budaya orang Malaysia yang gemar memandang tinggi kepada ulama (bukanlah ia satu budaya yang teruk; ia amalan mulia yang patut diteruskan tetapi secara berwaspada), jadi amat mudah untuk kita satu Malaysia terpedaya dengan penampilan lelaki Arab ini.
Pemimpin negara juga terpedaya
Nah, bukan sahaja orang awam, malah pemimpin tertinggi negara turut tertipu dan berdampingan dengan lelaki ini, sehinggalah berita penipuannya terbongkar dan sekaligus tertangkap.
Beberapa hari lalu, beberapa wanita telah berkongsi screenshot perbualan antara mereka dengan “sheikh” ini di Whatsapp.
Jelas yang lelaki ini hanya mahu mengambil kesempatan ke atas golongan wanita di Malaysia.
Jadi, di kesempatan peristiwa yang memalukan kita sebagai rakyat Malaysia ini, kami ingin berkongsi dengan golongan hawa beberapa tip untuk mengenal pasti pervert, atau lelaki miang.
Sebelum itu, jom kita tengok dahulu maksud pervert, atau lelaki miang.
Menurut Jesse Bering, seorang ahli psikologi dan penulis buku “Perv: The Sexual Deviant in All of Us”, perkataan pervert boleh didefinisikan sebagai seseorang yang sengaja mahu menyebabkan gangguan atau kemudaratan seksual kepada orang lain.
Cara kenal pasti pervert – Gunakan ini sebagai self-defense anda!
1. Matanya sangat meliar
Apabila anda berada di luar atau bersama dengan seorang lelaki lain, antara tanda yang boleh menunjukkan seseorang itu lelaki miang adalah keadaan matanya yang sangat meliar.
Menurut Psychology Today, mata merupakan satu bahagian badan yang menjadi penghubung komunikasi yang membantu kita mengenali orang lain.
Namun, apabila seseorang itu menyalah gunakan matanya dan asyik memandang tubuh kita atas bawah, itu adalah petanda yang tidak baik.
Pandangan mata lelaki yang meliar sebegini dianggap sebagai mengobjekkan badan wanita dan menjadi petunjuk kepada rasa tidak hormat dalam diri lelaki tersebut.
2. Sentiasa “tersentuh” bahagian badan kita
Apabila seseorang lelaki itu selalu menyentuh kita, itu adalah satu petanda yang sangat jelas.
Tapi, lelaki pervert lebih mahir bermain dengan kata-kata. Helah mereka banyak sekali! Lelaki sebegini akan menggunakan alasan “tersentuh”.
Bahagian yang disentuh pula tidaklah seteruk mana. Mungkin dia “terpegang” tangan kita” atau dia “terlanggar” paha kita.
Jika anda perasan yang seseorang itu selalu berbuat sedemikian, ketahuilah bahawa itu petanda yang anda perlu mula menjauhkan diri darinya.
Menurut U.S Department of Justice, sentuhan yang tidak diizinkan – sengaja atau tidak sengaja – boleh dianggap sebagai satu bentuk gangguan seksual.
Jadi, jangan sesekali terima apabila dia mengatakan yang dia seorang lelaki gentleman dan hanya mahu memastikan keselamatan anda sambil meletakkan tangannya di pinggang anda.
Ia masih lagi dianggap gangguan seksual jika anda tidak mengizinkannya!
3. Selalu mengajak untuk “berbincang” bersendirian
Adik kakak sekalian, jika ada sebarang lelaki mengajak anda untuk pergi ke sesuatu tempat terpencil bagi memudahkan proses “perbincangan” atau “rawatan”, jangan sesekali terpedaya dan mengikut sahaja.
Selalunya, golongan sebegini akan cuba mengajak berbuat demikian dengan cara yang halus dan meyakinkan.
Itu pun dibuat selepas mereka berjaya mendapatkan kepercayaan kita.
Jika anda perasan yang ia berlaku kepada anda, segeralah menyelamatkan diri dan menjauhi lelaki itu.
Percayalah, tiada lelaki baik dalam dunia ini yang akan mengajak anda untuk berseorangan dengannya – atas apa sebab sekalipun!
Tidak kiralah sama ada dia memang kelihatan miang, ataupun tampil baik lagi warak, anda boleh gunakan 3 tip penting di atas ini untuk mengenal pasti lelaki miang dan mengelak dari menjadi mangsa mereka!
Ya, kita sebagai orang wanita mungkin kurang bermaya dari segi fizikal, tapi kita bukanlah golongan yang kurang bijak, mudah tertipu begitu sahaja!
Sumber: Icytales.com
Baca juga: