Susu Kambing Sesuai Sebagai Pengganti Susu Ibu. Mitos Atau Fakta?

Apakah kebaikan dan keburukannya susu kambing untuk bayi dan adakah ia selamat dan sesuai untuk bayi lingkungan usia 1 tahun, sebagai pengganti susu ibu?

Susu kambing untuk bayi kini semakin mendapat perhatian ibu bapa terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak dengan alahan.

Apakah kebaikan dan keburukannya dan adakah ia selamat dan sesuai untuk bayi lingkungan usia 1 tahun, sebagai pengganti susu ibu? Mari kita tengok.

Kebaikan susu kambing untuk bayi

foto kredit : Elly Anaille

Lebih senang untuk dihadamkan – Gumpalan protein yang terhasil dari tindakan asid perut pada protein susu dipanggil dadih susu. Semakin lembut dadih susu, semakin cepat ia boleh dihadamkan.

Protein susu kambing menghasilkan dadih susu yang lebih lembut dari susu lembu, dan menjadikannya lebih mudah untuk dihadamkan.

Globul lemak dalam susu kambing juga lebih mudah untuk dihadamkan oleh enzim usus kerana ia mengandungi kadar asid lemak rantai pendek dan sederhana yang lebih tinggi.

Susu lembu mengandungi lebih banyak asid lemak rantai panjang dimana usus perlu bekerja lebih keras mencernakannya.

Kurang protein alahan – Hanya sedikit protein alahan alpha-S1 casein dapat dikesan dalam susu kambing berbanding dengan susu lembu.

Kurang laktosa – Kandungan laktosa dalam susu kambing adalah kurang (4.1 peratus berbanding 4.7 peratus dalam susu lembu).

Ini mungkin boleh memberi sedikit kelebihan untuk bayi dengan tidak toleran terhadap laktosa, tetapi ada yang masih boleh mengalami simptom alahan.

Keburukan susu kambing untuk bayi

Nilai nutrien untuk susu kambing. Foto kredit : NAFIS

Sodium yang tinggi – Kandungan sodium, klorida dan kalium yang tinggi, boleh menyebabkan buah pinggang bayi bekerja dengan lebih kuat.

Kekurungan asid folik – Ini boleh menyebabkan pendarahan usus dan masalah anemia megaloblastic

Alahan – Bayi yang mempunyai alahan protein susu juga boleh mempunyai alahan protein susu kambing.

Baca tentang:  

Makanan Yang Dilarang Untuk Bayi Dibawah Umur 1 Tahun

Elakkan Jus Buah-Buahan Untuk Bayi Sehingga Umur 1 Tahun, Kata AAP

Nutrien yang tidak mencukupi – Mengikut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (U.S. Department of Agriculture), ia kekurangan zat besi, folate, vitamin C/D/B, thiamin, niacin dan asid pantothenic.

Kecuali jika ia diperkaya dengan zat dan nutrien tambahan, formula susu kambing tidak akan memenuhi keperluan nutrisi bayi.

Ia juga dikhuatiri boleh “membebankan” buah pinggang bayi kerana kandungan nutrien tertentu yang tidak sesuai (renal solute load). 

Keadaan berasid – Susu kambing juga dipercayai boleh mengakibatkan keadaan berasid (metabolic acidosis) yang kadangkala boleh membahayakan bayi berusia satu bulan.

Kesimpulan – Adakah susu kambing elok untuk bayi?

Menurut Akademi Pediatrik Amerika (AAP), susu kambing tidak disyorkan untuk bayi lingkungan umur 1 tahun.

Ini kerana unsur nutrisi dalam susu kambing tidak menepati keperluan bayi.  

Walau bagaimanapun, jika anda memilih untuk memberi susu kambing selepas anak anda berusia lebih dari 1 tahun, pastikan anak makan makanan lain yang tinggi dengan folat seperti sayuran berdaun hijau, buah dan bijirin yang diperkaya dengan asid folik. 

Menurut Dr. Zubaidi:

“Susu kambing” kekal sebagai sebahagian dari makanan “sunnah” Rasulullah SAW. Meskipun susu kambing mempunyai manfaatnya; kajian terkini menunjukkan ia tidak sesuai untuk bayi dibawah 1 tahun dan lebih menguntungkan orang dewasa. Jika kita memperhalusi sirah sejarah baginda Rasulullah SAW, baginda turut disusu ibu oleh ibu susuan sehingga berusia 2 tahun, lantas menunjukkan kepentingan penyusuan ibu dan segala kebaikan dari penyusuan ibu (mengatasi segala jenis susu dan formula di dunia).

Tidak dapat disangkal lagi, susu ibu masih lagi susu terbaik untuk bayi dibawah 1 tahun.

Namun jika ibu tidak dapat menyusukan bayi secara eksklusif, susu formula lembu yang diperkaya dengan zat besi lebih disyorkan untuk menggantikan susu ibu.

Ibu bapa dengan bayi yang mempunyai alahan atau intoleransi terhadap susu lembu, dinasihati untuk berjumpa dengan pakar kanak-kanak sebelum membuat keputusan jenis susu yang diberikan.

Doktor boleh menasihatkan formula yang sesuai untuk anak dan memantau tindak balas anak terhadap susu gantian.

Sumber: Parenting.com, Dr. Zubaidi, Livestrong, Women’s and Childen’s Health Network

Baca juga:

Ruam Antara Tanda Bayi Alami Alahan Susu Formula, Boleh Datangkan Bahaya Jika Tidak Dirawat

Penulis

Rosanna Chio