Terdapat banyak jenis susu untuk anak di pasaran – dari susu formula, ke susu sejat, hingga ke susu lembu yang segar.
Kadang-kadang, ibu bapa baru boleh keliru ketika memilih susu yang terbaik untuk anak mereka.
Susu sangat penting untuk bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar kerana mereka dapat memperolehi lebih banyak nutrien darinya.
Susu kaya dengan protein, kalsium, vitamin D, fosforus dan lemak yang menyumbang kepada perkembangan anak.
Panduan susu untuk anak mengikut umur
Apabila memilih susu untuk anak yang paling baik, kita perlu lihat umur mereka dulu kerana tidak semua susu sesuai buat semua peringkat umur.
Jom semak panduan di bawah ini supaya menjadi panduan susu apa yang sesuai buat anak anda:
Bayi di bawah 1 tahun:
Untuk bayi di bawah 1 tahun, hanya susu ibu dan susu formula saja yang boleh diberikan. Ini kerana usus bayi masih dalam proses pembentukan yang sempurna. Jadi ia masih fragile, sebab itu air masak pun boleh membahayakan bayi.
Boleh ke bayi minum susu lembu? Jawapannya tidak. Ini kerana pada usia ini, perut mereka masih belum dapat menghadamkan susu lembu.
Tapi produk tenusu seperti yogurt dan keju boleh diberi kepada bayi selepas mereka berusia 6 bulan.
Yogurt juga pilihan bagus untuk anak kerana ia mempunyai bakteria yang baik untuk sistem pencernaan mereka.
Kanak-kanak 1 tahun:
Mengikut petua lama, kanak-kanak kecil selalu diberi susu penuh krim disebabkan kandungan lemaknya yang tinggi. Lemak susu ini dikatakan boleh membantu perkembangan dan meningkatkan berat badan anak.
Namun, pakar mendapati ini sebenarnya tidak perlu. Kanak-kanak berusia 1 tahun tidak perlu minum susu penuh krim jika mereka sudah dapat cukup lemak dari sumber makanan lain.
Pakar juga berpendapat kanak-kanak tidak seharusnya diberi terlalu banyak makanan berminyak atau makanan yang berkolesterol tinggi kerana ini menyebabkan mereka jadi obes apabila besar nanti.
Jadi susu lemak rendah sebenarnya selamat dan baik untuk kanak-kanak berusia 1 tahun. Dengan cara ini kanak-kanak masih boleh memperolehi nutrien dari susu tanpa lemak tambahan.
Ini juga untuk membiasakan mereka dengan rasa susu rendah lemak dari awal. Tapi ini tidak bermaksud ibu bapa tidak boleh memberi susu penuh krim.
Jika anak mempunyai berat badan yang sihat dan keluarga anda tidak mempunyai sejarah obesiti, masalah jantung, masalah darah tinggi atau kolesterol, susu penuh krim pun okay sahaja.
Yang pasti, kanak-kanak mendapat nutrien yang penting dalam susu. Tapi sekiranya kanak-kanak memang bukan penggemar susu, jangan risau, anda boleh mula berikan makanan pejal yang penuh khasiat apabila anak mulai berusia 1 tahun.
Kanak-kanak 2 tahun dan ke atas:
Untuk kanak-kanak lebih dari usia 2 tahun, kita perlu tengok dulu diet kanak-kanak itu.
Beza antara susu rendah lemak dan susu penuh krim ialah kandungan lemak dan kalori di dalamnya.
Jika ibu bapa rasa anak tidak mendapat banyak kalori dari makanan, berikan mereka susu penuh krim bagi memastikan dia mendapat keperluan lemak harian yang secukupnya.
Tetapi jika mereka mempunyai selera makan yang baik, atau berbadan besar, susu untuk anak yang lebih sesuai adalah susu rendah lemak.
Dengan ini mereka masih boleh mendapat semua nutrien baik dari susu tanpa lemak dan kalori tambahan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda!
Sumber: whattoexpect.com, today.com
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia
Baca juga: 5 Perkara Mengenai Susu Anak Yang Ibu Ayah Perlu Tahu