Kini Suami Yang Lengkap Divaksin Boleh Teman Isteri Bersalin Di Semua Hospital Kerajaan

Kini suami yang sudah lengkap divaksin boleh teman isteri di hospital. Ini 10 tips untuk bakal bapa amalkan ketika berada di dalam bilik bersalin.

Berita baik untuk pasangan yang menunggu hari untuk melahirkan permata hati. Anda dah boleh senyum lebar kerana Kementerian Kesihatan (KKM) telah memutuskan suami yang sudah dilengkapi dua dos suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan menemani isteri di hospital. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah menyatakannya menerusi laman Twitter beliau “Saya sudah minta Tan Sri Dr Noor Hisham untuk membenarkan bakal bapa yang lengkap divaksinasi dan menjalani ujian saringan COVID dan negatif, untuk menemani isteri mereka dalam wad bersalin.”

Suami boleh teman isteri bersalin di semua hospital kerajaan

Beliau juga sudah meminta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham untuk mengeluarkan kebenaran itu di semua hospital kerajaan. 

Dan setakat ini, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) antara hospital kerajaan yang pertama telah membenarkan para bapa untuk menemani isteri mereka di wad bersalin. 

Jadi sekiranya suami yang sudah dilengkapi 2 dos vaksin mahu menemani isteri dalam wad bersalin perlulah menjalani ujian COVID-19 dan disahkan negatif.

Beliau membuat kenyataan itu selepas membalas ciapan seorang pengguna Twitter, yang memohon suami lengkap divaksin dan negatif ujian saringan COVID-19 dibenarkan menemani isteri dalam bilik bersalin.

Menjawab permintaan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan akan mengeluarkan arahan untuk membenarkan suami yang lengkap divaksin dan bebas COVID-19 menemani isteri dalam wad bersalin.

“Ya, saya akan laksanakan apa yang diperlukan,” kata DG.

Terdahulu, hospital kerajaan tidak membenarkan pelawat mahupun suami sendiri untuk menemani isteri di hospital dan di dewan bersalin ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dan hal itu membuat semua pasangan yang menantikan ketibaan cahaya mata mereka dalam keadaan risau. Apatah lagi untuk para suami yang dibelungi rasa serba salah harus meninggalkan isteri bertarung nyawa seorang diri. Lebih sedih tidak dapat mengazankan bayi sebaik dilahirkan. 

Tips untuk bapa yang bakal menemani isteri di hospital

Dr. Jazlan Joosoph, seorang doktor pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Raffles Women’s Center di Singapura ada berkongsi tips untuk bakal bapa ketika berada di dalam bilik bersalin.

Sudah pasti, apabila semakin hampir masa untuk ke hospital, bukan sahaja ibu yang berasa berdebar-debar, malah si ayah juga berasa yang sama.

Jika anda bakal menimang cahaya mata dan berhajat untuk berada di sisi isteri dalam labour room, anda perlu tahu tips untuk bakal bapa ini. 

10 tips untuk bakal bapa ketika berada dalam bilik bersalin

#1. Bersiap sedia

Sebenarnya, tips untuk bakal bapa ini bukan sahaja dibuat ketika si isteri sudah hampir tarikh untuk bersalin. Tapi, ia patut dimulakan sebaik sahaja mendengar berita kehamilan isteri.

Golongan ayah perlu mula bersiap sedia dari segi mental, emosi, dan kewangan untuk menyambut kelahiran cahaya mata yang bakal menyerikan rumah tangga.

Banyakkan membaca buku untuk mendapatkan ilmu keibubapaan.

#2. Jika isteri bersalin czer, jangan intai!

Dr. Jazlan juga menasihatkan para ayah supaya jangan cuba mengintai ketika pembedahan czer dilakukan, terutamanya buat mereka yang lemah semangat.

Biarkan doktor yang menguruskan hal isteri ketika pembedahan. Mereka lebih berpengalaman. Banyakkan berdoa dan bertenang.

Berikan juga kata-kata semangat kepada isteri sebelum pembedahan caesarean bermula.

Kredit: Fitpregnancy.com

#3. Baca tentang proses bersalin

Seorang suami adalah peneman dalam labour room yang paling baik untuk isteri. Jadi, untuk memudahkan proses isteri berjuang dalam bilik bersalin, ayah perlu ada banyak ilmu.

Dr. Jazlan menggalakan para ayah untuk menghadiri kelas prenatal dengan isteri. Persiapkan diri untuk kekal tabah dan tenang ketika hari bersalin.

Jika anda sendiri kelam-kabut dan pucat lesi muka, sudah pasti ia akan beri kesan kepada isteri.

#4. Jangan buat onar di hospital

Selalu kita dengar tentang para ayah yang membuat onar atau kecoh di bilik bersalin. Sama ada mereka tidak puas hati tentang sesuatu atau mereka sendiri histerikal kerana risaukan isteri.

Jangan risau. Cuba amalkan tips untuk bakal bapa ini: percayalah pada kemampuan para doktor dan jururawat dalam menjaga isteri anda.

Tidak perlu untuk ayah mengadu sakan atau meluahkan rasa tidak puas hati tentang apa sahaja pada hari tersebut. Fokuskan dahulu pada yang lebih utama iaitu memberikan sokongan emosi kepada isteri yang bakal bersalin!

#5. Jangan terkejut jika tiba-tiba isteri marah anda

Ketika si isteri sedang berusaha menahan sakit bersalin, ada kalanya akan timbul rasa marah pada suami:

“Ini semua salah awak!”

Jangan rasa terkejut atau terasa hati. Kekal tenang dan fahami dirinya. Dia sedang mengalami perubahan hormon di fasa terakhir kehamilan.

Jangan marah isteri dan bawa bersabar. Selepas si kecil lahir, pasti dia akan tersenyum semula.

Kredit: Sotskiy.am

#6. Dengar klu ini – episiotomi

Jika anda berada di samping isteri ketika bersalin, terus pandang tempat lain jika anda terdengar doktor menyebut perkataan ini – episiotomi.

Percayalah, anda tidak mahu menyaksikannya jika anda tidak tahan tengok darah.

#7. Nikmati dan syukuri detik indah ini

Melihat isteri anda berjuang sepenuh hati demi melahirkan anak anda sepatutnya membuatkan anda bersyukur dan lebih menghargai isteri.

Ambil masa untuk menghayati detik bersejarah ini. Ia sememangnya momen terindah dalam hidup seorang ayah.

#8. Berhati-hati ketika memotong tali pusat

Dalam bilik bersalin nanti, anda selalunya akan diberikan penghormatan untuk memotong tali pusat anak. Berhati-hati dan berlembutlah ketika melakukannya.

Jika anda ingin tahu bagaimana untuk melakukannya, banyakkan membaca info atau menonton video.

#9. Jangan terkejut ketika melihat plasenta keluar

Kredit: Metro.co.uk

Anda juga perlu bersiap sedia untuk melihat isteri anda meneran keluar plasenta! Ia mungkin akan kelihatan sedikit memualkan, berbanding melihat si kecil anda keluar dari rahim ibunya.

Jangan terkejut, jangan menjerit dan yang paling penting, jangan pengsan!

#10. Belajar bagaimana menguruskan bayi

Semasa berada di hospital, anda akan mendapat banyak bantuan daripada para jururawat. Jangan tonton sahaja. Ambil bahagian dan bantu.

Jika anda tidak tahu, jangan malu untuk bertanya pada jururawat atau doktor. Bantu dukung, sendawakan, dodoi dan mandikan anak. Bila balik rumah nanti, tidaklah anda kekok!

Ayah, jom cuba amalkan tips untuk bakal bapa ini dan semoga anda dapat terus menjadi suami mithali kepada isteri dan ayah yang hebat untuk anak-anak!

Sumber: theAsianparent Singapore

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 15 Petua Mudah Bersalin Yang Dikongsi Ibu-Ibu Berpengalaman