“Me time” untuk para ibu dan isteri yang hebat
Sebuah pernikahan yang bahagia boleh dicapai dengan perkara yang mudah.
Contohnya, dengan memahami bahawa tiada salahnya untuk memberikan peluang kepada para ibu yang memerlukan sedikit me time dengan mengizinkannya mereka pergi berehat dan bercuti tanpa si suami ikut bersama.
Sayangnya, tak semua suami memahami tentang perkara ini. Sehinggakan ramai ibu-ibu yang menjadi suri rumah serta ibu yang bekerja mengalami tekanan perasaan kerana hampir tiada waktu untuk dirinya sendiri.
Seorang bapa dari Indonesia, Topan Pramukti, ada menulis tentang isterinya untuk pergi bercuti dan berehat.
Walaupun surat itu ditujukan kepada anaknya yang masih kecil bernama Sujiwo, surat itu sangat relevan untuk dibaca oleh para ayah lain.
Ia adalah supaya para ayah yang lain juga dapat menyedari bahawa tiada salahnya untuk memberikan kelonggaran kepada ibu yang ingin bercuti untuk menikmati waktu demi membahagiakan dirinya sendiri.
Inilah tulisan perkongsian seorang ayah yang dipanggil Topan tentang isterinya yang tercinta, Pungky Prayitno di laman webnya.
Jiwo, ini ayah. Ketika ayah menulis surat ini – ibu sedang berkemas, dia akan pergi berjalan ke luar kota, sendirian. Ini perjalanan ketiga yang dia lakukan bulan ini. Ayah membiarkannya, meskipun ayah tahu, menguruskan kamu tanpanya bukanlah perkara yang mudah. Kenapa? Kerana bagi ayah, membuatnya bahagia adalah membuat keluarga kita selalu bahagia. Tiga tahun lalu, ayah pernah buntu, ibu mengalami Post Partum Depression. Tekanan yang membuatkan ibu kamu kerap menangis dan menjerit tanpa alasan. Tekanan perasaan yang nyaris menghancurkan keutuhan keluarga kita, sekiranya Gusti tidak langsung membantu. Kenapa ayah buntu? Sebab dulu ayah membiarkan dia menjadi seorang ibu, tanpa mengizinkannya untuk menjadi dirinya sendiri. Ibu kamu itu suka melancong, berjalan-jalan. Selain menulis, cara dia berbahagia adalah dengan menaiki kereta api, berjalan jauh dan berehat bersendirian. Ayah tidak mahu, kehadiran ayah dan kamu dalam hidupnya, membuat dia kehilangan semua itu. Meskipun sudah jadi ibu, dia tetap berhak melakukan apa yang baginya menggembirakan. Ayah tidak mahu, status pernikahan yang ayah beri padanya, membuatkan dia terkurung dan tersekat. Bagi ayah, pernikahan dan rumah tangga adalah kerjasama. Kerjasama untuk sama-sama bahagia. Kita bertiga adalah satu pasukan, dalam rangka menyelesaikan misi seumur hidup, menjadi keluarga yang utuh dan mesra selamanya. Kalau akhirnya ibu terpaksa mengikat kakinya pada rumah tangga ini, tanpa dapat melakukan perkara bahagia yang dia suka, ayah akan berasa gagal menjadi pemimpin pasukan. Selagi mana me time ibu tidak mengganggu keadaan keluarga kita, tidak juga membuatkan kamu kehilangan kasih ibu, ayah akan memberi restu dengan hati terbuka. Dia boleh pergi ke mana pun dia mahu, melakukan apa sahaja yang dia suka, ayah persilakan ibumu untuk menempuh cara bahagia yang dia pilih. Ibu, juga kamu, adalah anggota pasukan yang merdeka. Jiwo, Dalam setahun, ayah ada 12 hari cuti. Ditambah cuti seminggu sekali, ayah ada waktu bercuti 60 hari dalam setahun. Itu kerana ayah bekerja di pejabat, dan pejabat ayah tidak meminta pekerjanya bekerja setiap hari. Di waktu cuti itu, ayah bebas untuk berbuat apa saja. Ayah boleh pergi bermain, tidur seharian dengan Jiwo, atau jalan-jalan naik kereta. Tapi ia berbeza dengan ibu. Menjadi isteri dan ibu dalam rumah tangga itu tidak ada cutinya. Kamu harus dijaga dan diurus 24 jam setiap hari, seminggu penuh. Kalau salah seorang dari kita sakit, ibulah yang akan menjadi doktor dan tukang urut. Ibu jugalah yang menjadi nurse, jadi tukang sapu, jadi tukang masak, jadi tukang cuci, jadi semuanya untuk kita. Jadi sesekali, ayah beri dia cuti. Bercuti dan bebas dari urusan keluarga. Meluangkan masa dengan dirinya sendiri, kalau perlu ayah beri duit poket kalau ayah ada rezeki lebih. Sama ada bertemu dan bersembang dengan rakan di kafe, menghabiskan masa di salon, atau berjalan di bandar berhari-hari secara bersendirian. Ayah percaya, kebahagiaan dia adalah kebahagiaan keluarga kita. Kerana kalau salah seorang anggota pasukan tidak bahagia, bagaimana mungkin kita boleh berkerjasama menyelesaikan misi selamanya untuk utuh dan mesra, kan? Jiwo, Kamu jangan risau, kalau ibu pergi bercuti bersendirian, kamu ada bersama ayah.
Berikan “Me-Time” pada ibu umpama membina satu pasukan
Menurut Topan, jumlah hari bercuti seorang ibu tak dapat dihitung secara matematik seperti caranya pekerja pejabat kerana hari-harinya yang sangat dinamik.
Jadi, sebagai suami dan ayah, dia selalu berusaha untuk memberi keizinan kepada isteri yang ingin menikmati waktu me time atau sekadar berjumpa dengan rakan-rakannya.
“Malah, isteri saya turut sedar tentang tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri,” katanya sewaktu dihubungi oleh theAsianparent Indonesia.
Dia menyedari bahwa kebahagiaan isteri adalah kebahagiaan keluarga. Kerana dia pernah mengalami saat sukar ketika menemani isterinya yang mengalami Post Partum Depression (PPD).
Topan juga berkongsi pengalamannya menemani isteri yang mengalami PPD di blognya supaya para suami membaca dan membantu isterinya menempuhi saat sukar selepas bersalin.
Topan menyedari bahawa tak semua orang tahu ciri-ciri ibu yang mengalami PPD.
“Menghadapi isteri yang mengalami PPD menjadi mudah dengan dua perkara: Belajar dan Empati. Saya banyak belajar tentang PPD dan bertanya pada rakan yang belajar psikologi. Tapi yang paling penting adalah empatinya,” katanya lagi.
Supaya dapat menghadapi semua ini, dia juga sempat berkongsi masalah dengan rakan supaya dia juga tidak berasa tertekan, “kalau tidak melakukan itu, susah hendak sabar menghadapi isteri.”
Kerjasama dan saling mengerti antara suami isteri akan membuat rumah tangga bahagia.
Jika ditanya berapa pentingkah isteri bercuti demi menjaga kesihatan mental dan psikologi, kaunselor perkahwinan pasti akan memberikan jawapan tegas, “Penting. Sangat penting!”
Tulisan ini pada mulanya dikongsikan dalam laman web peribadi yang ditulis secara bersama oleh pasangan suami istri Topan-Pungky yang mempunyai hobi dan karier menulis.
Dalam laman web ini, anda boleh membaca cerita tentang kehidupan dan pemikiran mereka tentang banyak perkara, terutamanya tentang anak mereka, Sujiwo Arkadievich.
Sila kunjungi blog mereka di www.sujiwo.com.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Meroyan Selepas Bersalin/ Postpartum Depression: Punca, Tanda Kemurungan & Rawatan