Suami isteri bergaduh teruk hingga meninggalkan kesan pada si isteri
Tempoh hari, kita digemparkan dengan berita seorang wanita bernama Evy membunuh diri dengan 3 anaknya selepas mengalami depresi akibat pengabaian suami sendiri.
Walaupun tindakan Evy itu salah, namun, ia menunjukkan satu sisi lagi di mana kesannya apabila suami isteri bergaduh teruk, dan suami “angkat kaki” meninggalkan isteri selepas pergaduhan terjadi.
Itulah yang selalu berlaku dalam rumah tangga kebanyakan rakyat Malaysia. Suami isteri kalau bergaduh, atau isteri membebel-bebel sekejap, pasti si suami akan “angkat kaki” keluar rumah.
Alasannya malas nak mendengar isteri membebel. Tapi tahukah anda mengapa isteri tersebut membebel?
Ambil pengajaran dari kisah ini, yang diceritakan semula oleh seorang wanita yang mengalami kemurungan lepas bersalin, dan diabaikan oleh suaminya.
Apabila suami isteri bergaduh teruk, suami janganlah meninggalkan isteri tersebut
***
“Aku terbaca kisah ngeri yang berlaku pada tahun 2017 di New York tempoh hari. Kisah itu mungkin boleh terjadi pada aku. Sebab itu aku faham tindakan yang dilakukan Evy. Di New York 2 tahun lepas, seorang anak kecil 2 tahun ditinggalkan tanpa pengawasan selepas ibunya membunuh diri. Semuanya gara-gara menahan depresi yang disimpan.
Sama juga seperti aku. Depresi ini makin teruk kerana suami aku tak pernah fikir kemurungan itu satu “penyakit” yang boleh menyerang mana-mana wanita selepas bersalin. Katanya, aku tak pandai jaga diri, tak pandai jaga anak, dan aku dirasuk syaitan. Kemurungan aku makin teruk apabila suami sering angkat kaki setiap kali kami bergaduh, atau ketika aku memerlukan bantuannya. Nasib baiklah aku mendapatkan rawatan dengan segera. Aku berjumpa pakar, dan aku memaksa pakar tersebut menjelaskan segala-galanya pada suamiku. Akhirnya, suamiku faham situasi yang aku hadapi — kemurungan atau meroyan selepas bersalin ini. Sejak itu, dia tidak pernah angkat kaki selepas kami bergaduh. Setiap kali lepas kami bergaduh, dia akan meminta maaf. Atau aku sendiri yang akan meminta maaf atas kesilapanku. Selepas beberapa kali berjumpa pakar juga, suamiku makin bersabar, lebih baik, lembut, hangat dan memahami.”
Apabila suami isteri bergaduh, “angkat kaki” bukan jalan penyelesaiannya
“Sebenarnya, apa yang aku dan suamiku belajar selepas berjumpa pakar adalah, kisah ibu yang membunuh diri gara-gara kemurungan dan tekanan memang banyak berlaku. Sebab itu, masyarakat harus dididik tentang depresi ataupun kemurungan lepas bersalin. Aku juga mengaku di hadapan suamiku, yang selepas kami bergaduh, aku juga pernah terfikir untuk membunuh diri dengan anak kami. Nasib baiklah ia tidak terjadi. Aku hanya ingin menegaskan — Wanita ini juga seorang manusia. Kami tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Kami tidak terlepas dari berasa tertekan. K ami bukan mengalami kemurungan kerana tidak pandai menjaga diri sendiri. Kami inginkan sokongan suami kami. Di mana anda ketika kami amat memerlukannya? Janganlah tinggalkan isteri setiap kali kita bergaduh.
Setiap pasangan suami isteri pasti tidak akan terlepas dari bergaduh. Sama ada kerana faktor kewangan, anak-anak, ataupun sebab stress yang bertambah. Tapi ini bukan bermaksud kalian saling benci-membenci. Jadi, janganlah bertindak seolah-olah anda tidak percaya lagi dengan perkahwinan suci yang dibina itu. Walaupun nampak kuat di luar, tapi sebenarnya, hati wanita ini sungguh rapuh. Dia mungkin boleh menahan sakit sepanjang 9 bulan kehamilan, atau ketika proses bersalin. Tapi, dia tidak kuat jika suami yang dia sayang menyakiti dirinya. Sanggupkah anda meninggalkan seorang ibu yang terluka bersama-sama dengan anak anda?”
***
Suami isteri bergaduh: Jangan malu untuk berjumpa pakar
Semoga perkongsian dari wanita dan ibu ini mampu membuka mata ramai suami di luar sana untuk lebih bijak menghadapi pergaduhan dalam rumah tangga, malah tidak leka untuk memberi sokongan pada isteri masing-masing.
Lebih-lebih lagi jika isteri baru lepas bersalin. Fahamilah — mereka sebenarnya amat tertekan, dan mereka memerlukan bantuan dari suami tercinta. Tolonglah mereka.
Artikel ini asalnya ditulis oleh Adisty Titania, dan mendapat kebenaran theAsianparent Indonesia untuk diterjemah
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comisteri-tertekan-bawa-jalan/