Perkongsian dari Info Ibu Hamil tentang seorang bayi yang tertelan bebola jeli yang saiznya sekecil manik, namun mengembang di dalam usus anak kecil itu sehingga perlu membuat pembedahan bagi mengeluarkan bebola jeli itu.
Apa yang dapat dilihat di sini, bebola jeli tersebut telah memasuki usus bayi tersebut. Dan disebabkan sifat bebola jeli itu mengembang apabila terkena air, bebola itu mengembang dan tersumbat di dalam usus bayi itu. Usus tersumbat adalah sesuatu yang sangat serius terutamanya untuk bayi kerana boleh membahayakan nyawa.
Bagaimana mengenal pasti risiko usus tersumbat?
Menurut perkongsisan babycenter, simptom atau tanda-tanda bayi usus tersumbat ialah:
- muntah yang kerap
- banyak berpeluh dan kelihatan letih
- sesetengah bayi akan mempunyai najis yang berdarah dan berlendir
- menangis tanpa henti dan melipatkan kakinya apabila sakit
- menunjukan tanda-tanda dehidrasi
- bahagian abdomen keras
Apa yang anda patut lakukan?
Segera ke hospital dan doktor akan:
- membuat imbasan ultrasound abdomen
- membuat imbasan sinaran X (x-ray)
Kemudian doktor akan menjelaskan keadaan tersumbat di bahagian mana dan tindakan yang wajar dilalukan seterusnya.
Komplikasi
Usus tersumbat boleh menyebabkan kekurangan bekalan darah ke kawasan yang terlibat di dalam usus. Jika dibiarkan tidak dirawat, kekurangan darah akan menyebabkan tisu di dinding usus mati. Tisu mati boleh membawa kepada koyak (perforation) di dinding usus, yang akan menyebabkan jangkitan pada dinding saluran abdomen (peritonitis).
Peritonitis ialah keadaan yang sangat membahayakan nyawa dan perlu rawatan medikal yang segera:
- sakit di bahagian abdomen
- bengkak di bahagian abdomen
- demam
Peritonitis juga boleh menyebabkan anak anda terkena kejutan. Tanda-tanda kejutan ialah:
- badan sejuk, melekit dan pucat
- denyutan nadi yang lemah dan laju
- corak pernafasan yang tidak normal
- resah
Adalah wajar untuk ibu bapa terus ke hospital jika didapati anak anda mempunyai tanda-tanda yang disenaraikan. Lebih baik berjaga-jaga dari dibiarkan melarat dan menjadi lebih membahayakan. Dan jika anak anda pernah mengalami situasi ini, rawatan susulan juga amat penting. Kepada bayi yang telah dikongsikan ceritanya, semoga cepat sembuh.