Mengapa Kita Perlu Bercakap Mengenai Keguguran & Kelahiran Mati? Ini Kepentingannya

Keguguran atau stillbirth masih menjadi topik yang tabu dalam sesetengah masyarakat? Sejauh mana anda tahu mengenainya? Pentingkah untuk anda tahu?

Keguguran atau stillbirth (kelahiran mati) mungkin memberi definisi yang berbeza di setiap negara, namun secara amnya kelahiran bayi mati berlaku pada usia kandungan 22 minggu ke atas sebelum bayi sempat dilahirkan. Ini bermakna bayi meninggal di dalam rahim beberapa minggu atau jam sebelum atau selepas ibu mengalami sakit bersalin.

Keguguran pula adalah ‘kehilangan’ kandungan yang berlaku sebelum usia 22 minggu ataupun berat bayi kurang daripada 500 gram jika usia kandungan tidak diketahui. Dan kes kelahiran mati yang tercatat setiap tahun mencecah sehingga 2.6 juta. 

Namun keguguran dan stillbirth mungkin masih dianggap tabu bagi sesetengah masyarakat. Dan di Malaysia juga masih ada yang berpendapat topik ini terlalu sensitif untuk dibincangkan. 

Walaupun tradegi ini berlaku di kalangan keluarga sendiri dan rakan-rakan rapat pun sebolehnya mereka akan mengelak dari bercakap mengenainya. 

Untuk membuat pasangan yang mengalami pengalaman hitam ini bercerita mungkin agak sukar, jadi kaum keluarga dan teman rapat lah yang sebenarnya patut sentiasa bertanya jika mereka ini dalam keadaan baik atau tidak. 

Penting sebenarnya untuk kita bercakap mengenai isu ini, terutama sekali buat pasangan yang mengalaminya. 

Memang perit untuk diluahkan namun lebih memudaratkan jika dipendam. Untuk pasangan yang mengalami kelahiran mati, ada banyak kebaikannya mengapa anda perlu bercakap mengenai apa yang terjadi. 

Mengapa perlu bercakap mengenai stillbirth?

Ramai pasangan yang mengalami kisah hitam berpendapat mengapa mereka perlu bercakap mengenai pengalaman mereka yang cukup menyedihkan itu? Malah buat apa orang mahu tahu, cukuplah mereka saja yang tahu dan biarlah kisah itu disimpan rapi. Tapi silap antara kepentingan untuk bercakap mengenainya adalah:

#1. Meningkatkan kesedaran

Ya, memang itu hak masing-masing itu tidak membicarakannya, namun ia adalah penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai hal stillbirth ini. Bayangkan ada ramai pasangan yang terdekat dengan anda tidak tahu akan risiko yang mungkin mereka alami ketika kehamilan.

Dikalangan rakan-rakan anda serta keluarga tentu ada yang hamil namun seperti anda dulu tidak tahu akan tragedi yang bakal berlaku kepada anda. Lantas tiada kesedaran dan cara menanganinya dengan betul jika ia berlaku. Bukanlah kita minta untuk kisah hitam ini berlaku kepada sesiapa pun cuma ia adalah risiko yang mungkin berlaku, jadi penting untuk diambil tahu. 

#2. Menghilangkan rasa beban

Percayalah bila anda lepaskan apa yang terbendung dalam benak perasaan anda sekarang akan kurang sedikit bebanan yang dirasai. Jika masih tidak mampu untuk meluahkan kepada yang terdekat, minta rundingan dengan pakar di hospital.

Berjumpa dengan pakar psikiatri bukan bermaksud gila, ia adalah satu khidmat pertolongan untuk anda meluahkan apa yang anda rasa, dan mereka akan bantu beri nasihat yang sewajarnya tanpa penilaian ‘bias’. 

#3. Merapatkan lagi hubungan keluarga dan rakan-rakan

Apabila anda mula berkongsi, keluarga dan rakan akan tahu anda mempercayai dan cukup memerlukan bantuan mereka waktu ini. Percayalah mereka akan sedia membantu dan memberi semangat kepada anda saat anda meluahkan.

Anda tidak tahu mungkin mereka pun ada bebanan mereka sendiri kisah yang mereka lalui sendiri, jadi apabila anda menceritakan kisah anda mereka juga akan berkongsi sesuatu yang anda sendiri tidak pernah tahu. Lantas boleh menjadikan ikatan perhubungan anda dengan keluarga dan rakan-rakan lebih rapat. 

Apa yang patut dilakukan jika pasangan meluahkan kepada anda tentang pengalaman mereka?

Pertama sekali janganlah suka menggunakan ayat “benda dah berlaku, nak buat macam mana,” malah katakan saja yang anda bersimpati. “Tak boleh bayangkan benda ini terjadi kepada aku, berat dugaan ini, namun kau tabah.” Berikan kata semangat yang begitu, ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka rasa lebih kuat.

Elakkan juga untuk berkata “takpe, boleh pregnant lagi,” sesungguhnya kita tak tahu sekiranya mereka struggle untuk hamil atau bukan mudah untuk mereka mencuba hamil, tiba-tiba kehilangan pula. Katakan “tidak mengapa, kita berdoa untuk yang terbaik.” Dengan sentiasa mengingatkan mereka untuk berpaling kepada Allah swt adalah yang terbaik, sesungguhnya hanya Dia yang tahu perasaan orang yang ditimpa dugaan ini.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 

Kelahiran Mati: Bagaimana Untuk Menghadapinya & Perlukah Diceritakan Kepada Rakan-Rakan