Kebelakangan ini, masyarakat Malaysia disajikan dengan pelbagai kes perceraian dalam perkahwinan disebabkan oleh suami poligami. Tidak kiralah melibatkan manusia biasa, artis, selebriti mahupun ahli agama.
Sedarkah anda bahawa poligami yang sering menjadi tular dalam media sosial dilakukan di luar negara seperti Songkhla, Thailand? Antara sebab keadaan ini terjadi adalah kerana si suami ingin merahsiakan perkahwinan kedua daripada pengetahuan isteri pertama atau tidak dapat memenuhi tuntutan oleh undang-undang syariah untuk berkahwin lain.
Suami poligami dibenarkan dalam Islam, tidak semua negara membenarkannya
Kebanyakan masyarakat di negara ini menyokong poligami suami isteri dan menolak sebarang penolakan terhadap poligami kerana ia sememangnya dibenarkan dalam agama Islam.
Namun, tahukah bahawa tidak semua negara Islam membenarkan kehidupan bermadu? Ada sesetengah negara di dunia ini telah mengharamkannya secara mutlak dan menyusahkan proses poligami (meletakkan pelbagai syarat untuk si lelaki). Antara negara yang mengharamkannya ialah:
#1. Syria
Antara negara yang mengharamkan suami berpoligami adalah Syria. Negara ini terkenal dengan wanita cantik jelitawan, namun menolak poligami secara mutlak. Sesiapa yang berhasrat poligami, akan dijatuhkan hukuman penjara.
Undang-undang keluarga Syria memberikan peranan lebih besar kepada hakim di mahkamah untuk menangani amalan poligami. Hakim berhak menghalang perkahwinan kedua dan ini membuktikan Syria adalah salah satu negara Islam yang memiliki pendirian tegas terhadap isu mengahwini lebih daripada seorang wanita.
#2. Tunisia
Tunisia turut menekankan larangan perkahwinan kedua dinyatakan tidak sah. Bahkan ia lebih ketat kerana termaktub dalam Undang-Undang Keluarga Tunisia yang memperuntukkan satu tahun penjara dan denda.
#3. Turki
Undang-undang keluarga Turki turut tidak membenarkan seorang lelaki mengamalkan poligami. Namun si suami hanya boleh berkahwin semula sekiranya dia kehilangan isteri akibat meninggal dunia atau bercerai.
Para ulama di negera ini beranggapan keputusan untuk poligami dalam Al-quran hanya berlaku di bawah syarat-syarat khas. Tetapi bagi masyarakat Turki, keadaan sosiobudaya dan ekonomi tempatan tidak lagi dianggap realistik.
#4. Pakistan
Suami yang melakukan poligami tidak akan terbatal perkahwinannya, namun akan berdepan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga 5,000 rupee. Bagi menjalankan poligami, seseorang mestilah mendapat kebenaran dari Majlis Tahkim yang terdiri daripada wakil suami dan ketua Majlis Perpaduan Tempatan.
Manakala negara-negara di bawah ini menyukarkan proses poligami dengan meletakkan syarat mengukur kemampuan si lelaki iaitu Malaysia, Indonesia, Mesir, Iraq dan banyak lagi.
Ini adalah antara negara yang memiliki majoriti masyarakat beragama Islam. Antara syarat ditetapkan ialah si suami perlu membuktikan bahawa dia berkemampuan untuk menjalankan amanah. Jika tidak mampu melakukannya kepada mahkamah, maka dia dilarang untuk meneruskan hasrat menikah lagi.
Namun di Malaysia, seorang lelaki boleh berpoligami sekiranya:
- Isteri mandul
- Isteri mempunyai masalah dalam hubungan suami isteri
- Isteri mengalami tekanan jiwa
- Isteri tidak mahu memperbaiki kelemahan dalam perhubungan suami isteri
Manakala bagi suami pula hendaklah membuktikan kepada mahkamah bahawa mampu menyara isteri-isteri dan anak, boleh berlaku adil terhadap para isteri, perlu memastikan perkahwinan baharunya tidak menjatuhkan mana-mana martabat.
Di Iraq, lelaki yang telah melanggar syarat poligami akan dijatuhkan hukuman penjara satu tahun dan denda 100 dinar. Peranan hakim adalah sangat dominan dalam mencegah isu poligami.
Perkahwinan adalah hubungan cinta. Janganlah saluti suatu ibadah dengan penipuan dan dosa-dosa besar. Bijaklah melakukan sebarang keputusan hidup tanpa mendahului nafsu anda.
Dalam banyak kes, ramai suami yang terlepas daripada beban tanggungjawab. Ada isteri pertama yang terabai, hilang tanpa khabar berita kerana suami lebih memberi fokus kepada isteri muda.
Bukan itu sahaja, tindakan menyembunyikan poligami kebiasaannya akan berakhir dengan konflik yang lebih besar terutamanya perceraian.
Jika para suami berhasrat ingin berkahwin lagi, adalah baiknya anda berterus-terang dengan isteri dan minta pendapat lebih jelas daripada orang yang pakar. Poligami adalah satu sunnah yang perlu ada elemen kasih sayang, bukannya memutuskan silaturahim.
Sumber: ML studios, Okezone
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comsunnah-poligami