Suami Kerja Lebih Masa & Tidak Tentu Masa? Ini Cara Untuk Kekalkan Keharmonian Rumah Tangga Walaupun Jarang Bersama

Ramai sebenarnya yang seperti anda, ibu-ibu yang menggalas semuanya ketika para suami mencari rezeki.

Tiada siapa yang suka pasangan mereka menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja berbanding di rumah, bukan? Lebih-lebih lagi jika ibu-ibu sudah bergelut sepanjang hari menguruskan pelbagai urusan dan anak-anak. 

Terkadang, anda hanya ingin lebih masa untuk mandi, makan atau hanya duduk seketika untuk mengambil nafas dari kesibukan seharian. Namun, tidak semua pekerjaan mengizinkan pasangan kita pulang tepat pada masanya.

Ada yang terpaksa bekerja shif, bekerja lebih masa malah ada yang berhari atau berbulan meninggalkan kita dan anak-anak.

Kredit: Freepik

Contohnya, isteri seorang pegawai tentera yang terpaksa bertugas di bilik kawalan selama 24 jam tanpa pulang ke rumah atau isteri seorang pegawai teknikal yang terpaksa bekerja lebih masa. Dia pulang dalam keadaan yang sangat penat, terdesak memerlukan rehat dan tidur beberapa jam sebelum bekerja semula.

Apa pun pekerjaan pasangan anda, pasti akan ada masa yang anda rasa tidak mampu faham keperluan lebih masa pekerjaannya. Anda tidak keseorangan. Ramai sebenarnya yang seperti anda, ibu-ibu yang menggalas semuanya ketika para suami mencari rezeki.

6 Tips Untuk Rumah Tangga Lebih Bahagia Walaupun Waktu Kerja Suami Tidak Menentu

Memang kelihatan umpama kita mengorbankan segalanya untuk keluarga, namun sebenarnya ianya ialah pengorbanan bersama. Belajar menguruskan segalanya bukanlah mudah namun tidak mustahil! Berikut adalah 6 tips untuk ibu-ibu yang waktu kerja suami mereka lebih panjang.

1# JANGAN biarkan rasa benci wujud di dalam diri anda

Memang terasa seperti anda terpaksa mengorbanan masa, tenaga dan segalanya seorang diri semasa ketiadaan pasangan anda. Malah ada di antara harinya terasa seperti lebih membebankan dari hari biasa hingga terasa seperti ingin berputus asa.

Tidak apa untuk berasa demikian namun, jangan sehingga wujud rasa benci yang boleh menjadi punca rosaknya hubungan kekeluargaan. Memang mudah untuk rasa begitu dikala semuanya seperti tidak kena.

Bagaimana untuk tidak rasa begitu? Tipsnya, ingat semula betapa anda hargai pasangan anda. Beritahu mereka yang anda hargai mereka ada di dalam hidup anda dan berterima kasih atas segala tolak ansur di antara anda berdua selama ini.

2# JANGAN buat mereka rasa bersalah

Antara yang paling kerap kita lakukan ialah, mengungkit betapa susahnya keadaan apabila mereka terpaksa bekerja lebih masa. Bayangkan keadaan mereka yang terpaksa berhari-hari mengadap kerja, sesekali pulang untuk mendengar segala kepayahan yang kita terpaksa lalui semasa ketiadaan mereka.

Pasti mereka diselubungi rasa bersalah. Sedangkan sebenarnya, tanpa kita meluahkan segala kepayahan itu mereka juga sudah rasa bersalah terpaksa berjauhan dengan keluarga. Sudahlah asyik merindui isteri dan anak-anak, kemudian diasak pula rasa bersalah.

Ia hanya akan membuatkan mereka murung dan meragui diri mereka sebagai suami, ayah dan pekerja. Secara tidak langsung akan menjejaskan prestasi mereka di tempat kerja serta pergaulan dengan anak-anak.

3# Cari kumpulan sokongan

Bergaul dengan mereka yang senasib dengan anda! Anda akan terkejut bagaimana mereka dapat memberi anda inspirasi untuk lebih dinamik. Malah, anda akan lebih seronok dapat berkongsi pelbagai perkara dengan mereka.

Kenali isteri rakan sekerja suami anda atau kumpulan di media sosial. Pasti akan ada aktiviti semasa para suami bertugas. Dengan adanya kawan-kawan yang faham dengan situasi kita, pastinya situasi lebih positif.

4# Beri ruang pada diri anda

Masa yang sudah berlalu tidak akan kembali. Jangan biarkan ia berlalu dengan terbazir. Cipta memori indah bersama anak-anak.

Oleh sebab sekarang semua tidak digalakkan keluar rumah, apa kata anda lakukan aktiviti sekeluarga seperti game night atau jika rumah anda ada ruang lapang, buat barbecue bersama-sama.

Anda akan rasa lebih baik dan anak-anak anda akan sangat menghargai masa itu. Jangan kerana waktu kerja suami anda tidak menentu, bermakna anda harus menghabiskan masa berkurung di dalam rumah menunggu mereka.

5# Galakan dan DOA

Kita sering kali lebih fokus pada anak-anak. Mendorong mereka untuk lebih baik di dalam sukan, pelajaran malah hobi mereka. Hingga kita terlupa, sebenarnya, suami kita juga memerlukan perhatian seumpama itu juga.

Berikan mereka galakan untuk lebih berjaya di dalam kerjaya, peranan dan kehidupan harian mereka, mendoakan yang terbaik untuk mereka. Jika mereka lebih berjaya dan lebih baik, kita juga akan turut merasainya.

Malah, anak-anak akan mencontohi bagaimana anda menjadi seseorang yang sangat memahami keadaan suami dan sentiasa memberi galakan serta mendoakan yang terbaik.

6# Dapatkan bantuan

Tiada apa yang salah dengan mendapatkan bantuan. Sama ada dari segi urusan rumah atau urusan anak-anak. Dapatkan bantuan supaya anda boleh duduk sebentar dan nikmati ‘me time’ anda. Walaupun hanya 5 minit.

Mungkin akan ada yang rasa, ianya mudah dikatakan berbanding melakukan. Namun, jika anda cuba buat beberapa daripada tips di atas, anda akan dapat merasai perbezaannya.

Tidak semua perkara kita dapat ubah, tetapi, untuk diri kita sendiri, pilihan di tangan kita. Sama ada menjadikan keadaan lebih sukar atau mencari jalan memudahkan situasi yang kita lalui.

Jika anda salah seorang yang terpaksa kerap berjauhan dengan suami, kongsikan tips, bagaimana anda menangani situasi ini.

Semoga bermanfaat.

Sumber: Mom without answers

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 5 cara membina support system bagi ibu bapa yang bekerja

Penulis

Aqma