Tiada ibu ayah di dunia ini yang tidak memiliki sifat marah, terutamanya apabila berdepan dengan pelbagai karenah dalam membesarkan anak-anak. Tekanan seharian dan ditambah pula masalah peribadi kadang-kala cenderung menyebabkan ibu ayah terlepas kemarahan pada si kecil.
Namun sebenarnya ramai ibu ayah mengatakan bahawa ia bukanlah disengajakan. Hal ini kerana kesabaran sudah hilang sehingga membuatkan mereka sukar untuk menahan rasa marah yang membara dalam diri.
Sifat marah ibu ayah boleh memberikan kesan buruk terhadap anak
Selepas memarahi anak, pasti kita akan dilanda rasa menyesal dan sedih kerana secara tiba-tiba akan wujudnya kasihan pada mereka yang tidur bersama linangan air mata.
Dalam hal ini, berpada-padalah anda dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa zaman kini memang tidak sama dengan dahulu. Ada beberapa hal yang perlu anda lakukan bagi mengawal emosi marah keterlaluan ketika berdepan pelbagai ragam anak-anak:
#1. Percaya bahawa setiap anak adalah unik dan istimewa
”Kenapa awak ni nakal sangat?”, ”Cuba tengok kakak tu baik je dia kan?” Inilah ayat dari mulut ibu ayah bagi membandingkan si manja tanpa kita tahu akan akibat akan datang.
Sebenarnya anak kecil juga memiliki hati dan perasaan. Cumanya dia tidak mampu untuk meluahkan apa yang dirasai. Justeru, ibu ayah perlu menghentikan tindakan membandingkan anak dengan orang lain kerana mereka memiliki keistimewaannya tersendiri.
#2. Kaedah ‘berhenti dan berfikir’
Kebiasaannya bila melihat rumah bersepah dan anak sukar mendengar arahan, kita akan mudah naik angin serta hilang sabar.
Justeru, cubalah untuk mendiamkan diri dan tarik nafas sedalam-dalamnya bagi memikirkan seketika apakah reaksi yang sepatutnya anda tunjukkan di hadapan anak-anak.
Antaranya ialah:
- Apakah sebab di sebalik tingkah laku mereka?
- Bagaimana cara untuk kita beri tindak balas jika diri lebih tenang?
- Adakah tingkah laku anak benar-benar nakal atau mereka sengaja inginkan perhatian kita?
Apabila anda mula berfikir sektika, maka hati yang marah akan mula reda sedikit demi sedikit.
#3. Bagi time out untuk diri sendiri
Apabila ibu ayah sedang marah, anda cenderung untuk bercakap tanpa memikirkan perasaan anak-anak. Jadi bila anda dapat agak bahawa angin bakal naik, segeralah mengasingkan diri daripada situasi berkenaan dan cuba kosongkan minda untuk bertenang.
Rasulullah juga ada mengajarkan umatnya untuk duduk sekiranya sedang marah ketika berdiri. Kemudian berwudhuklah dan minta pertolongan Allah agar diberikan kesabaran mendidik anak-anak.
#4. Tidak perlu semuanya sempurna
Kebanyakan diri mudah marah adalah disebabkan oleh tugasan harian memenatkan sehingga membuatkan anda lebih sensitif. Justeru, tidak perlu bersalah jika anda memerlukan sedikit waktu untuk berehat.
Bertenang dan lihatlah sekeliling. Inilah jalan hidup yang perlu anda lalui sehinggalah akhir usia.
Bukan itu sahaja, elakkan dari memaksa diri melakukan sesuatu di luar kemampuan diri. Sebagai contoh, penat seharian bekerja dan ambil anak, tidak mengapalah jika sekali-sekala anda hanya bungkus makanan di luar.
#5. Sentiasa ingat bahawa kita adalah cermin mereka
Sebelum bertindak, ingatlah bahawa ibu ayah merupakan role model paling besar pengaruhnya terhadap anak-anak. Secara tidak sedar, sifat marah, suka mengamuk dan menjawab mungkin berpunca daripada diri sendiri.
Hal ini kerana anak kecil sebenarnya lebih cenderung mengikuti apa sahaja yang anda lakukan berbanding anda ucapkan. Justeru, perbuatan ibu ayah di hadapan anak-anak adalah penting kerana setiap perbuatan dan tingkah laku mereka bergantung pada apa yang dilihat setiap hari.
Bukan itu sahaja, berikan pelukan kepada anak dengan seerat-eratnya. Ibu ayah perlu bijak dalam mengawal emosi ketika si manja mula buat perangai.
Ketika mereka bergaduh antara satu sama lain, tarik salah seorang dan cubalah tenangkannya dahulu. Peluk dengan erat dan pujuk dengan lembut.
Apabila anak-anak sedang marah, mereka sebenarnya dalam fasa ”api”. Kitalah ibu bapa sebagai ”air” untuk menenangkan anak-anak agar lebih mudah dengar kata dan tidak saling bergaduh.
Sumber: Ahyat Ishak
Kredit foto: Sehinggit media
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: