"Buat abang, suamiku yang tersayang, terima kasih untuk segalanya..."

Kadang, kita lupa ucap terima kasih pada suami atas semua pengorbanan mereka sebab kita sibuk. Baca surat untuk suami tersayang ini agar anda sedar betapa suami juga banyak berkorban.

Surat untuk suami tersayang

Buat suamiku yang tersayang,

Sengaja saya tulis surat untuk suami tersayang ini kerana saya ada sesuatu yang ingin dikatakan kepada awak. Satu malam, selepas selesai bagi anak-anak tidur, saya terduduk kepenatan di sofa. Saya mengeluh. 

Satu hari ini saya asyik berdiri, tak sempat nak duduk pun. Berlari ke sana sini menguruskan anak-anak. Dan saya sangat penat, suamiku. 

Sangat penat sampai saya tak perasan yang awak belai rambut saya lembut ketika awak nak ke dapur tadi. Saya sangat penat sampai saya tak senyum balik pun dekat awak ketika awak bawa balik teh hijau kegemaran saya. 

Kredit: Huffington Post

Ketika saya nak tertidur, ada sesuatu yang mengganggu fikiran saya. Dan benda itu asyik melekat dalam otak saya. Sejak saya jadi seorang ibu, jarang saya sebut "terima kasih" pada awak.

Ucapan terima kasih kerana bekerja keras untuk bela saya dan anak-anak kita. Ucapan terima kasih kerana menjalankan tugas awak sebagai bapa terbaik. 

Jadi, di sini saya nak ucapnya. Terima kasih, suamiku tersayang. 

Surat untuk suami tersayang - terima kasih untuk segala-galanya, abang!

Terima kasih kerana bagi saya berehat sekejap pada hujung minggu. Bila saya bangun tidur, awak sudah bagi anak-anak makan, mandi dan masakan awak sedap sekali! Anak-anak pun puji masakan bapa mereka.

Kredit: Huffington Post

Terima kasih sebab awak penat-penat balik dari kerja dan dengar saya membebel tentang semua perkara. Walaupun awak tak perlu tahu secara terperinci bagaimana anak kecil kita muntah tadi, tapi awak tetap dengar semua cerita saya. 

Terima kasih kerana tahu kadang-kadang betapa saya stres nak uruskan anak dan kemas rumah dalam masa yang sama. Geram betul saya waktu saya hantar anak ke sekolah semalam, ada kereta follow saya dari belakang rapat sangat!

Terima kasih sebab urut badan saya yang sakit semalam. Awak tak tahu betapa saya sangat memerlukan urutan yang boleh melegakan rasa sakit ini. 

Kadang-kadang apabila saya membebel dan marah-marah, saya selalu lupa yang awak juga bangun awal pagi nak ke tempat kerja. Awak juga sibuk ambil tahu tentang anak-anak. 

Malah, awak mungkin bekerja lebih keras berbanding saya! Lepas awak balik kerja, cepat-cepat awak makan dan mandi semata-mata sebab nak bersembang dengan saya dan anak-anak. 

Surat untuk suami tersayang yang amat istimewa dalam keluarga ini

Awak tak pernah halang saya nak keluar, atau nak balik ke rumah mak saya di kampung. Kadang-kadang saya fikir, bertuah sungguh saya dapat awak sebagai suami!

Terima kasih kerana awak sanggup dengar segala arahan saya tentang "bagaimana nak jaga anak-anak kita" setiap hari. Kadang-kadang mungkin 2 kali sehari. 

Dan awak tak pernah call saya merungut-rungut kata awak melalui hari yang teruk dekat pejabat. Atau ketika awak kena layan si kecil kita mengamuk ketika awak tengah on call dengan bos. 

Awak hanya akan call saya untuk pastikan saya okay. Jadi, terima kasih sayang. 

Awak selalu cakap pada anak-anak, mereka bertuah sebab ada ibu seperti saya. Tapi saya juga sepatutnya cakap pada anak-anak, mereka juga bertuah sebab ada bapa seperti awak. Sangat bertuah!

Jadi sayang, terima kasih untuk segala-galanya,

Ikhlas dari isteri yang menyayangimu. 

Bila kali terakhir anda mengucapkan terima kasih pada suami anda? Mari sama-sama kita menunjukkan penghargaan kita pada mereka pula. Mereka juga berusaha keras untuk jadi suami dan bapa terbaik buat kita sekeluarga. 

 

 

Artikel disumbang oleh theAsianparent Singapore

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Penulis

Ayu Idris