Setelah menonton iklan video lampin Moony Unicharm dari Jepun, saya teringat pula tentang peranan keibubapaan pasangan suami isteri di negara sendiri.
Video yang bertajuk “Ibu, janganlah nangis,” menggambarkan cabaran-cabaran yang dihadapi ibu baru yang terpaksa menjaga anak berseorangan kerana suami sibuk bekerja. Ia menunjukkan ibu yang bangun pada waktu malam untuk menenangkan bayi yang menangis.
Tukar scene lain, ibu tersebut mendukung anak sambil membawa beg membeli-belah yang berat.
Scene ibu dukung anak satu tangan, suap makan cepat-cepat dengan tangan yang sebelah pula.
Cabaran lepas cabaran untuk menenangkan anak yang tak berhenti-henti menangis….
Sehingga ibu tersebut terduduk dengan binggung di ruang tamu yang bersepah.
Situasi yang sama
Rasanya, ramai diantara ibu-ibu di Malaysia yang boleh mengaitkan diri dengan video ini. Tak kira ibu baru ke, suri rumah ke, ibu bekerja ke, semuanya menghadapi situasi yang sama.
Di kebanyakan negara Asia, ia masih satu kebiasaan untuk melihat ibu-ibu menjadi penjaga utama kepada anak. Banyak masa, tenaga fizikal serta tenaga emosi dikorbankan untuk memastikan keluarga sentiasa ceria.
Suami yang seringkali begitu fokus bekerja sehingga kadang-kadang lupa bahawa mereka memainkan peranan yang amat penting dalam mendidik anak-anak mereka.
Tetapi artikel ini bukan bertujuan untuk mengkutuk suami tak pandai tolong. Sebaliknya ia hanya sebagai peringatan, supaya mereka sedar tugas membesarkan anak memerlukan sumbangan dari kedua-dua pihak dan ini tidak bermaksud sumbangan secara wang sahaja.
Ya memang benar, ada diantara suami-suami yang rajin menyumbang pertolongan dalam penjagaan anak, tetapi ramai lagi yang lebih suka biarkan tugas ini kepada isteri sahaja.
Tanggungjawab yang sama untuk menjaga anak
Sudah banyak kali saya melihat dengan mata sendiri, ibu yang sedang tahan lapar kerana terpaksa menyuapkan anak dulu. Ataupun ibu yang terpaksa control anak sekampung, sambil suami berjalan dengan senang kat depan.
Bukan nak cakap apa.. alangkah baiknya kalau suami turut suapkan? Atau tolong jaga anak sekejap agar ibu boleh rehat sebentar. Tak salah kalau suami tolong cuci pinggan kalau anak berpaut pada ibu.
Jadilah teladan yang baik dan tunjukkan bahawa tanggungjawab membesarkan anak adalah tanggungjawab bersama. Biar anak lihat agar ia menjadi satu kebiasaan: bahawa pasangan suami isteri perlu bekerjasama apabila menjaga anak.
Di samping mengeratkan hubungan bapa dengan anak, sikap suka menolong juga akan disemaikan. Anak akan mempunyai asas yang baik untuk menjadi seorang bapa yang lebih terlibat dalam penjagaan anak, kepada generasi yang akan datang.