5 Tanda Penting Yang Menunjukkan Pasangan Anda Tidak Hormat Anda

Adakah anda tahu apakah tanda yang pasangan anda tidak menghormati anda sebagai suami atau isteri? Tanpa rasa hormat ini, sukar sekali untuk mengecapi kebahagiaan dalam rumah tangga.

Ada banyak kualiti penting yang setiap pasangan berkahwin ingin pasangan mereka tunjukkan pada mereka.

Antara sikap yang paling penting dalam perkahwinan adalah hormat menghormati. Tapi, bagaimana pula jika ada tanda yang pasangan tidak hormat anda?

Tanpa rasa hormat antara pasangan suami isteri, rumah tangga tersebut pasti tidak akan bahagia

Jadi, kita perlulah sentiasa memastikan yang kita (serta pasangan) saling memberikan rasa hormat pada setiap waktu, sebaik yang mungkin.

5 Tanda Yang Pasangan Tidak Hormat Anda

Namun, adakah kita tahu apa caranya untuk menghormati seseorang?

Begini, kalau pasangan anda menunjukkan antara 5 kualiti berikut, maka sudah tiba masanya untuk anda menegur suami atau isteri anda dengan baik.  

Kenapa?

Kerana 5 kualiti ini adalah antara petanda yang menunjukkan pasangan anda tidak menghormati anda. Mari perbaikinya jika ia ada terjadi pada diri serta pasangan, sebelum ianya terlambat!

1. Apabila mereka tidak memberitahu anda bila si dia akan pulang

Sumber: Themodernman.com

Apabila suami isteri saling bekerja, akan ada kemungkinan untuk salah seorangnya pulang lewat ke rumah.

Jika pasangan anda sering menjadikan habit untuk tidak memberitahu anda bila dan kenapa dia akan pulang lewat, ia sedikit sebanyak menunjukkan yang si dia itu kurang menghormati anda.

Sama juga jika dia keluar berjumpa dan makan-makan dengan kawan, namun tidak pernah langsung terfikir untuk memberitahu anda bila dia akan pulang semula ke rumah.

Jika dia benar hormat, pasti dia tidak mahu anda tertunggu atau tertanya-tanya. Menurut laporan The Frisky

Jika pasangan anda sering muncul atau pulang tanpa memberitahu, sehingga menyebabkan masalah dalam rumah tangga, maka ia menunjukkan yang tiada rasa hormat dalam dirinya.

2. Pasangan anda sering menyalahkan anda dalam semua hal

Ini lagi satu petanda yang suami atau isteri anda tidak menghormati anda – dia sering meletakkan kesalahan pada bahu anda dalam semua perkara.

Dalam istilah Bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai ‘gaslighting‘. Menurut Your Tango, ia adalah frasa yang menerangkan teknik penderaan emosi.

Ia berlaku apabila seseorang pasangan itu sering menafikan kata-kata mereka sendiri, dan menyalahkan kita kerana mengatakan perkara yang langsung tak pernah kita sebut!

Dalam erti kata lain, jika sesuatu masalah timbul (tak kiralah isu besar atau kecil), pasangan anda akan dengan segera menyalahkan anda, enggan bertanggungjawab atas kesilapan sendiri, dan menganggap masalah yang berpunca daripadanya tidak wujud langsung!

Jika ini berlaku pada anda, hentikan segera kerana ia merupakan sejenis penderaan; tidak bagus untuk emosi dan mental anda.

3. Mereka melayan hubungan seks antara suami isteri sebagai satu transaksi

Sumber: Theindusparent.com

Seks atau hubungan intim antara suami isteri tidak sepatutnya dianggap sebagai satu transaksi. Hubungan ini tidak sepatutnya dianggap sebagai satu percaturan atau pembayaran.

Contohnya, jika si dia sering meminta anda untuk melakukan sesuatu dan barulah dia akan berhubungan intim dengan anda, itu menunjukkan yang dia tidak hormatkan anda sebagai suami atau isterinya.

4. Si dia tidak menunjukkan yang dia bangga dengan anda

Dalam kehidupan ini, ada beberapa orang yang anda perlu berusaha untuk mendapatkan rasa hormat darinya. Contohnya, dari guru, bos, atau rakan sekerja. Tapi, bukan pasangan anda!

Rasa hormat sepatutnya hadir sebaik sahaja anda berdua bernikah dan bersetuju untuk melayari bahtera perkahwinan bersama.

Jadi, anda patut selalu mendengar rasa hormat atau bangga dari pasangan anda. “Isteri abang kan cantik” atau “Abang memang suami yang hebat” adalah ungkapan bahagia bercampur bangga yang patut sentiasa diucapkan.

Namun, jika anda sering diperlekehkan secara peribadi atau di hadapan orang lain, walaupun dalam nada bergurau, maka pastikan anda menasihatinya segera! 

Itu adalah tanda yang dia tidak hormat pada anda.

5. Pasangan anda enggan berkompromi atau bertolak ansur

Sumber: Rd.com

Menurut The Centers for Family Change:

Rasa hormat akan timbul apabila anda sentiasa menghargai perasaan atau pendapat suami/isteri anda. Ia juga timbul apabila anda melayannya dengan cara yang sama anda ingin dilayan. Rasa hormat juga akan timbul apabila anda selalu berkompromi dan bertolak ansur dengan pasangan anda.

Apabila anda berjanji untuk hidup bersama, anda berdua sudah pun menjadi satu pasukan. Boleh anda bayangkan satu pasukan yang utuh, tanpa sifat bertolak ansur? Sudah pasti tidak!

Demi rumah tangga anda dan pasangan, marilah kita saling menghormati antara satu sama lain. Hubungan perkahwinan ini telah ditulis di Luh Mahfuz dan ditentukan oleh Tuhan.

Bersyukurlah dengan ketentuan ini, dan berikan pasangan anda hak yang sepatutnya, iaitu rasa hormat dari anda!

Sumber: The Asian Parent Singapore

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

7 Amaran Perkahwinan Anda Bermasalah

 

Penulis

Noor