Mark Zuckerberg menimang cahaya mata kedua – August!
Mark Zuckerberg, pengasas laman web sosial gergasi dunia Facebook, mengumumkan pada Isnin lalu yang dia dan isterinya, Dr. Priscilla Chan, telah selamat menimang cahaya mata kedua.
Bayi perempuan tersebut telah diberi nama August. Ia membawa maksud “yang disayangi, yang dipandang tinggi”.
August merupakan anak kedua buat Mark dan isterinya selepas Maxima, si sulung, yang lahir pada 2015. Pada tahun tersebut, Mark telah menulis satu surat terbuka sempena kelahiran Max.
Dalam surat tersebut, beliau telah mengumumkan yang dia akan mendermakan 99% daripada stok Facebook miliknya kepada badan kebajikan.
Pada tahun ini, Mark meneruskan tradisinya sekali lagi dengan menulis lagi satu surat terbuka sempena kelahiran August.
Surat terbuka buat anak Mark Zuckerberg – Nikmatilah zaman kanak-kanakmu, anakku!
Mari kita lihat apa yang ditulis oleh bapa ini untuk anak perempuan keduanya.
—
Wahai August,
Selamat lahir ke dunia! Ibu kamu dan ayah sangat teruja untuk melihat apa yang kamu akan jadi bila dewasa nanti.
Ketika kakakmu lahir, kami menulis surat tentang dunia di mana kami harap dia dan kamu akan membesar – dunia yang dilengkapi dengan pendidikan yang lebih baik, kurang penyakit, masyarakat yang kuat dan persamaan hak.
Kami menulis dengan segala kemajuan sains dan teknologi, generasi kamu akan hidup dengan lebih baik berbanding kami, dan ayah serta ibu kamu mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan supaya ia menjadi kenyataan.
Walaupun berita selalu memfokuskan tentang apa yang tidak kena dengan dunia, kami percaya yang trend positif akan menang juga akhirnya. Kami sangat optimis tentang generasi dan masa depan kamu.
Tetapi, kali ini, berbanding bercakap tentang hal kamu membesar dewasa, ayah dan ibu mahu bercakap tentang masa kanak-kanak kamu.
Dunia boleh jadi satu tempat yang sangat serius. Sebab itulah amat penting untuk kamu meluangkan masa di luar dan bermain.
Kamu akan menjadi sibuk apabila dewasa nanti, jadi ayah harap kamu akan mencari masa untuk menghidu bau haruman bunga dan mengutip seberapa banyak daun yang kamu mahu ke dalam bakul kamu hari ini.
Ayah harap kamu akan membaca buku Dr. Seuss kegemaran kamu banyak kali sehinggakan kamu mampu untuk mereka cerita kamu sendiri tentang Vipper of Vipp.
Ayah harap kamu akan menunggang karusel dengan kakakmu, Max, sehingga kamu mampu menjinakkan setiap kuda yang berwarna itu.
Ayah harap kamu akan berlari sebanyak mana pusingan yang kamu mahu di ruang tamu dan di taman luar rumah kita.
Dan ayah juga berharap yang kamu akan tidur siang sebanyak mungkin. Ayah harap kamu akan menjadi seorang penidur yang hebat.
Dan ayah berharap yang dalam mimpi kamu itu, kamu dapat merasakan betapa mendalamnya rasa sayang kami kepada kamu.
Zaman kanak-kanak itu adalah satu masa yang penuh dengan magis. Kamu hanya akan menjadi kanak-kanak sekali sahaja, jadi jangan terlalu risaukan tentang masa depanmu.
Kamu ada kami untuk risaukan hal itu, dan kami akan melakukan apa sahaja yang kami mampu untuk memastikan dunia ini adalah tempat yang lebih baik untuk kamu dan kanak-kanak generasi kamu yang lain.
August, ayah dan ibu kamu sangat menyayangi dirimu dan kami sangat teruja untuk melalui pengembaraan ini bersamamu.
Kami mendoakan untukmu hidup yang penuh keriangan, cinta dan harapan, sama seperti yang kamu berikan kepada kami.
Yang menyayangimu,
Ibu dan Ayah.
—
Sweet, kan surat si bapa ini? Memang jelas tergambar betapa mendalamnya kasih sayang Mark buat anaknya August serta si kakak, Max.
Dengan kejayaan dan harta yang dimilikinya, Mark berazam untuk membantu menjadikan dunia ini satu tempat yang lebih baik buat kanak-kanak di seluruh dunia, melalui badan kebajikan miliknya yang bernama Chan Zuckerberg Initiative.
Bakal bercuti bersalin selama dua bulan
Beberapa hari lalu, Mark juga telah menulis di post FBnya yang dia akan bercuti selama 2 bulan.
Cuti berpantang tersebut akan dinikmatinya disebabkan oleh polisi cuti bersalin mesra keluarga yang ditetapkan oleh syarikat miliknya sendiri, Facebook Inc.
Beliau sangat teruja untuk meluangkan masa cuti bersalin tersebut bersama isteri serta anak-anaknya.
Mark bukan sahaja seorang yang berjaya dalam kerjaya, malah beliau merupakan seorang lelaki yang mementingkan keluarga dan seorang bapa yang pengasih.
Sememangnya, ada sifat lembut hati dan jiwa yang penuh rasa sayang dalam dirinya yang boleh dicontohi oleh para bapa di luar sana.
Ayah sekalian, apa pula tindakan kita hari ini bagi membina kehidupan dan dunia yang lebih baik buat anak-anak kita?
Mari lakukan sesuatu, walau sekecil mana pun ia!
Kami di theAsianparent mengucapkan tahniah pada Mark Zuckerberg di atas kelahiran cahaya mata keduanya itu.
Mari sama-sama kita mengubah dunia dengan mencurahkan segala bakti dan nilai positif bersama!
Sumber: FB Mark Zuckerberg dan Thestar.com
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Pengasas Facebook Mark Zuckerberg Tegaskan Betapa Penting Cuti Bersalin Untuk Bapa