Bulan ramadhan adalah bulan yang ditunggu oleh seluruh umat Islam. Bagi kanak-kanak, puasa ramadhan memang belum diwajibkan. Namun, alangkah baiknya kalau anak dididik untuk memahami dan melakukan puasa ramadhan agar ia menjadi perkara yang biasa apabila sudah dewasa nanti.
#1 Jelaskan makna bulan ramadhan dan amalan-amalan yang wajib
Sebelum menyuruh anak berpuasa ramadhan, jelaskan dulu tentang makna dan amalan-amalannya. Penjelasan ibu bapa perlu sesuai dengan tahap umur dan pengetahuan anak. Ia tidak perlu terperinci.
#2 Jadilah contoh yang baik
Anak-anak akan selalu mencontohi ibu bapanya. Jika anak ingin belajar berpuasa, maka ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik dengan tidak merungut semasa berpuasa dan melakukan amalan-amalan yang baik di bulan Ramadhan.
#3 Berikan semangat dan hadiah apabila anak puasa
Ketika anak berlatih puasa, pasti akan timbul godaan-godaan yang akan menguji. Oleh itu ibu bapa perlu terus memberikan semangat dan motivasi apabila anak melakukan latihan berpuasa.
Bila perlu, berikan anak hadiah sebagai ganjaran jika dia berjaya untuk puasa sehari penuh. Tetapi jangan lupa jelaskan kepada anak tentang ganjaran yang lebih besar dari Allah.
#4 Melibatkan anak dalam kegiatan Ramadhan
Ajak anak untuk melibatkan diri dalam kegiatan di bulan Ramadhan. Kalau anak tak larat bangun untuk sahur, ajak anak untuk berbuka bersama.
Bawa mereka solat tarawih berjemaah di masjid atau belikan mereka tabung duit baru dan galakkan mereka untuk mengetepikan sebahagian wang harian mereka untuk didermakan kepada golongan miskin.
Jangan lupa untuk menjelaskan hikmah-hikmah yang boleh didapati dari aktiviti di bulan ramadhan tersebut.
Jika anak melakukan kesalahan, ibu bapa tidak perlu mengkritik atau mengejek-ejek di hadapan rakan-rakannya. Hargai keinginan anak untuk melibatkan diri di bulan Ramadhan.
#5 Menghidangkan menu kegemaran anak ketika berbuka dan sahur
Dengan menghidangkan menu kegemaran anak ketika berbuka dan sahur, ini boleh menjadi dorongan supaya anak akan lebih semangat untuk berpuasa.
Khususnya ketika sahur, kerana waktu sahur kanak-kanak masih mengantuk dan tidak mempunyai selera makan.
Berikan mereka buah-buahan segar dan jus buah-buahan segar yang penuh dengan kebaikan dan gula semula jadi agar mereka rasa segar dan kekal bertenaga.
Jika anak sempat sahur dengan makanan yang enak lagi berkhasiat, semangat berpuasa mereka akan lebih kuat dan pastinya boleh puasa sehari penuh.
Sumber bacaan: Modestmunchies.com, Muslim Kid Genius