Perkembangan Bayi 6 Bulan, Si Manja Bersedia Nikmati Makanan Pejal & Pandai Meniarap
Bayi umur 6 bulan biasanya menunjukkan mereka sudah bersedia untuk merasai makanan pejal. Ketika ini juga si manja sudah boleh meniarap
Wow! Sudah masuk pertengahan tahun dengan bayi tersayang? Anda pasti sedang terfikir, cepatnya anak membesar! Apa pula agaknya perkembangan bayi umur 6 bulan?
Secara umumnya, si manja akan mengalami banyak perubahan apabila mencapai umur 6 bulan. Selain dari perubahan dalam perkembangan dan cara berinteraksi, ia juga usia yang paling sesuai untuk memulakan makanan pejal menurut doktor.
Isi Kandungan
Perkembangan bayi umur 6 bulan
Ibu ayah boleh menggunakan peluang yang baik ini untuk menjalin hubungan sambil memperkenalkan anak kepada pelbagai jenis rasa makanan semasa usia ini.
Bukan itu sahaja, anda juga akan menyedari bahawa bayi mula menunjukkan kepekaan terhadap benda-benda disekelilingnya serta lebih perseptif terhadap tindak balas ibu bapanya.
Ibu ayah pasti geli hati melihat gelagat bayi apabila dia cuba untuk mendapatkan perhatian anda! Jom tengok apa perkembangan bayi 6 bulan di sini.
Perkembangan fizikal bayi 6 bulan
Anda akan suka melihat perkembangan si kecil di bulan ini apabila ramai bayi akan belajar meniarap dan bergolek. Ini juga bermakna ibu bapa perlu lebih berjaga-jaga apabila anak berada di tempat yang lebih tinggi.
Lebih selamat menukarkan lampin bayi di atas lantai berbanding di atas changing table untuk mengelak mereka dari terjatuh.
Sesetengah bayi pandai meniarap dan bergolek dengan cepat dan ada pula yang akan memerlukan lebih banyak masa. Untuk mengajar anak untuk meniarap, ibu bapa perlu menggalakkan tummy time untuk membina otot kaki dan tangan yang lebih kuat.
Berikan dorongan yang banyak dan jangan lupa untuk memuji sambil menunjukkan wajah anda teruja, apabila anak berjaya meniarap. Apabila anak mendapat tindak balas positif dan sokongan dari ibu bapa, dia akan lebih bersemangat untuk mencubanya lagi.
Ibu bapa juga boleh meletakkan beberapa mainan berdekatan untuk menggalakkan anak meniarap.
Selain semua perkembangan fizikal ini, kebanyakkan bayi umur 6 bulan sudah boleh tidur sepanjang malam selama 6-8 jam.
Kadar tumbesaran bayi anda juga akan semakin perlahan, dari 1.5-2 paun sebulan hingga kira-kira 1 paun sebulan.
Perkembangan kognitif bayi
Ketika bayi 6 bulan, mereka anda sudah pandai mengenalpasti lagu, puisi kanak-kanak dan menjangka apa yang akan berlaku seterusnya.
1. Deria sentuh
Anda akan melihat peningkatan keseluruhan dalam perkembangan deria bayi anda pada 6 bulan.
Dia lebih berminat untuk mengenali tekstur berbeza-beza seperti lembut, berbulu, kasar, dan gatal. Jangan lupa belikan beberapa buku yang sesuai untuk bayi 6 bulan.
2. Deria penglihatan
Deria penglihatan anak juga akan bertambah baik dan dia akan sangat tertarik pada barang-barang yang berkilat dan berwarna-warni.
Tangannya akan cuba merebut barang-barang ini – jadi berhati-hati jika anda gemar memakai anting-anting!
Perkembangan bayi 6 bulan: sosial dan emosi
Bayi umur 6 bulan akan lebih suka berinteraksi dengan orang yang dikenali, terutamanya ibu dan ayah dan boleh rasa takut dengan mereka yang tidak dikenali.
Hobi kegemarannya sekarang ialah bermain dengan wajah ibu bapa, dan berusaha untuk mendapatkan perhatian anda.
Ini adalah masa yang baik untuk mengajar anak permainan “Follow the leader“. Ibu bapa boleh mula meniru bunyi yang dibuat oleh anak anda pada mulanya, dan kemudian ajar anak bunyi haiwan supaya dia boleh cuba meniru semula.
Ini juga masa yang baik untuk membantu perkembangan bahasa anak dengan menunjukkan gambar setiap haiwan, menyebut nama haiwan tersebut sambil meniru bunyi haiwan itu bersama-sama.
Perkembangan pertuturan dan bahasa bayi 6 bulan
Sediakan kamera kerana bayi anda akan mula berceloteh dengan mengulang suku kata tertentu. Kalau bertuah anda mungkin boleh menangkap video anak mengatakan “ma-ma” atau “pa-pa” bulan ini!
Berikan perhatian dan dorongan dengan memberi jawapan apabila dia giat “bercakap”. Ajar anak nama barang-barang yang telah menarik minatnya.
Ibu bapa juga boleh buat ulasan atau menjelaskan kepada anak apabila melakukan tugas. Ini sebenarnya untuk anak belajar bunyi perkataan serta bahasa yang digunakan.
Semua ini akan disimpan di dalam otak dan akan membantu perkembangan pertuturan dan bahasanya satu hari nanti.
Makanan bayi 6 bulan
Bagi ibu yang baru pertama kali menyediakan makanan bayi 6 bulan, ada beberapa panduan yang berguna untuk anda ikuti iaitu:
#1. Peraturan 4 days wait
Bayi akan diberi satu jenis makanan sahaja dalam tempoh 4 hari dan ini adalah guide yang paling mudah dan teratur untuk kita kesan anak sesuai atau tidak terhadap satu-satu makanan.
Sebagai contoh:
- Hari pertama: bubur kosong
- Hari 2 hingga 5 : bubur + lobak merah
- Hari 6 hingga 9 : bubur + brokoli
- Hari 10 hingga 13: bubur + sawi
#2. Tekstur makanan bayi 6 bulan
Tekstur makanan bayi 6 bulan hendaklah dikisar halus menjadi puri dan sedikit cair. Hal ini kerana si manja dalam proses peralihan dari susu kepada makanan pejal, mereka perlukan masa untuk membiasakan diri.
Sekiranya ibu rasa was-was selepas kisar bubur nasi, anda bolehlah gunakan penapis bagi memastikan makanan bayi 6 bulan benar-benar halus.
#3. Jumlah kekerapan
Bayi yang baru mula makan seelok-eloknya 1 kali sehari sahaja bubur iaitu pagi (susu), tengah hari (bubur) manakala, petang atau malam (snek buah/susu).
Jangan risau kalau bayi tak makan banyak untuk umur 6-7 bulan, 1-2 sudu besar pun dah cukup.
Apabila memperkenalkan makanan baru, lakukan satu demi satu dan beri makanan yang sama untuk beberapa hari agar anak tidak menunjukkan tanda-tanda alahan seperti ruam, cirit-birit, atau muntah-muntah.
Apabila anak tak menyukai makanan tertentu, ini tidak bermakna anak ada alahan terhadap makanan itu. Ramai bayi yang cerewet makan!
Cuba beri makanan yang sama beberapa kali untuk membantu anak membiasakan diri dengan rasa dan perisa baru.
Akademi Pediatrik Amerika memutuskan tiada kaitan antara alahan dengan pemberian ikan atau telur selepas anak berusia 6 bulan.
Tetapi beberapa makanan termasuk madu dan susu lembu harus dielakkan sehingga bayi anda berusia 1 tahun.
Buah untuk bayi 6 bulan
Untuk bayi berusia 6 bulan, tidak sesuai diberikan buah-buahan mentah memandangkan sistem pencernaan mereka tidak matang sepenuhnya.
Justeru pemberian puri buah-buahan lebih selamat. Di bawah ini disenaraikan beberapa jenis buah untuk bayi 6 bulan:
- Naga
- Pisang
- Buah untuk bayi 6 bulan: Pir
- Avokado
- Mangga
- Buah untuk bayi 6 bulan: Tembikai
- Epal
Perkembangan bayi umur 6 bulan: Tips buat ibu ayah baru
6 bulan adalah peringkat perkembangan yang penting untuk si manja anda. Sediakan mainan yang menarik di sekitar rumah yang boleh membantu menggalakkan kemahiran yang berbeza.
Mainan stacking toys sangat baik untuk perkembangan koordinasi tangan dan mata.
Malah, hanya dengan meletakkan mainan kegemaran anak berdekatan dengannya, ini boleh mendorong anak untuk merangkak ke arahnya.
Pastikan rumah anda selamat kerana anak yang sudah pandai merangkak senang cedera. Pastikan semua pintu, kabinet dan tingkap dipasang dengan peranti keselamatan.
Semua rak buku perlu dipasang dan dilekatkan pada dinding dengan selamat, kerana ramai bayi suka menggunakan rak buku untuk berdiri.
Pencapaian utama anak apabila berusia 6 bulan termasuk mulut yang kuat membebel, hubungan mata, muka si manja yang tersenyum, dan tindak balasnya terhadap bunyi.
Sediakan kamera anda supaya anda boleh mendokumenkan semuanya. Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Perkembangan & Milestone Bayi 3 Minggu, Dah Pandai Tummy Time
Baca juga: Info PENTING Bila Bayi Masuk 6 Bulan, Panduan Penyediaan & Jenis Makanan Yang Selamat
Baca juga: 11 Resepi Bubur Bayi 6 Bulan & Puri Buah Yang Elok Untuk Penghadaman, Elak Masalah Sembelit