Selain menyediakan keperluan tempat tinggal, pakaian dan makan minum, ibu ayah juga perlu mengajar anak-anak dengan kewajipan sebagai seorang Islam iaitu solat lima waktu. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, justeru kami kongsikan beberapa tips anak cepat belajar solat dalam tempoh yang singkat.
Sebenarnya, ada pelbagai sebab yang menjadikan anda kurang berjaya dalam menyemai pendidikan solat pada awal usia. Sebab utama mungkin berpunca dari ibu ayah mengambil mudah akan perkara ini.
Tips anak solat lima waktu dengan mudah
Kaedah yang lemah dalam menyemai pendidikan solat menyebabkan ibu ayah tidak menunjukkan cara betul, tidak konsisten dalam memberi arahan, mudah naik angin dan tiada unsur kasih sayang.
Jika anda memberikan alasan bahawa anak masih kecil, tidak mengapa jika mereka tidak solat, ini yang menyebabkan proses mendidik si manja menjadi lebih sukar.
Dalam hal ini, anak-anak selayaknya sudah boleh diajar seawal umur dua atau tiga tahun.
”Jika seorang anak sudah mengetahui dan dapat membezakan tangan kanan dan kirinya, maka perintahkanlah dia untuk mengerjakan solat.”- Riwayat ath-Thabarani
Tips anak belajar solat bukanlah sesuatu perkara yang sukar jika anda menggunakan kaedah yang betul. Malah mereka akan teruja dan tertunggu-tunggu ibu ayah untuk solat bersama. Berikut adalah cara mengajar anak dengan mudah:
#1. Mendirikan solat di depan anak
Dalam setiap sudut, ibu ayah adalah model terbaik di mata anak-anak. Mereka akan mengikuti apa sahaja anda lakukan, sebab itulah perlu melakukan perkara dan mengucapkan perkataan yang baik.
Justeru, manfaatkan kelebihan ini untuk mengajar anak mendirikan solat. Solatlah di tempat yang mudah dilihat oleh anak seperti ruang tamu. Jika perasan, mereka akan berjalan mendekati anda dan cuba melakukan aksi ketika solat.
Jika ibu ayah mencari sejadah buat anak, boleh beli yang macam ini. Mesti anak suka.
#2. Ketika anak berusia 0-2 tahun
Meskipun si manja pada usia ini masih kecil dan tidak memahami apa-apa, namun suasana dalam rumah yang baik akan membuatkannya rasa terbiasa. Justeru jangan jadikan alasan ini untuk tidak mengajar anak solat.
Jika dia selalu melihat ibu ayah mendirikan solat awal waktu sebaik sahaja azan tamat dan terbiasa mendengar bacaan al-quran, anda boleh menasihatinya supaya ”tunggu di sebelah ya, Ibu nak solat.” atau katakan ”terima kasih sayang sebab tunggu umi solat.”
#3. Umur 2- 3 tahun
Antara tips mendidik anak solat ialah dengan cara mengajak dan bukannya menyuruh. Tidak perlu menunggu mereka mencecah usia 7 tahun barulah anda mengajak mereka untuk mendirikan solat.
Biarpun baru berumur 2-3 tahun, tidak jadi masalah jika anda mengajak untuk mereka solat di sebelah kerana pada tempoh ini, mereka dikatakan memiliki bakat meniru yang sangat hebat.
Anda dan pasangan perlu melakukan secara konsisten setiap masa bagi menetapkan minda anak-anak untuk bersedia setiap kali masuk waktu solat.
#4. Umur 4-6 tahun
Pada usia ini, ibu ayah perlu menjelaskan kepentingan solat. Penerangan berbentuk penceritaan boleh memberikan gambaran jelas kepada anak-anak bahawa Islam mewajibkan seluruh umatnya mendirikan solat 5 waktu.
Sebagai contoh, mulakan cerita anda bahawa allah amat menyukai orang yang solat. Anak pasti akan bertanya lagi dan lagi kerana sel otak mereka berhubung. Bukan itu sahaja, anda juga perlu kerap mengajak mereka ke masjid.
Perkenalkan adab di masjid, solat berjemaah dan interaksi sosial dengan jemaah lain bagi meningkatkan lagi nilai baik dalam diri si manja.
#5. Umur 7 tahun ke atas
Inilah antara tempoh usia yang dianggap sebagai paling penting dalam mengukuhkan asas solat.
Waktu ini juga anda perlu memastikan supaya anak sudah tahu perkara yang perlu dilakukan ketika azan, mengambil wudhuk dengan baik, pergerakan dan bacaan ketika sembahyang.
Memasuki usia 9 tahun, ibu ayah perlu mula lebih tegas dan selalu mengingatkan. Dalam hadis Nabi membenarkan supaya memukul anak yang ingkar solat ketika usia 10 tahun.
Namun mengambil tindakan ini, fikir semula adakah anda telah memberikan pemahaman serta contoh terbaik buat anak-anak? Hanya anda sahaja mengetahuinya.
Menurut Dr. Abdullah Nasih Ulwan melalui buku Tarbiyatul Aulad mengatakan bahawa jalan terakhir jika ibu ayah berputus asa adalah dengan memukul anak. Ia bukanlah untuk menyebabkan rasa sakit, tapi bertujuan sebagai memberikan pengajaran.
Sumber: Muftins
Kredit foto: Telekung4kids, Google
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: