Gempar baru-baru ini dengan cadangan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk mewujudkan Tabika Elit, dan ia mendapat perhatian netizen dan ahli politik yang cukup mementingkan sistem pembelajaran Malaysia iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati dengan sistem pembelajaran yang tidak pasti tujuannya itu. Malah bagi ahli politik muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dia juga menyatakan bahawa dia tidak bersetuju untuk kewujudan kasta pendidikan baru di laman Facebooknya baru-baru ini.
Ini antara coretan Syed Saddiq:
Fokus pendidikan negara sepatutnya untuk meningkatkan kualiti pendidikan, bukannya menambah jurang pendidikan.
Saya ingin mengulas cadangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang mencadangkan Tabika Elit untuk diwujudkan. Tujuannya saya tidak pasti, tetapi saya anggap ia adalah Tabika yang mempunyai tenaga pengajar yang pakar, modul belajar yang intensif dan sebagainya.
Soalnya, mengapa KPLB tidak melaksanakan sistem “Tabika Elit” ini di dalam seluruh operasi Tabika KEMAS? Mengapa perlu wujud kasta pendidikan baru?
Mengapa kelebihan pendidikan ini hanya layak dinikmati oleh keluarga yang berpendapatan besar?
Adakah KPLB juga mencadangkan bahawa, “Jika keluarga kanak-kanak itu dari kumpulan yang susah, maka biarlah mereka belajar dengan kualiti pendidikan yang sederhana sahaja?”
Pendidikan sepatutnya menjadi hak setiap kanak-kanak. Lebih-lebih lagi jika pendidikan itu disediakan oleh pihak kerajaan, maka amalan diskriminasi pendidikan dan melayan kumpulan tertentu lebih baik dari yang lain mesti ditolak jauh-jauh.
Saya juga melihat kajian yang dilakukan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Jelas ia menunjukkan kualiti pendidikan awal yang akan menentukan progres pendidikan kanak-kanak dalam jangka masa panjang.
Kalau dari awal kita dah membezakan anak-anak kita, proses pembelajaran sekumpulan kanak-kanak akan terbantut berbanding dengan sekumpulan yang lain.
Sebab itu saya cadangkan, daripada melabur jutaan ringgit untuk projek perintis Tabika Elit, lebih baik salurkan dana ini untuk menaiktaraf kualiti Tabika Kemas sedia ada.
Semua kanak-kanak akan dapat manfaat, sistem pendidikan negara juga akan bertambah baik untuk semua.
Malaysia perlu beri hak sama rata dalam pendidikan awal kepada kanak-kanak.
5 perkara ibu bapa perlu fikir sebelum pilih tadika anak
Selain faktor yuran dan lokasi ada beberapa aspek penting yang perlu diambil kira dalam pemilihan tadikan atau taska anak. Ia sedikit sebanyak memberi gambaran adakah berbaloi anda menghantar mereka ke sana nanti.
#1. Kenalpasti perkara asas
Sebelum anda pergi lebih jauh, perkara asas ini paling penting dalam memilih tadika anak. Ia termasuklah lokasi tadika adakah anda perlu ia dekat dengan rumah atau dekat dengan tempat kerja? Selain itu, adakah tadika berkenaan menyediakan khidmat penjagaan selepas waktu sekolah iaitu dari tengah hari ke petang jika anda bekerja.
Anda juga perlu memikirkan berapakah jumlah maksimum yang mampu dibayar setiap bulan. Perkara asas seperti ini yang perlu ibu dan bapa ambil perhatian sebelum membuat pilihan tadika anak.
#2. Kurikulum seimbang
Ada tadika yang menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) yang mana silibus yang diajar mengikut kepada garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia. Ada pula yang lain menekankan konsep montessori yang mana kaedah pembelajarannya bertumpu kepada keperluan perkembangan penting kanak-kanak.
Sebaiknya, cari sekolah yang mempunyai program-program sosial. Anak perlu diajar untuk kemahiran berkomunikasi dan bekerjasama sebagai sebuah komuniti. Nilai ini adalah penting bagi membentuk keyakinan serta peribadi mereka.
#3. Buat kajian
Senang cerita, buat survey ke sekolah yang anda minat atau dalam senarai akhir. Bawa sekali anak supaya anda boleh lihat bagaimana keadaan di sana. Ada kanak-kanak yang sekiranya dia tidak menggemari persekitaran sekolah dia akan terus tonjolkan. Jadi mungkin boleh ‘pangkah’ tadika itu awal-awal.
Selain itu, cuba bertanya kepada ibu bapa yang menghantar anak ke situ, bagaimana penerimaan dan pendapat mengenai sekolah berkenaan. Jarang ibu bapa lain tidak mahu beri maklum balas, mereka pasti sedia bantu anda.
#4. Tadika berdaftar atau tidak
Ibu bapa perlu menyelidik sama ada tadika berdaftar dengan Kementerian Pendidikan atau sebaliknya. Pendaftaran tadika boleh dikenalpasti melalui sijil pendaftaran oleh Kementerian Pendidikan atau plat yang dipaparkan di pintu tadika.
#5. Bilangan pelajar, guru
Dapatkan maklumat daripada guru berapakah maksimum saiz sesebuah kelas yang diterima oleh sekolah. Saiz sesebuah kelas memainkan peranan kepada pengalaman di sekolah.
Di kelas yang kecil, guru mampu meninjau setiap pelajar dengan lebih kerap setiap hari. Kurikulum pembelajaran turut dapat di sesuaikan dengan perkembangan murid dan pelajar akan lebih terlibat dalam sebarang aktiviti dan kurang kemungkinan daripada disisihkan.
Ini adalah antara elemen penting dalam tips pilih tadika terbaik untuk anak anda.
Tunjang utama dalam pemilihan sesebuah tadika yang tepat untuk anak anda termasuklah gurunya.
Guru itulah yang akan mendidik dan menjaga anak kita sewaktu kita tiada semasa mencari rezeki. Oleh itu, ibu bapa wajib mengambil masa untuk mengenali guru-guru yang mengajar di tadika berkenaan terlebih dulu.
Sumber: Syed Saddiq
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
3 Tabiat Buruk Ini Sebenarnya Ciri Anak Pintar Dan Bijaksana!