Di Malaysia, seramai 7.4% kanak-kanak mengalami kelewatan perkembangan, seperti yang dilaporkan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022, dengan kadar prevalens dalam kemahiran motor kasar (1.0%), kemahiran motor halus (1.9%), pertuturan & pendengaran (2.7%), dan perkembangan sosial (4.1%).
Statistik ini menekankan tindakan segera yang diperlukan untuk pengesanan awal dan bantuan yang sesuai bagi menangani cabaran ini dengan berkesan.
Dr Loh Wai Loong, Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), menjelaskan, “Kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran sering menghadapi cabaran di dalam dan di luar kelas. Pengesanan awal masalah pembelajaran dan sokongan berdasarkan keperluan individu sangat penting dalam membantu kanak-kanak tersebut belajar dalam suasana yang memberangsangkan.”
Mengenali tanda-tanda kesukaran belajar
Kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran boleh menunjukkan pelbagai gejala yang mungkin muncul seawal zaman bayi atau hanya menjadi ketara apabila mereka mula menghadiri sekolah. Sesetengah tanda-tanda masalah pembelajaran yang disebabkan oleh Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Autism Spectrum Disorder (ASD), atau Masalah Pembelajaran Spesifik seperti Disleksia (kesukaran membaca), dyscalculia (kesukaran mengira), dan disgraphia (kesukaran menulis) hanya timbul ketika mereka mula bersekolah.
“Segelintir kanak-kanak tersebut mungkin menunjukkan tingkah laku yang membimbangkan seperti kurang perhatian, hiperaktif, atau enggan ke sekolah,” kata Dr Loh.
“Tingkah laku seperti ini selalunya hanya dianggap ‘nakal’ tetapi sebenarnya adalah isyarat awal golongan kanak-kanak tersebut tidak dapat menampung keperluan akademik dan sosial dalam kelas.
Kelewatan perkembangan juga boleh menyebabkan masalah pembelajaran sekiranya tidak dikesan awal. Kelewatan dalam pertuturan, kemahiran motor, atau interaksi sosial dapat mempengaruhi kemampuan kanak-kanak untuk belajar dan menyesuaikan diri di kalangan masyarakat.
Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang lambat bercakap mungkin perlu bekerja keras untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya di taska. Ketidaksefahaman dan ejekan boleh mengakibatkan kemurungan dan pengurungan diri daripada persekitaran.
Hubungan Antara Lewat Perkembangan dan Masalah Pembelajaran
Perkembangan yang selaras dengan usia adalah penunjuk utama tumbesaran yang sihat di kalangan kanak-kanak. Kelewatan dalam bidang seperti kemahiran motor kasar, kemahiran motor halus, pertuturan dan bahasa, atau interaksi sosial mungkin boleh mendatangkan masalah pembelajaran yang serius jika tidak dikesan awal. Kanak-kanak dengan kelewatan perkembangan global (GDD), di mana dua atau lebih bahagian perkembangan terjejas, lebih berisiko untuk mengalami cabaran belajar jika dibiarkan.
Dr Loh menekankan kepentingan penilaian perkembangan secara berkala, ” pemantauan berterusan semasa mereka membesar dan intervensi awal jika berkaitan, adalah faktor utama kanak-kanak yang mempunyai kelewatan perkembangan untuk mencapai potensi mereka yang sepatutnya. Kajian telah menunjukkan bahawa program intervensi awal (EIPs) memberi kesan yang sangat memberangsangkan kepada kanak-kanak dengan kelewatan perkembangan.”
Kesan masalah pembelajaran atas emosi
Cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak dengan kesukaran belajar tiada batasan. Kesejahteraan emosi dan nilai kendiri sering terjejas tanpa disedari. Golongan kanak-kanak ini perlu sentiasa bergelut untuk mengikuti langkah-langkah rakan sebaya mereka setiap hari. Jika dibiarkan tanpa bantuan, kebanyakan daripada mereka akan mengalami masalah buli, kekecewaan atau pengasingan diri, dan seterusnya penolakan sekolah.
“Bayangkan jika anda ditempatkan dalam kelas di mana anda tidak faham bahasa yang digunakan. Di samping rasa ketidaksempurnaan dan lemah, usaha dan perhatian berterusan yang diperlukan untuk pemahaman tidak dapat digambarkan,” Dr Loh turut berkongsi.
Kaedah Diagnostik: Pendekatan Komprehensif
Pengesanan kesukaran belajar di kalangan kanak-kanak melibatkan langkah seperti mendapatkan sejarah terperinci perubatan, perkembangan, keluarga dan sosial kanak-kanak. Ini diikuti oleh pemeriksaan fizikal dan penggunaan alat pemeriksaan perkembangan khusus seperti DSM-V (ADHD dan ASD), soal selidik Vanderbilt (ADHD), M-CHAT (ASD) atau buku teks dari sekolah untuk masalah pembelajaran spesifik seperti disleksia dan discalculia.
Saringan Pemeriksaan Perkembangan
DSM-V: The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Edisi Kelima, adalah panduan komprehensif yang digunakan oleh anggota kesihatan untuk mengesan keadaan seperti ADHD dan ASD. Vanderbilt: Soal selidik yang banyak digunakan yang menilai gejala ADHD dan kesannya terhadap kehidupan seharian anak, sering dijawab oleh ibu bapa dan guru.
M-CHAT: The Modified Checklist for Autism in Toddlers adalah untuk mengesan tanda-tanda awal ASD di kalangan kanak-kanak berumur 16 hingga 30 bulan.
“Ia adalah proses yang memakan masa,” jelas Dr Loh. “Kanak-kanak sering memerlukan beberapa lawatan ke klinik untuk memastikan diagnosis yang tepat bagi membolehkan semua pihak membincangkan intervensi berdasarkan kesukaran yang dihadapi. Matlamatnya adalah untuk mengenal pasti kesulitan yang dialami dan menangani mereka secara menyeluruh.”
Kepentingan Intervensi Awal
EIPs direka untuk menangani kelewatan perkembangan dan kesukaran pembelajaran pada peringkat awal. Program-program ini menggunakan pendekatan yang disesuaikan untuk membantu kanak-kanak mengatasi cabaran dan mencapai potensi mereka. Aktiviti yang biasa dijalankan termasuk terapi pertuturan, terapi carakerja, dan latihan integrasi deria, semuanya disesuaikan dengan keperluan unik setiap individu.
“Program intervensi awal bukan hanya menitikberatkan pencapaian akademik,” kata Dr Loh. “Mereka memberi tumpuan kepada pembangunan holistik, melengkapkan kanak-kanak dengan alat yang mereka perlukan untuk melangkah keluar ke masyarakat.”
Menyokong kanak-kanak di rumah
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyokong anak-anak yang menghadapi masalah pembelajaran. Menyediakan jadual yang konsisten, menggalakkan tingkah laku positif, dan menggunakan alat pembelajaran yang melibatkan pelbagai deria, adalah beberapa kaedah yang boleh diambil untuk mencapai hasil yang amat menggalakkan.
Contohnya, penggunaan pelbagai deria dengan menyediakan gambar berwarna-warni, bergabung dengan aplikasi text-to-speech dapat meningkatkan kemampuan anak-anak untuk memahami suku kata baru.
Membahagikan tugasan kepada beberapa langkah yang lebih senang dan terkawal adalah strategi lain yang berkesan juga. “Tumpuan kanak-kanak adalah terhad,” Dr Loh mengulas. “Mengambil satu langkah demi satu dengan masa rehat di antara tugasan boleh membantu mengekalkan fokus dan motivasi.”
Kerjasama adalah kunci
Guru dan ibu bapa perlu bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Komunikasi yang kerap antara kedua-dua pihak akan membantu mereka memahami cabaran yang dihadapi kanak-kanak dan kemajuan mereka, seterusnya membolehkan guru dan ibu bapa menyesuaikan strategi pembelajaran yang diperlukan.
“Strategi pembelajaran yang disesuaikan, dengan sokongan dari ibu bapa dan pendidik, sangat penting untuk anak-anak berkeperluan khas,” jelas Dr Loh. “Konsistensi dan kerjasama adalah pembuka jalan untuk kanak-kanak mencapai potensi mereka.”
Seruan Tindakan
Dengan sokongan yang kukuh, kanak-kanak berupaya mengatasi masalah pembelajaran. Pengenalan awal dan intervensi yang disasarkan membolehkan mereka berhadapan dengan cabaran dan menjalani kehidupan seperti rakan sebaya yang lain dengan penuh kegembiraan.
“Setiap kanak-kanak mempunyai potensi untuk berkembang maju,” Dr Loh menyimpul. “Dengan alat yang betul, tindakan yang awal dan tepat, kita boleh membuka ruang untuk kanak-kanak yang bekeperluan khas menikmati masa depan yang diidamkan.”
Untuk maklumat lanjut atau mendapatkan nasihat profesional, sila lawati Pusat Perubatan Ara Damansara.