15 Topik Borak Dengan Pasangan Untuk Lebih Mengenali Dan Mesra, Hubungan Jadi Lebih Utuh

Tak tahu topik borak dengan pasangan? Mudah sahaja sebenarnya, yang penting anda terbuka untuk menerima jawapan daripada pasangan anda.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Ketahui topik borak dengan pasangan anda untuk lebih mengenali mereka dengan mesra. Ini kerana berkomunikasi dengan pasangan anda adalah antara aspek yang penting dalam perhubungan. Ini antara topik borak dengan pasangan anda bagi mengukuhkan lagi hubungan anda.

1. Bahasa Cinta (Love Language)

Ini adalah kunci utama dalam suatu perhubungan. Anda perlu memberitahu pasangan anda apa yang membuatkan anda berasa gembira, bahasa cinta anda dan ketahui juga bahasa cinta pasangan anda.

Menurut Dr gary Chapman, terdapat lima jenis bahasa cinta iaitu kata-kata pengesahan (words of affirmation), masa berkualiti (quality time), hadiah (gifts), sentuhan (physical touch) dan tindakan kebaikan (acts of kindness).

Setiap orang mempunyai bahasa cinta masing-masing. Ada yang merasa lebih disayangi jika mereka menerima hadiah daripada pasangan, dan ada juga yang berasa bahagia jika dapat meluangkan masa dengan yang tersayang.

Tapi, jangan anggap bahasa cinta anda sama dengan bahasa cinta pasangan anda. Mungkin bahasa cinta anda lebih kepada masa berkualiti, namun pasangan anda pula lebih kepada hadiah. Oleh itu, luangkan masa untuk berborak mengenai bahasa cinta masing-masing.

2. Matlamat Dan Cita-Cita Dalam Hidup

Semua orang ada matlamat dan cita-cita. Untuk hidup berpasangan, kita seharusnya memahami kemahuan antara satu sama lain. Apabila kita berkongsi apa yang kita inginkan dan cita-citakan dengan pasangan, sekurang-kurangnya pasangan boleh memberikan sokongan dan pandangan.

Ia normal jika anda mempunyai matlamat berbeza dengan pasangan anda tetapi bila dah hidup bersama ia perlu dibincangkan dan diselaraskan. Berbincanglah tentang matlamat dan cita-cita dengan pasangan dengan baik. Sama ada melalui perbincangan terbuka, pillow talk, atau perbualan santai, lakukanlah mengikut keselesaan masing-masing.

3. Isu Semasa

Ini merupakan antara topik yang paling mudah untuk dibicarakan. Isu seperti viral dan hal ehwal politik boleh dibincangkan dengan panjang lebar. Kadang-kadang, dalam perbualan ini akan terselit perbincangan berbentuk ilmiah.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Kalau ada perkara yang anda dan pasangan anda tidak sependapat, jangan jadikan ia bahan untuk saling memerli dan mengkritik. Hormati pandangan pasangan anda dan jangan jadi seperti kanak-kanak yang akan bermasam muka sekiranya pandangan tidak diterima.

Berkahwin tidak bermakna kita harus 100% sekepala dan sependapat dengan pasangan. Memang akan ada perkara yang kita tidak sehaluan dan kalau benda tu kecil, tak perlu diperbesarkan sehingga menjejaskan perkahwinan.

4. Luahan Perasaan

Penting untuk anda meluahkan perasaan anda kepada pasangan. Apabila sudah menginjak dewasa ini, rakan yang dahulu menjadi pendengar setia kita juga ada kehidupan sendiri. Kurang manis sekiranya anda menhubungi mereka setiap kali ada yang mahu diluahkan.

Beritahu pasangan tentang kebimbangan dan kerisauan supaya dia tahu apa yang bermain di fikiran kita. Apabila kita tidak bercakap apa-apa dan mengharapkan pasangan faham, itu yang menjadi masalah kerana manusia tidak mempunyai kuasa telepati.

Apabila pasangan tahu luahan perasaan kita, mudah untuk dia faham dan membantu kita. Oleh itu, penting untuk memberitahu dengan jelas tanpa bahasa kiasan. Waktu untuk meluah juga perlu dipilih dengan bijak dan sesuai dengan masa dan mood.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Jika pasangan baru balik kerja dan terus diceritakan perkara yang tidak menyenangkan, kasihanlah padanya yang penat secara fizikal, dan ini akan menambah penat telinganya. Cerita benda yang baik-baik dahulu, biar dia tahu kita gembira.

Lepas pasangan anda sudah berehat, cakap elok-elok dan bincang. Eloklah kalau tanya dulu jika dia ada tenaga untuk bercerita. Jika kita ingin pasangan dengar luahan kita, kita juga perlu belajar mendengar luahan pasangan.

5. Perancangan Keluarga, Hal Ehwal Anak-Anak

Ini antara perkara paling penting untuk dibincangkan antara pasangan. Setiap orang mempunyai cara membesar, adat dan budaya, serta pengalaman yang berbeza. Kebanyakan kita cenderung membawa budaya dan cara ibu bapa membesarkan kita dalam mendidik anak-anak.

Pendidikan anak-anak juga perlu dibincangkan supaya kedua-dua ibu dan ayah jelas tentang hala tuju yang ingin diberikan kepada anak. Ada yang mungkin ingin fokus pada akademik, ada yang mungkin ingin menumpukan pada minat anak.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Perkara ini perlu dibincangkan dengan pasangan dan mencapai kata sepakat supaya anak-anak tidak menjadi mangsa. InsyaAllah, apabila anak-anak semakin besar nanti, mereka tidak akan segan untuk berkongsi minat dan cita-cita mereka.

6. Perancangan Ekonomi Keluarga

Urusan kewangan keluarga tidak seharusnya bergantung kepada satu pihak sahaja namun perlu ada kerjasama antara kedua-dua pihak suami dan isteri. Anda dan pasangan anda perlu peka tentag keadaan kewangan keluarga terutama berkaitan dengan perbelanjaan bulanan dan tahunan.

Pastikan setiap individu memahami cara pembelanjaan masing-masing, terutamanya berkaitan dengan kewangan rumah tangga. Jika suatu hari seseorang perlu pergi dahulu, kedua-dua pihak sudah mengetahui apa yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu dalam hal harta benda.

7. Menasihati Antara Satu Sama Lain

Ini agak sukar buat pasangan terutama terhadap isteri kerana jika dipandang daripada perspektif luar, orang akan melihat isteri sebagai seorang yang mengawal suaminya. Tapi hakikatnya, anda menasihati antara satu sama lain.

Dalam hal nasihat-menasihati ini, pasangan tak perlu mengherdik, memperli atau menghina pasangan. Banyak cara lain yang boleh digunakan untuk menegur pasangan anda. Kalau takut nak cakap, bagi contoh. Kalau pasangan masih tak faham, tanya kenapa buat perkara itu.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Ada juga yang akan terus bertanyakan kepada pasangan mereka namun dengan menggunakan nada yang baik. Proses ini hanya anda dan pasangan anda yang tahu. 

8. Masa Lalu Pasangan Anda

Untuk yang baru berkenalan dengan pasangan anda, ini merupakan antara soalan yang anda boleh tanyakan untuk mengetahui personaliti mereka dengan lebih mendalam. Sebagai contoh, tanyakan kepada pasangan anda adakah mereka pernah curang atau ditipu di masa lalu.

Soalan seperti ini agak sukar untuk dijawab kerana ia terlalu serius untuk ditanya pada awal perhubungan. Namun penting untuk anda tanyakan soalan ini supaya anda dapat memahami pendapat pasangan baru anda tentang kesetiaan dan kejujuran.

Jika mereka telah menipu atau ditipu pada masa lalu, ini boleh memberikan peluang untuk anda melakukan dan memberikan layanan yang lebih baik.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

9. Personaliti Pasangan

Soalan mengenai personaliti pasangan mungkin merangkumi pelbagai aspek untuk lebih memahami pasangan secara mendalam. Sebagai contoh, tanyakan soalan tabiat atau kebiasaan pelik pasangan anda.

Mungkin soalan ini agak personal bagi pasangan anda, namun anggap sahaja sebagai persediaan awal anda sebelum terlambat. Manalah tahu, bila hubungan dah serius dan selepas itu baru tahu perangai pelik mereka, tentunya ia akan membuatkan anda kurang selesa dalam perhubungan.

10. Pengalaman Pasangan Dengan Rakan Mereka

Soalan mengenai pengalaman pasangan dengan rakan mereka bertujuan untuk memahami hubungan sosial dan persekitaran pasangan anda di luar hubungan anda. Ini membantu untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang bagaimana pasangan anda berinteraksi dengan orang lain, nilai-nilai yang mereka galakkan dalam hubungan sosial, dan impaknya terhadap hubungan anda.

Antara soalan yang anda boleh tanyakan ialah siapakah rakan terdekat mereka dan bagaimana mereka bertemu. Selain itu, juga boleh bertanyakan apa peranan rakan pasangan anda dalam kehidupan mereka.

11. Perkara Yang Mereka Lakukan Jika Tertekan

Soalan mengenai perkara yang pasangan lakukan jika tertekan bertujuan untuk memahami cara mereka mengendalikan tekanan dan stres dalam kehidupan mereka. Ini membantu untuk mengetahui strategi mereka dalam mengatasi cabaran dan bagaimana anda boleh menyokong mereka dalam situasi-situasi yang mencabar.

Anda boleh bertanyakan soalan seperti adakah pasangan anda akan menyembunyikan perasaan jika dia sedang berasa tertekan dan tanyakan juga apa yang anda boleh lakukan. Untuk bertanyakan soalan ini, anda kena tengok keadaan dan mood juga.

Jika pasangan kelihatan tertekan, jangan tanyakan soalan ini pada masa itu. Pilih masa yang mana pasangan sedang berada dalam keadaan tenang dan boleh dibawa berbincang.

12. Bagaimana dan Mengapa Pasangan Tertarik Kepada Anda

Soalan mengenai bagaimana dan mengapa pasangan tertarik kepada anda bertujuan untuk memahami aspek-aspek tertentu dalam hubungan anda yang menarik perhatian mereka.

Ini membantu untuk mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan hubungan anda berfungsi dengan baik dan apa yang membuat anda berdua berhubungan secara emosional.

Tapi soalan ini agak sensitif untuk ditanyakan kerana ada kemungkinan anda tidak akan menyukai jawapan yang diberikan oleh pasangan anda. Jadi, berhati-hati semasa bertanyakan soalan ini.

13. Tanyakan Hari Mereka

Soalan seperti ini mungkin kelihatan membosankan tapi percayalah, kalau pasangan anda selesa dengan anda, dia akan menjawab soalan itu tanpa berasa bosan walaupun anda bertanyakan setiap hari.

14. Muzik, Filem Atau Seni

Pernahkah tak anda tanya tentang minat baca atau aktiviti yang dia gemari?

Anda boleh bertanyakan tentang senarai main Spotify pasangan anda atau tanyakan jika dia pernah menonton sesuatu filem. Bila dah tahu minat mereka, anda boleh meneruskan perbualan anda dengan lebih mendalam.

Kalau minat anda tak sama dengan pasangan, tak ada masalah sebenarnya. Anda perlu menghormati minat pasangan anda dan mereka juga perlu menghormati minat anda.

Anda juga boleh berkongsi tentang minat anda sendiri dan melihat jika dia OK dengan minat anda. Jika dia OK, mungkin anda boleh melakukan aktiviti bersama-sama, bukan?

15. Perasaan Anda Terhadap Pasangan

Bila dah lama berhubungan, mungkin anda boleh suarakan perasaan anda kepada mereka dengan lebih mendalam. Beritahu pasangan anda apa yang anda rasakan, walaupun anda menyatakan perasaan itu berulang kali.

Pasangan anda pastinya akan menghargai kejujuran anda, sekaligus membuatkan hubungan anda semakin kuat dan utuh, lagi-lagi yang sudah berkahwin. Mungkin pasangan anda juga akan meluahkan perasaan mereka, dan ini pasti akan membuatkan anda berasa lebih disayangi.

Sebagai contoh, jika anda menyukai senyuman pasangan anda, beritahu kepada mereka. Mudah sebenarnya, dan jangan bimbang semua boleh dijadikan topik perbualan.

Banyak lagi sebenarnya topik borak dengan pasangan yang anda bualkan bersama pasangan walaupun ia topik yang kelihatan remeh seperti meme yang anda jumpa di media sosial.

Hargai pasangan anda dan ingat, komunikasi adalah yang utama dalam sesuatu hubungan. Semoga perkongsian kali ini bermanfaat!

Nur Mariam, slumberlady, sundate, pheroessence

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Doa Untuk Suami Bekerja Agar Sentiasa Selamat & Dilindungi Allah

Baca juga: Morning Sex Sebaik Sahaja Bangun Tidur, Rupanya Pasangan Lebih Ghairah & Tahan Lama!

Baca juga: 50 Nama Panggilan Tersayang Unik, Buat Hubungan Suami Isteri Makin Romantis, Sayang Sentiasa

Penulis

Anis