Setiap wanita akan mengalami simptom kehamilan yang berbeza. Malah ia juga berbeza antara satu kehamilan dengan yang lain, yakni kehamilan pertama berbeza dengan yang kedua. Jika anda hamil, anda mungkin perasan satu atau lebih daripada tanda mengandung sebulan ini. Jangan bimbang, anda tidak mungkin mengalami semuanya serentak.
Juga, anda tidak perlu bimbang jika anda langsung tidak mengalami mana-mana simptom. Ada kemungkinan anda hamil tanpa mengalami sebarang tanda-tanda kehamilan ini. Namun ini antara simptom kehamilan yang sangat biasa dialami.
Tanda mengandung sebulan
#1. Tidak datang haid
Jika anda mempunyai kitaran haid yang teratur, lazimnya inilah tanda fizikal yang paling awal. Harus diingat bahawa anda boleh mengalami sedikit pendarahan ringan atau kesan darah pada masa haid anda dijangka walaupun anda hamil, dan pada masa telur yang sudah disenyawakan menempel pada rahim anda.
Jika kitaran anda tidak teratur anda mungkin perasan tanda-tanda kehamilan yang lain sebelum anda menyedari bahawa anda tak datang haid.
#2. Keletihan
Anda mungkin berasa sangat letih dalam beberapa minggu pertama kehamilan. Ini mungkin disebabkan oleh peningkatan paras progesteron dalam badan anda untuk ia mengekalkan lapisan rahim anda bagi membantu menyokong kehamilan.
#3. Rasa loya / Mabuk hamil
Tanda mengandung sebulan anda mungkin mula berasa loya dan muntah-muntah antara minggu ke-2 kehamilan hingga ke-8. Keadaan ini biasanya akan hilang menjelang minggu ke-16 . Walaupun keadaan ini sering dikenal sebagai ‘mabuk waktu pagi’ ia boleh berlaku pada bila-bila masa, siang atau malam – dan mungkin juga dialami sepanjang hari.
#4. Hiperemesis gravidarum (muntah berlebihan)
Kira-kira satu dalam 200 wanita hamil berkemungkinan mengalami hiperemesis gravidarum. Lazimnya berterusan sehingga melepasi trimester pertama (12 hingga 13 minggu), hiperemesis gravidarum menyebabkan muntah yang kerap dan teruk sehinggakan apa sahaja yang dimakan atau diminum akan dimuntahkan. Biasanya, keadaan ini boleh dirawat dan hanya dalam kes yang sangat luar biasa ia menyebabkan komplikasi kehamilan, tetapi sila dapatkan nasihat doktor jika anda mengalami mabuk yang teruk.
#5. Perubahan payudara anda
Payudara anda mungkin menjadi lebih besar dan berasa sakit jikalau tersentuh atau sangat sensitif. Urat pada payudara anda mungkin lebih menonjol dan areola (puting) anda boleh menjadi gelap.
#6. Lebih kerap membuang air kecil
Kira-kira 6 hingga 8 minggu selepas pensenyawaan anda mungkin perlu membuang air kecil dengan lebih kerap. Ini disebabkan uterus anda (istilah perubatan untuk rahim) telah membesar dan menekan pundi kencing anda. Pada akhir trimester pertama uterus anda akan naik ke atas di dalam abdomen anda menyebabkan tekanan ke atas pundi kencing anda berkurangan.
#7. Mood Swing
Hormon anda yang berubah-ubah boleh menyebabkan fluktuasi mood pada peringkat awal kehamilan – anda juga mungkin mendapati diri anda menangis tanpa sebab.
Perubahan cita rasa makanan (mengidam) dan kepekaan terhadap bau
Anda mungkin tidak lagi menggemari benda tertentu seperti teh, kopi atau makanan berlemak dan mula mengidam benda-benda yang biasanya anda tidak suka. Anda juga mungkin berasa loya apabila terbau benda tertentu – seperti kopi, daging atau alkohol.
#8. Cramp
Anda mungkin mengalami kekejangan atau cramp di betis atau kaki pada trimester pertama, dan kadangkala pada peringkat akhir kehamilan. Ini disebabkan perubahan dalam cara tubuh anda memproses kalsium.
Sama ada anda mengalami salah satu simptom-simptom ini atau tiada satu pun, satu-satunya cara untuk mengetahui dengan pasti sama ada anda hamil atau tidak adalah dengan melakukan ujian kehamilan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia