"Kepada suami yang terfikir untuk berlaku curang, sila fikir 2 kali dulu!"

Isu suami curang dengan isteri adalah isu yang sering terjadi. Apabila berlaku dalam rumah tangga, ia bukan sahaja melukakan hati isteri, malah anak-anak.

Kisah suami curang dengan isteri bukanlah satu perkara baru. Kita selalu disuap dengan isu ini dalam cerekarama di kaca televisyen dan tak dapat dinafikan, ia juga berlaku dunia realiti.

Walau apapun sebab atau alasan di sebalik kecurangan suami kepada isteri, ia bukanlah satu isu yang remeh-temeh.

Bagaimana seorang lelaki sanggup membelakangkan suri hati yang dulu dipilih sendiri atas dasar kasih sayang?

Suami curang dengan isteri – Wahai suami, sila fikir 2 kali sebelum melakukannya!

Wahai suami,

Kamu mungkin merasakan yang hidup kamu penuh dengan stres dan tekanan.

Kamu juga mungkin rasa lemas dengan segala tanggungjawab yang diletakkan di atas bahumu. Baik tanggungjawab di rumah, mahupun di pejabat.

Kamu berasa rimas serta runsing dengan bebelan isteri di rumah atau teguran bos di tempat kerja.

Kredit: Cision.com

Wahai suami,

Kamu merasakan yang isterimu itu tidak memahami dirimu seperti dulu. Tapi, ketahuilah yang sebenarnya dia seorang yang sangat memahami sikapmu.

Dia ketawa pada setiap lawak jenakamu, dia berkongsi minat atau sanggup menerima setiap kegemaranmu.

Dia meninggalkan ibu ayahnya dan hidup denganmu.

Isterimu meninggalkan ahli keluarganya, tempat tinggal, dan cara hidup yang dia sudah terbiasa dan gemari.

Isterimu itu juga berjauhan dengan sahabat-sahabat rapatnya, demi meneruskan hidup berkeluarga dengan dirimu.

Wahai suami,

Jika ketika ini, kamu terfikir untuk menduakan isterimu, ingatlah akan satu perkara – sekali kamu terjebak, sukar untuk dirinya mempercayaimu lagi.

Jika kamu menduakan isterimu, akan ada kesan dan akibatnya buat diri isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluargamu. 

Ketika kamu terfikir untuk berlaku curang, ingatlah isteri di rumah. Pulanglah ke pangkuan keluarga dan lihat wajah anak-anak.

Kredit: Dreamstime.com

Pegang tangan isterimu dan usap kepala anakmu

Apa mungkin tindakan kamu hari ini yang hanya berlandaskan nafsu sementara akan menjanjikan bahagia di hari muka?

Wahai suami,

Tatkala kamu terfikir untuk menghantar mesej cinta kepada wanita kedua, tenunglah wajah isterimu yang sedang tidur.

Lihatlah parut di perutnya yang menyabung nyawa melahirkan zuriat keturunanmu.

Tiadakah rasa belas dan ihsan dalam hatimu buat wanita yang engkau nikahi tidak lama dahulu?

Wahai suami,

Jika hari ini engkau teringin untuk mencari suri hati yang lain, fikirkanlah tentang masa depan anak-anakmu.

Kecurangan yang engkau lakukan pada hari ini akan tersemat dalam sanubari anak-anakmu.

Kredit: Lds.org

Rasa dikhianati pasti akan terbit dalam hati ahli keluargamu. Kamu tidak akan muda selamanya, dan satu hari nanti, kamu pasti memerlukan anak-anakmu.

Wahai suami,

Jika hari ini engkau tersilap langkah menjadi salah seorang suami curang dengan isteri, maka kembalilah dan insafilah.

Bina semula kebahagiaan dan berusahalah mendapatkan kepercayaan. Kembalilah kepada isteri dan anak-anakmu…

 

 

Sumber: KidSpot.com.au

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Kenapa Suami Mudah Curang Ketika Isteri Sedang Mengandung?

Penulis

Noor