Luluh hati membaca segala kenangan dan ingatan tentang Mohd Syahid yang dikongsikan ramai orang di Facebook tempoh hari. Mohd Syahid telah maut kerana kanser limfoma. Ikuti kisahnya.
Syahid adalah anak sulung kepada Bazli Hazwan, salah seorang anggota kumpulan nasyid UNIC.
Januari lalu, Mohd Syahid disahkan menghidap kanser limfoma atau kanser kalenjar tahap tiga.
Nama “bintang syurga” itu sinonim dengan anak istimewa ini kerana Bazli, telah menulis sebuah lagu bertajuk “Bintang Syurga” untuk beliau.
Lagu ini diharapkan menjadi doa dan kata semangat kepada anak yang tercinta.
Anak bijak yang diasuh dengan sempurna
Kecerdikan dan kehebatan bintang syurga ini telah menyerlah sejak kecil lagi. Dididik oleh ayah dan ibunya, Asiah Abu Bakar, Syahid gemar mendengar surah-surah al-Quran.
www.facebook.com/bazlihazwan/videos/10155284440348604/
Beliau celik hati dengan ayat-ayat al-Quran yang sering dibaca oleh ayahnya ketika beliau sakit dan dirawat di hospital.
Ketika berusia 6 bulan, Syahid sudah mahu mengikut rentak ayahnya solat! Bijak, bukan?
Syahid juga telah didedahkan dengan seni taranum sejak kecil. Lihat video di bawah bagaimana beliau gembira apabila mendengar taranum yang dibaca.
www.facebook.com/bazlihazwan/videos/10152447676188604/
Tapi, bilakah bintang syurga ini mula sakit?
Syahid menghidap autisma sebelum disahkan menghidap kanser limfoma tahap 3
Menurut post di akaun Facebook nukilan agen takaful, Shakir Abdul Ghafar merangkap kawan baik Bazli, pada penghujung bulan September 2016, Syahid telah dikenalpasti menghidap penyakit “mild autism“.
Akibatnya, beliau tidak mampu untuk berkomunikasi dengan baik. Atas sebab itu, Syahid sukar untuk meluahkan rasa sakit yang dirasainya.
Kemudian, pada bulan Disember tahun yang sama, beliau kerap kali demam dan sering sakit leher. Syahid mendapat rawatan awal di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
Doktor telah mengesan terdapat benjolan pada bahagian leher Syahid. Menurut pakar, bonjolan tersebut hanyalah beguk dan Syahid diberi rawatan biasa.
Ketika di hospital, demam kerapkali menyerang Syahid setiap 4 jam. Suhu mencecah sehingga 41° Celcius!
Syahid kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh. Di sana, pihak pakar telah menemui satu lagi bonjolan di bawah ketiak Syahid.
Pihak hospital mengesyaki Syahid menghidap kanser. Kes beliau kemudian dirujuk oleh Hospital Kuala Lumpur.
Pada bulan Februari 2017, doktor mengesahkan Syahid menghidap penyakit kanser limfoma tahap 3. Atas saranan doktor pakar, Syahid menjalani rawatan kimoterapi.
Namun, akibat rawatan tersebut – Syahid kerapkali mengalami ulser di bahagian mulut, rambut keguguran, kulit menjadi gelap dan kusam, malah ada kesan lecuran di badan.
Akan tetapi, semua rawatan tidak berjaya menyelamatkan bintang syurga ini. Syahid kembali ke rahmatullah pada tanggal 7 Jun 2017.
Apa itu kanser limfoma?
Kanser limfoma adalah sejenis kanser darah yang melibatkan sel-sel sistem imun, dikenali sebagai limfosit.
Terdapat pelbagai jenis kanser limfoma, namun antara 2 yang paling terkenal adalah kanser limfoma Hodgkin (juga dikenali sebagai penyakit Hodgkin) dan limfoma bukan Hodgkin (atau NHL).
Kanser ini akan menjejaskan sel-sel dalam sistem imun dan dalam sistem limfa badan.
Sistem limfa terdiri daripada saluran yang membawa cecair (dikenali sebagai limfa). Limfa mengandungi sel-sel darah putih (limfosit) yang hadir dalam darah dan tisu badan.
Jika kanser berlaku, sel-sel akan membesar tanpa kawalan dan limfosit akan menyerang pelbagai agen jangkitan lalu mengakibatkan pelbagai bengkak seperti di bahagian nodus limfa. Akibatnya, tumor terbentuk.
Tanda-tanda kanser limfoma pada kanak-kanak
Kanser limfoma boleh menyebabkan pelbagai tanda-tanda berbeza. Semuanya bergantung kepada kedudukan kanser di dalam badan.
Antara tanda-tanda biasa yang sering kelihatan adalah:
- Nodus limfa semakin membesar (bengkak seperti ketulan di dalam kulit, di bahagian leher, di bawah ketiak, di atas tulang selengka atau di bahagian pangkal paha)
- Bengkak di bahagian perut (jika limfoma dalam perut, ia akan menekan perut lalu membengkak di bahagian usus, menyukarkan pembuangan air besar
- Mudah rasa kenyang walaupun hanya makan dengan sedikit
- Sesak nafas atau batuk
- Demam
- Turun berat badan
- Berpeluh-peluh pada waktu malam
- Sering keletihan
Jika limfoma sudah merebak di seluruh badan, penghasilan sel darah putih akan menurun. Akibatnya, kanak-kanak akan mengalami:
- Jangkitan yang teruk dan kerap
- Mudah lebam dan berdarah
- Kerap keletihan dan pucat
Semoga Syahid ditempatkan di sisi Tuhan dan tenang di sana.
Ibu bapa semua, ada 15 tanda-tanda kanser lain yang sering kita abaikan! Jom ketahui apakah 15 tanda-tanda tersebut.
Baca juga: Surat Menyayat Hati Seorang Ibu tentang Anaknya yang Meninggal Akibat Kanser
Kredit gambar: Instagram UNIC Official
Sumber rujukan: MStar, Facebook Shakir Abdul Ghafar, Bazli Hazwan, Asiah Abu Bakar, Muhammad Shahid Bazli Hazwan, E-Medicine Health, American Cancer Society, dan Med Tour Advisor.